PERHIMPUNAN BLACK505 GAGAL CAPAI SASARAN
KUALA LUMPUR -
Perhimpunan haram anjuran Datuk Seri Anwar Ibrahim yang diuar-uarkan sebagai
kebangkitan rakyat bagi membantah keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PR-13)
ternyata gagal apabila dihadiri hanya kira-kira 20,000 orang.
Jumlah
kehadiran peserta yang berhimpun di tujuh lokasi sebelum berarak ke Padang
Merbok ternyata jauh daripada sasaran pemimpin pembangkang iaitu 500,000 orang.
Berikutan
keadaan itu Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim
terpaksa memberi alasan bahawa ia berlaku kerana masalah jerebu yang melanda
ibu negara.
Bagaimanapun
alasan Anwar itu ternyata sekadar untuk menutupi kegagalan pakatan pembangkang
semata-mata kerana sebahagian besar peserta mula meninggalkan lokasi utama di
Padang Merbok seawal pukul 4 petang iaitu sebelum beliau berucap.
Kegagalan
untuk menarik lebih ramai peserta menyertai perhimpunan itu dikatakan berlaku
berikutan perasaan kecewa penyokong-penyokong pembangkang yang berasa
dipermainkan apabila pemimpin-pemimpin mereka membuat keputusan untuk
menghadiri majlis angkat sumpah anggota Parlimen.
Tindakan itu
dilihat bertentangan dengan kenyataan mereka sebelum ini bahawa PRU-13
dimenangi oleh Barisan Nasional (BN) melalui penipuan.
Kekecewaan itu
diluahkan oleh sesetengah peserta yang berkhemah di padang berkenaan apabila
mereka memaparkan tulis mengkritik sikap hipokrit pemimpin-pemimpin
pembangkang.
Berikutan itu
juga ia memungkinkan jumlah kehadiran peserta di tujuh lokasi yang ditetapkan
oleh penganjur mengecewakan mereka.
Sebagai
contoh, tinjauan Mingguan Malaysia di pekarangan Universiti Malaya (UM) yang
tersenarai sebagai salah satu lokasi berhimpun peserta hanya disertai kurang
daripada 300 penyokong mahasiswa dan golongan muda.
Keadaan itu
jelas menunjukkan mahasiswa tidak termakan pujuk rayu dan provokasi pembangkang
diketuai Ahli Parlimen Bukit Katil, Shamsul Iskandar Mat Akin supaya mereka
menyertai perhimpunan berkenaan.
Di enam lagi
lokasi, situasi juga sama biar pun ia dimulai dengan ucapan oleh beberapa
pemimpin pembangkang termasuk Naib Presiden PKR, Tian Chua.
Selain itu,
kebijaksanaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengawal keadaan dengan menempatkan
jumlah minimum anggotanya memungkinkan hasrat sesetengah peserta untuk
melakukan provokasi dengan tujuan mencetuskan huru-hara terbantut.
Bagaimanapun
perhimpunan itu tetap menyaksikan sikap biadab sesetengah peserta apabila
mereka bukan sahaja membawa sepanduk memaki hamun Suruhanjaya Pilihan Raya
(SPR) tetapi juga pemimpin negara dan media arus perdana. – Utusan Online
KD: Orang yang waras tidak akan membuang masa melibatkan
diri dengan perhimpunan yang tidak mendatangkan apa-apa faedah ini.
No comments:
Post a Comment