PRU13: BN TAMPIL CALON TIDAK DIJANGKA
SHAH ALAM -
Barisan Nasional (BN) Selangor akan menampilkan beberapa calon yang tidak
dijangka untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) nanti.
Timbalan
Pengerusinya, Datuk Seri Noh Omar berkata, calon-calon tersebut terdiri
daripada golongan profesional, tokoh korporat, guru dan pertubuhan bukan
kerajaan (NGO) dan mereka yang pernah digugurkan pada pilihan raya umum sebelum
ini.
Beliau
berkata, nama mereka dan kesemua calon yang akan bertanding mewakili untuk
kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) bakal diumumkan sendiri oleh
Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada
waktu dan tempat yang akan ditetapkan.
Menurutnya,
beliau difahamkan calon yang paling muda akan bertanding mewakili BN Selangor
berusia 33 tahun dan yang paling tua ialah 61 tahun.
''Kesemua
calon BN Selangor sudah dikenal pasti dan saya rasa mungkin mereka sendiri
sudah tahu akan menjadi calon. Ada muka baru, ada yang lama termasuk penyandang
kerusi BN pada pilihan raya umum 2008 dan mereka yang buat come back.
''Tetapi bagi
Selangor, kita minta Pengerusi BN sendiri serahkan watikah kepada calon. Tarikh
dan tempatnya saya tidak pasti, kena check dulu," katanya.
Beliau berkata
demikian ketika diminta mengulas mengenai calon BN Selangor yang telah dipilih
untuk bertanding pada PRU13 selepas menghadiri Majlis Mesra Datuk Seri Noh Omar
Bersama Komuniti Usahawan Tekun Nasional Selangor di sini hari ini.
Dalam pada
itu, mengulas isu sama, Noh berkata, beliau amat berharap calon yang tidak
terpilih akan menerima keputusan yang dibuat dengan hati terbuka dan terus
membantu mereka yang dipilih untuk memenangi PRU13 termasuk menawan kembali
Selangor.
''Calon yang
layak ramai tetapi kerusi dipertandingkan tak banyak. Saya tidak nafikan ada
beberapa tempat pemimpin BN tidak gembira dengan keputusan ini.
''Tetapi lebih
baik kita fikirkan kemenangan BN kerana jika menang jadi calon tetapi kalah
untuk dapatkan kerajaan pun tidak guna. Di Selangor peluang BN untuk menang
memang sudah ada, jangan kerana terlalu ikutkan rasa kecewa peluang itu terlepas,"
ujar beliau. - Utusan Online