JEREBU: TITIK PANAS MENINGKAT KEPADA 118
KUALA LUMPUR:
Bilangan titik panas yang dikesan melalui imej satelit NOAA-18 di Sumatera,
Indonesia semalam meningkat hampir dua kali ganda daripada 64 pada Jumaat lepas
kepada 118 pada Ahad.
Menurut
kenyataan Jabatan Alam Sekitar (JAS), laporan Pusat Meteorologi Khas Asean
(ASMC) di Singapura menunjukkan asap jerebu bertambah tebal dari kawasan
kebakaran di Wilayah Riau, Sumatera Tengah, Indonesia.
Katanya, tiupan
angin dari arah barat daya telah membawa asap jerebu dari Riau ke kawasan
tengah dan selatan Pantai Barat Semenanjung Malaysia.
"Peningkatan
bacaan IPU pada tahap tidak sihat dan berbahaya masih dipengaruhi pencemaran
jerebu merentasi sempadan berikutan musim Monsun Barat Daya yang sedang dialami
negara dan dijangka berterusan sehingga September ini," menurut jabatan
itu.
Menurut JAS,
bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) yang direkod pada 11 pagi ini mendapati
Muar, Johor dan dua kawasan di Melaka iaitu Bandaraya Melaka dan Bukit Rambai
berada pada tahap berbahaya, dengan Muar mencatat IPU 690, manakala Bukit
Rambai dan Bandaraya Melaka, masing-masing dengan bacaan 428 dan 415.
Sebanyak 17
stesen di negara ini mencatat IPU tidak sihat, 30 sederhana dan dua lagi
dikategorikan baik.
Stesen yang
berada pada tahap tidak sihat ialah:
Selangor:
Pelabuhan Klang dengan bacaan 192, Petaling Jaya (125), Banting (115), Shah
Alam (112)dan Kuala Selangor (104).
Kuala Lumpur:
Cheras (111) dan Batu Muda (108)
Negeri
Sembilan: Nilai (106), Seremban (104) dan Port Dickson (184)
Johor: Pasir
Gudang (110), Larkin (117) dan Kota Tinggi (124)
Pahang: Indera
Mahkota (107) dan Balok Baru (149)
Terengganu:
Paka (105) dan Kemaman (153).
Berdasarkan
IPU, bacaan antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101
ke 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas
sebagai berbahaya.
Perdana
Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak turut mengisytiharkan darurat bencana jerebu
bagi seluruh daerah Muar dan Ledang di Johor sehingga ke suatu masa berikutan
bacaan IPU melebihi 500.
Menurut JAS,
larangan pembakaran terbuka di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan)
2001 yang dikeluarkan Ketua Pengarah Alam Sekitar Rabu lepas di Selangor,
Melaka dan Johor masih berkuat kuasa kecuali beberapa aktiviti seperti
pembakaran mayat dan pembakaran bagi tujuan keagamaan.
No comments:
Post a Comment