KUALA
LUMPUR: Serangan terhadap kumpulan pengganas bersenjata di Kampung Tanduo,
Lahad Datu, semalam adalah demi menjaga maruah dan kedaulatan negara.
Perdana
Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata kerajaan perlu mengambil tindakan
sewajarnya bagi mempertahankan tanah air seperti dituntut oleh rakyat selepas
usaha mengelakkan pertumpahan darah menerusi rundingan dengan kumpulan yang
mendakwa Tentera Sultan Sulu itu tidak diendahkan.
Bimbang
keselamatan
“Sebaliknya,
anggota pasukan keselamatan kita diserang dan dibunuh. Rakyat Malaysia,
khususnya di Sabah bimbangkan keselamatan mereka,” katanya dalam satu kenyataan
sebelum serangan bermula pada jam 7 pagi.
Sejak
pencerobohan 12 Februari lalu, Najib berkata, kerajaan mengambil pendekatan
menyelesaikan konflik tanpa pertumpahan darah, justeru polis mengadakan
pertemuan dan rundingan dengan harapan pengganas bersetuju keluar dari Sabah
dengan aman tanpa dikenakan sebarang tindakan undang-undang serius.
Pengganas tak niat keluar
Namun,
selepas konflik berlanjutan, pengganas jelas tidak berniat untuk keluar, malah
melepaskan tembakan Jumaat lalu, menyebabkan dua anggota keselamatan terbunuh,
diikuti enam lagi polis dibunuh di Semporna sehari kemudian.
“Selepas
serangan pertama, saya menegaskan penceroboh mesti menyerah diri dan jika
mereka enggan, pihak berkuasa akan bertindak. Sebagai negara Islam yang
cintakan keamanan dan mengangkat perjuangan penyelesaian konflik secara
perundingan, usaha kita mengelakkan pertumpahan darah di Lahad Datu tidak
berjaya,” katanya.
Bermula serangan udara
Sementara
itu, ketika merasmikan Majlis Perhimpunan Perdana Ulama-Umara + Asnaf Bersama
Perdana Menteri di Stadium Putra, Bukit Jalil di sini, Najib berkata, pasukan
keselamatan mula melancarkan operasi besar-besaran dengan serangan udara oleh
pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), diikuti ledakan mortar.
“Pada saat
saya sedang berucap ini, pasukan kereta perisai Tentera Darat dengan anggota
polis mengikuti di belakang, sedang melakukan tindakan untuk memberkas serta
menumpaskan kumpulan yang melanggar kedaulatan negara.
“Saya ingin
menjelaskan tindakan kita yang berhemah pada peringkat awal, niat kita tidak
lain tidak bukan adalah untuk tidak membenarkan setitik darah pun tertumpah di
bumi Sabah, sama ada dalam kalangan rakyat Malaysia mahu pun kumpulan
penceroboh.
Tak rela tanah air dinodai
“Namun,
saya berasa amat dukacita kerana niat baik dan murni ini dibalas dengan
tindakan menembak, membunuh secara sangat kejam terhadap pasukan polis kita.
“Oleh itu,
kita perlu bertindak dengan segala kekuatan yang ada kerana dalam soal
kedaulatan dan keamanan negara, kita tidak akan membiarkan seinci pun tanah
bumi Malaysia tergugat dinodai oleh sesiapa sekali pun,” katanya. -BHarian