KUALA
KLAWANG: Sabah adalah milik Malaysia yang sah mengikut undang-undang
antarabangsa dan tidak boleh dituntut pihak lain termasuk kumpulan pengganas
yang mendakwa tentera Sultan Sulu.
Menteri
Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, berkata, hak ke
atas Sabah yang dulu dikenali Borneo Utara, diperoleh Syarikat Overback pada
1880-an daripada Kesultanan Sulu.
“Apabila
Overback serahkan hak milik itu kepada Britain dan seterusnya diserahkan kepada
Malaysia, maka segala hak mereka lupus mengikut undang-undang antarabangsa. Apa
yang dibayar kepada kerabat Sultan Sulu, iaitu kira-kira RM5,000 setahun hanya
wang ehsan atau sagu hati.
“Ia dibayar
kepada kerabat yang didaftarkan sebagai pewaris Sultan Sulu yang disahkan
Sultan Brunei dulu, bukan pihak yang menceroboh Sabah ketika ini,” katanya
selepas Majlis Jalinan Kasih Bersama Warga Penjara dan Pusat Pemulihan
Penagihan Narkotik (PUSPEN) di Institusi Pemulihan Dadah Jelebu, di sini,
semalam.
Penjelasan terperinci
Sambil
meminta Wisma Putra membuat penjelasan mengenai perkara itu secara mendalam,
beliau juga menjelaskan, Sabah menyertai Malaysia secara sah berdasarkan
keputusan Suruhanjaya Cobbold pada 1963 yang mendapati semua pihak di negeri
itu bersetuju.
“Keputusan
suruhanjaya itu menunjukkan rakyat Sabah mahu menyertai Malaysia. Jadi jelas,
Sabah sah hak Malaysia dan tidak boleh dituntut mana-mana pihak atau negara
lain,” katanya.
Mengikut
laman web Arkib Negara, pembentukan Suruhanjaya Cobbold pada 17 Januari 1962
bagi memberi kebebasan dan keadilan kepada semua pihak.
Suruhanjaya
itu dibentuk hasil rundingan di antara Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dan
Kerajaan Britain pada November 1961.
Tujuan
penubuhan suruhanjaya itu untuk meninjau pandangan penduduk di Borneo Utara
(Sabah) dan Sarawak mengenai gagasan Malaysia.
Hasil
laporan suruhanjaya yang disahkan perwakilan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu
(PBB) menunjukkan 80 peratus penduduk Sabah dan Sarawak menyokong penubuhan
Malaysia yang kemudian diisytiharkan pada 16 September 1963.
Sementara
itu, Rais meminta Kerajaan Filipina atas semangat ASEAN, bertindak tegas
terhadap penunjuk perasaan yang membakar bendera Malaysia dan memijak gambar
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di depan Kedutaan Malaysia di Manila,
semalam. -BHarian
No comments:
Post a Comment