Showing posts with label PRU13. Show all posts
Showing posts with label PRU13. Show all posts

Tuesday, November 26, 2013

WARGA BANGLADESH PADA PRU13: ANWAR TERDESAK SALAHKAN PIHAK LAIN

IPOH - Tindakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat umpama terdesak dan cuba menyalahkan pihak lain berhubung dakwaannya sebelum ini yang mengatakan seramai 40,000 warga Bangladesh diimport untuk mengundi bagi menyokong BN pada PRU13 lalu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Anwar cuba mengalihkan pandangan kepada pihak lain selepas masyarakat telah menyedari perkara tersebut adalah satu pembohongan yang telah direka oleh pembangkang.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi Menurutnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak juga telah mendapat serta memuat turun segala rakaman, bahan ucapan dan pelbagai maklumat yang diperoleh daripada media siber serta elektronik berhubung perkara tersebut.

“Janganlah apabila terdesak di dinding beliau (Anwar) menyalahkan perkara itu dibangkitkan oleh pihak lain. Sebaliknya, itu yang diulang di setiap negeri ketika jelajah selepas PRU13 malah sewaktu kempen juga mereka mengatakan benda yang sama,” katanya.

Beliau berkata, perkara itu turut memalukan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana berita tersebut telah mendapat liputan di peringkat antarabangsa.

“Saya berharap masyarakat dapat menilai siapa yang bercakap benar dan berbohong dalam memanipulasikan serta menipu rakyat dalam hal berkenaan,” katanya.

Penafian Anwar dibuat selepas Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina menidakkan pembabitan warga Bangladesh dalam proses demokrasi di Malaysia dan menolak dakwaan kononnya 40,000 rakyat negara itu rakyat negara itu mengundi dalam pilihan raya umum lalu.

Sumber: Sinar Harian

Thursday, June 27, 2013

HENTI BANTAH KEPUTUSAN PRU-13, ASAS PERDAMAIAN NASIONAL - PM

KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan, penerimaan secara muktamad oleh pembangkang terhadap keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) lalu bukan sahaja menjadi asas tetapi merupakan asas utama dalam usaha mencapai matlamat perdamaian nasional.

Perdana Menteri berkata, jika pembangkang berterusan mengadakan perhimpunan jalanan mempertikai keputusan pilihan raya di peringkat Pusat tetapi bersikap dwistandard di negeri dimenangi mereka, matlamat perdamaian nasional tidak akan berlaku.

Menurut beliau, penerimaan pembangkang terhadap keputusan pilihan raya itu membolehkan kerajaan menubuhkan Majlis Konsultasi Perpaduan Nasional (MKPN) yang akan diwakili pemimpin politik Barisan Nasional (BN) serta pembangkang, tokoh-tokoh akademik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan ramai lagi.

"Saya suka menegaskan premis utama dan asas perdamaian nasional ialah keputusan pilihan raya umum perlu kita terima sebagai keputusan yang muktamad. Kalau berterusan berhimpun di jalanan, matlamat perdamaian nasional tidak akan dicapai.

"Kalau tidak berpuas hati ada saluran tertentu dan selanjutnya keputusan dibuat melalui mahkamah. Kita kena terima kerana ini mengikut Perlembagaan negara," katanya ketika menjawab soalan Lim Kit Siang (DAP-Gelang Patah) di Dewan Rakyat hari ini.

Pada 6 Mei lalu, Najib mengumumkan kerajaan akan melaksana usaha penyatuan nasional untuk mengerat semula hubungan antara rakyat di negara ini yang berpecah sehingga membentuk polarisasi kaum selepas pilihan raya umum lalu.

Mengulas lanjut mengenai MKPN, Najib berkata, tiga agenda utama menjadi objektif penubuhannya iaitu mencari jalan menangani masalah polarisasi kaum, memupuk keharmonian antara agama serta membentuk dasar-dasar kerajaan supaya bersifat inklusif sosial.

Tambahnya, melalui penubuhan MKPN satu pelan pendamai semula akan dirangka bertujuan merapat kembali hubungan antara pihak yang bertanding dalam pilihan raya umum lalu supaya tumpuan utama iaitu membangunkan negara dapat diberi perhatian sepenuhnya.

Sementara itu, menjawab isu serupa yang dibangkitkan Azmin Ali (PKR-Gombak) dalam soalan tambahan, Najib berkata, pembangkang hanya tahu membuat tuduhan melulu kononnya berlaku penyelewengan semasa pilihan raya tanpa sebarang bukti.

"Kita ada proses bagi membuat bantahan, jangan buat tuduhan melulu seperti dakwaan sebanyak 40,000 warga Bangladesh menjadi pengundi kerana setakat ini belum ada bukti yang dibawa untuk perhatian pihak berkenaan berhubung kecurangan seperti yang didakwa.

"Kalau tidak berpuas hati, kita perlu berpandukan kepada Perlembagaan negara dan inilah yang akan dibawa dalam perdamaian nasional," katanya. – Utusan Online

KD: Apabila PRU-13 selesai, ia bermaksud rakyat telah membuat pilihan kepimpinan yang sewajarnya menerajui negara. Jadi, pemimpin janganlah bertelagah, sebaliknya perlu sama-sama berkhidmat dengan rakyat memakmurkan serta memajukan negara.

Monday, June 24, 2013

PERHIMPUNAN BLACK505 GAGAL CAPAI SASARAN

KUALA LUMPUR - Perhimpunan haram anjuran Datuk Seri Anwar Ibrahim yang diuar-uarkan sebagai kebangkitan rakyat bagi membantah keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PR-13) ternyata gagal apabila dihadiri hanya kira-kira 20,000 orang.

Jumlah kehadiran peserta yang berhimpun di tujuh lokasi sebelum berarak ke Padang Merbok ternyata jauh daripada sasaran pemimpin pembangkang iaitu 500,000 orang.

Berikutan keadaan itu Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim terpaksa memberi alasan bahawa ia berlaku kerana masalah jerebu yang melanda ibu negara.

Bagaimanapun alasan Anwar itu ternyata sekadar untuk menutupi kegagalan pakatan pembangkang semata-mata kerana sebahagian besar peserta mula meninggalkan lokasi utama di Padang Merbok seawal pukul 4 petang iaitu sebelum beliau berucap.

Kegagalan untuk menarik lebih ramai peserta menyertai perhimpunan itu dikatakan berlaku berikutan perasaan kecewa penyokong-penyokong pembangkang yang berasa dipermainkan apabila pemimpin-pemimpin mereka membuat keputusan untuk menghadiri majlis angkat sumpah anggota Parlimen.

Tindakan itu dilihat bertentangan dengan kenyataan mereka sebelum ini bahawa PRU-13 dimenangi oleh Barisan Nasional (BN) melalui penipuan.

Kekecewaan itu diluahkan oleh sesetengah peserta yang berkhemah di padang berkenaan apabila mereka memaparkan tulis mengkritik sikap hipokrit pemimpin-pemimpin pembangkang.

Berikutan itu juga ia memungkinkan jumlah kehadiran peserta di tujuh lokasi yang ditetapkan oleh penganjur mengecewakan mereka.

Sebagai contoh, tinjauan Mingguan Malaysia di pekarangan Universiti Malaya (UM) yang tersenarai sebagai salah satu lokasi berhimpun peserta hanya disertai kurang daripada 300 penyokong mahasiswa dan golongan muda.

Keadaan itu jelas menunjukkan mahasiswa tidak termakan pujuk rayu dan provokasi pembangkang diketuai Ahli Parlimen Bukit Katil, Shamsul Iskandar Mat Akin supaya mereka menyertai perhimpunan berkenaan.

Di enam lagi lokasi, situasi juga sama biar pun ia dimulai dengan ucapan oleh beberapa pemimpin pembangkang termasuk Naib Presiden PKR, Tian Chua.

Selain itu, kebijaksanaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengawal keadaan dengan menempatkan jumlah minimum anggotanya memungkinkan hasrat sesetengah peserta untuk melakukan provokasi dengan tujuan mencetuskan huru-hara terbantut.

Bagaimanapun perhimpunan itu tetap menyaksikan sikap biadab sesetengah peserta apabila mereka bukan sahaja membawa sepanduk memaki hamun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tetapi juga pemimpin negara dan media arus perdana. – Utusan Online


KD: Orang yang waras tidak akan membuang masa melibatkan diri dengan perhimpunan yang tidak mendatangkan apa-apa faedah ini.

Thursday, June 13, 2013

PASCA PRU13: TOLAK SERANGAN PERKAUMAN

SUBANG — Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishamuddin menolak serangan terhadap sesetengah kaum dan komuniti di negara ini selepas Pilihan Raya 2013 kerana ia jelasnya akan memberikan kesan buruk kepada negara.

“Saya harap itu hanya pendirian segelintir mereka yang tak bertanggungjawab,” katanya kepada pemberita ketika sidang media selepas lawatan ke Pangkalan Tentera Udara Subang di sini.

“Saya percaya orang yang matang tak ikut emosi ...  mereka tidak akan gadaikan masa depan kita dengan berpolitik, akhirnya itulah membezakan pemimpin sama ada pembangkang atau kerajaan yang boleh diharapkan,” kata Naib Presiden Umno itu lagi sambil mengambil contoh insiden rusuhan di Turki.

Selepas pilihan raya 5 Mei lalu, akhbar milik Umno, Utusan Malaysia secara terbuka menyerang komuniti Cina, dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak juga dilaporkan berkata keputusan pilihan raya berkenaan menggambarkan Tsunami Cina.

Pemimpin pembangkang bagaimanapun menegaskan ianya adalah Tsunami Rakyat dan bukan seperti yang dikatakan Najib.

Pilihan Raya 2013 menyaksikan Barisan Nasional (BN) memenangi 133 kerusi Parlimen manakala 89 kerusi menjadi milik pembangkang dari Pakatan Rakyat (PR).

Utusan Malaysia juga mengeluarkan laporan muka hadapan dengan tajuk “Apa lagi Cina mahu” yang menimbulkan kritikan daripada banyak pihak termasuk Ketua Pegawai Eksekutif (CEO ) AirAsia X Azran Osman mengkritik akhbar berkenaan secara terbuka di laman mikro Twitternya.

Azran dikritik bulan lalu selepas beliau melalui akaun twitternya, @azranosmanrani, mengatakan melihat serangan perkauman selepas pilihan raya.

Beliau turut dilaporkan menerima kritikan daripada Perkasa, kumpulan pendesak Melayu atas kenyataan kerasnya itu.

Selain Perkasa, Persatuan Veteran Penjawat Awam, Gerakan Reformis Malaysia dan Jaringan Melayu Malaysia juga antara kumpulan yang menyerang beliau termasuk menuntut permohonan maaf terhadap kenyataannya kepada Utusan.

Pemangku Presiden Perkasa Datuk Abdul Rahman Bakar turut menyokong akhbar berkenaan dan berkata Azran tidak akan berada di posisi sekarang tanpa “perjuangan Melayu yang dilakukan Utusan Malaysia.”

Kolumnis Utusan, Awang Selamat turut menggesa Utusan supaya tidak lagi enerima iklan daripada syarikat penerbangan terbabit sehingga permohonan maaf dikeluarkan. –The Malaysian Insider

Tuesday, June 4, 2013

MUSTAHIL WARGA BANGLADESH MENGUNDI PRU13 - PESURUHJAYA TINGGI

KUALA LUMPUR - Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh hari ini menyifatkan dakwaan rakyatnya mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) di Malaysia 5 Mei lalu sebagai tidak masuk akal.

Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh di Malaysia, AKM Atiqur Rahman berkata, pejabatnya tidak mengetahui mengenai dakwaan tersebut.

"Propaganda mengenai rakyat Bangladesh mengundi dalam PRU13 hanyalah rekaan semata-mata oleh beberapa kumpulan yang mempunyai kepentingan tertentu," katanya kepada pemberita.

Menurutnya adalah tidak masuk akal bahawa seramai 40,000 warga Bangladesh dibawa masuk ke Malaysia seminggu sebelum pilihan raya berlangsung untuk mengundi.

Beranggapan ia sebagai 'manipulasi politik', Atiqur berkata, rakyat Bangladesh menjadi pengundi hantu bukan sahaja meletakkan rakyatnya dalam risiko, tetapi turut memberi imej negatif terhadap negara itu.— Sinar Harian

Saturday, June 1, 2013

NAJIB UMUM SPR BAKAL DILETAKKAN DI BAWAH SATU JAWATANKUASA KHAS PARLIMEN

KUALA LUMPUR— Kerajaan akan memberi kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menambahbaik wibawa perjalanan pilihan raya di negara ini walaupun pilihan raya umum ke-13 (PRU13) telah berlangsung dengan baik dan lancar, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri menegaskan, janganlah kerana kepentingan diri dan kelompok tertentu, ada pihak cuba merosakkan kebolehpercayaan institusi itu dengan melempar pelbagai persepsi liar.

Beliau menarik perhatian hakikat SPR bukanlah sebuah agensi atau jabatan kerajaan, sebaliknya sebuah mekanisme yang ditubuh berasaskan peruntukan undang-undang tertinggi negara iaitu Perlembagaan Persekutuan dan anggotanya mendapat perlindungan jawatan yang sama dengan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan.

Najib berkata, untuk memperkukuhkan lagi kewibawaan dan kredibiliti SPR, kerajaan memutuskan untuk memindahkan kawal selia dan fungsi SPR kepada satu jawatankuasa khas yang diwakili anggota Parlimen daripada semua parti politik sama ada kerajaan atau pembangkang.

“Dengan langkah ini, diharap kebebasan SPR tidak dipersoal lagi dan keyakinan rakyat terhadap SPR akan dapat diperkukuhkan,” katanya.

Beliau berkata selesainya proses pilihan raya bermakna penerusan kembali pelayaran bahtera negara untuk tempoh lima tahun akan datang menuju matlamat wawasan kebangsaaan.

“Dalam tempoh itu kita akan menamatkan Rancangan Malaysia (RMK) ke-10 dan memulakan RMK ke-11, rancangan pembangunan lima tahun terakhir sebelum tercapainya Wawasan 2020 yang akan menyaksikan Malaysia, dengan izin Allah SWT, menyertai kelab negara berpendapatan tinggi dunia,” katanya. — Bernama/The Malaysian Insider

Wednesday, May 22, 2013

PASCA PRU13: GAGASAN 1MALAYSIA MASIH BERKESAN

KUALA LUMPUR: Keputusan pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) membuktikan gagasan 1Malaysia masih relevan sebagai wadah penyatuan nasional apabila majoriti rakyat memilih mengundi Barisan Nasional (BN).

Sehubungan itu, penganalisis politik berkata, pada PRU-13 BN memenangi 133 daripada 222 kerusi Parlimen.

Mereka berpendapat ramai pihak mempersoalkan sama ada gagasan itu masih relevan atau tidak selepas beranggapan keputusan PRU-13 menunjukkan sebahagian besar pengundi Cina memilih menyokong DAP sekali gus tidak mahu bersama-sama dengan kaum lain dalam arus nasional.

DAP memenangi 38 kerusi Parlimen selepas dikatakan mendapat sokongan padu pengundi Cina di kawasan bandar, yang sekali gus membuktikan pengundi Cina menolak BN, walaupun gabungan itu turut meletakkan wakil dalam kalangan kaum Cina.

Alat penyatuan nasional
 
Penganalisis politik Dr Ibrahim Ghafar, berkata berdasarkan keputusan PRU-13, gagasan 1Malaysia tetap utuh dan relevan sebagai wadah penyatuan nasional.

“Perlu kita ingat gagasan 1Malaysia tidak membabitkan fahaman politik yang berbeza-beza antara rakyat Malaysia. Namun, kesan penerapan gagasan itu sejak sekian lama dapat dirasakan apabila majoriti rakyat memilih untuk mengundi kesederhanaan, mengundi BN,” katanya kepada Bernama.

Merungkai persoalan sama, pensyarah kanan Jabatan Antropologi dan Sosiologi, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya, Dr Noor Sulastry Yurni Ahmad, berkata penyatuan nasional tidak mungkin dapat dicapai sekiranya rakyat tidak keluar daripada kerangka keras anutan politik mereka.

Turut menyokong pendapat itu Presiden Persatuan Kebajikan India Malaysia, A Prakash yang berpendapat konsep 1Malaysia yang diilhamkan Najib bertepatan dengan masyarakat majmuk di Malaysia, yang mungkin sukar disatukan melalui fahaman politik tetapi boleh melalui gagasan 1Malaysia. – BERNAMA/BHarian