Peristiwa berkaitan pencerobohan kumpulan bersenjata di Lahad Datu yang dikaitkan dengan askar Kesultanan Sulu bakal tercatat dalam lembaran sejarah tanahair.
Peristiwa ini pasti tidak dapat dilupakan oleh generasi hari ini, terutamanya mereka yang mempunyai kaitan secara langsung terhadap peristiwa. Apa tidaknya, penceroboh yang sebelum ini dianggap sebagai penjenayah bersenjata kini dianggap sebagai ancaman keselamatan negara (khususnya di Lahad Datu dan kawasan sekitarnya) kerana tindakan mereka telah menyebabkan beberapa anggota keselamatan (wira negara) terkorban.
Ada juga
sesetengah pendapat menyebut bahawa kumpulan bersenjata berkenaan telah membuat
perancangan teliti sekian lama sebelum memasuki Lahad Datu, Sabah. Malah,
dikatakan juga sebahagian daripada penceroboh tersebut telah memasuki Lahad
Datu lebih awal dan secara berperingkat menyebabkan kehadiran mereka tidak
dapat dikesan.
Walau
apapun pandangan, yang pasti, kehadiran mereka mula dikesan pada 9 Februari.
Berikut adalah kronologi pencerobohan kumpulan bersenjata di Lahad Datu.
Berikut
adalah kronologi pencerobohan kumpulan bersenjata dari selatan Filipina:
9 Feb - Kumpulan penceroboh memasuki
perairan negara menggunakan bot pancung dan berkumpul secara berperingkat di
Felda Sahabat 17, Kampung Tanduo, Lahad Datu.
11 Feb - Sebahagian daripada anggota
kumpulan itu dikesan sekumpulan nelayan tempatan pada waktu malam dan nelayan
tersebut membuat laporan polis mengenai lebih 100 lelaki berpakaian ala tentera
dan bersenjata api berkampung di Kampung Tandou.
12 Feb - Kumpulan itu dikenal pasti
berpecah di beberapa lokasi di kampung itu iaitu di kawasan sungai bakau
kampung itu, sebuah surau di kampung itu dan rumah Ahmad Malandi atau dikenali
Mad bon.
14 Feb - Perdana Menteri, Datuk Seri
Najib Tun Razak berkata, kerajaan Malaysia akan melakukan yang terbaik termasuk
melalui perundingan, bagi menangani isu pencerobohan tersebut sebelum mengusir
mereka keluar dari kawasan itu.
14 Feb - Ketua Polis Negara, Tan Sri
Ismail Omar berkata polis telah mengenal pasti kumpulan warga Filipina yang
mendarat di pesisir pantai Lahad Datu, Sabah sebagai pewaris berketurunan 'Raja
Sulu' dari Selatan Filipina. Ismail berkata kumpulan terbabit menuntut mereka
dikenali sebagai Askar Diraja Kesultanan Sulu dan mereka tidak mahu rakyatnya
berketurunan Sulu dihantar pulang ke negara asal.
14 Feb - Laporan memetik salah seorang
anggota tentera Filipina yang merupakan pengikut setia Raja Muda Sulu, Raja
Muda Azzimudie Kiram sebagai berkata kedatangan kumpulan tersebut selepas
mendapat jemputan pihak pembangkang untuk membincangkan isu tanah di Sabah.
16 Feb - Menteri Dalam Negeri Datuk Seri
Hishammuddin Tun Hussein mengesahkan kumpulan tersebut bukan kumpulan militan atau
pengganas sebaliknyapenyokong kuat 'Kesultanan Sulu' dan menegaskan situasi di
Kampung Tanduo adalah terkawal.
Kumpulan
itu yang mahu dikenali sebagai 'Askar Diraja Kesultanan Sulu' antara lain
menuntut Sabah dikembalikan ke wilayah kesultanan Sulu, kerana sebelum ia
diambil British ia di bawah kerajaan Sulu.
18 Feb - Hishammuddin berkata, kerajaan
Malaysia dan Filipina sentiasa bekerja rapat dalam menyelesaikan konflik ini
dan memberitahu ia akan dilakukan secara diplomasi tanpa sebarang pertumpahan
darah.
24 Feb - Kerajaan Filipina menghantar
sebuah kapal dalam misi kemanusiaan untuk membawa pulang kumpulan 180 anggota
termasuk 30 pengawal bersenjata yang bertahan di Lahad Datu, Sabah sejak 12
Februari lalu.
26 Feb - Tempoh pengusiran mereka tamat
namun rundingan masih dijalankan terhadap kumpulan penceroboh itu.
28 Feb - Kerajaan Malaysia digesa
mengadakan rundingan secara terus dengan Sultan Jamalul Kiram III di Manila
untuk menamatkan konflik perebutan kawasan di Lahad Datu, Sabah yang
berlanjutan selama lebih tiga minggu.Gesaan
tersebut disuarakan adik bongsu Jamalul, Agbimuddin Kiram yang menegaskan hanya
abangnya boleh mengarahkan kira-kira 180 'tentera diraja' meninggalkan Felda
Sahabat 17, Lahad Datu.
1 Mac - Pertempuran tercetus antara
pasukan keselamatan dan sekumpulan kecil kumpulan penceroboh ketika kumpulan
terbabit cuba keluar daripada kepungan polis di Kampung Tanduo, menyebabkan dua
anggota pasukan keselamatan terkorban serta tiga lagi cedera.
Anggota
yang terkorban ialah dari skuad Komando 69, iaitu Inspektor Zulkifli Mamat dari
Besut, Terengganu dan Sarjan Sabaruddin Daud dari Sabak Bernam, Selangor. Tiga
anggota yang cedera ialah Koperal Azman Ampong, Koperal Mohd Tarmizi Hashim
dirawat di Hospital Lahad Datu, manakala Konstabel Mohammad Qaiyum’aiqal
Zolkifli yang cedera di bahu kanan dan kedua-dua kaki dihantar ke Hospital
Duchess of Kent, Sandakan.
2 Mac – Lima anggota polis terkorban
dalam serang hendap kumpulan bersenjata di Kampung Sri Jaya, Simunul, Semporna,
Sabah. Turut terkoban ialah dua ahli kumpulan bersenjata berkenaan. Kejadian di
Semporna itu berlaku susulan pertempuran di antara kumpulan yang mendakwa setia
dengan Kesultanan Sulu dan pasukan keselamatan Malaysia pada Jumaat lalu.
Perkara ini disahkan oleh Ketua Polis negara Tan Sri Ismail Omar pada hari
berikutnya.
Dalam masa
yang sama, pihak berkuasa mendapat maklumat bahawa sekurang-kurangnya 10 orang
penceroboh telah menyusup masuk ke Kampung Lumalong dan Kampung Dasar Lama,
Kunak. Tiga orang daripada kumpulan yang dilihat itu memakai celoreng tentera
yang sama dengan kumpulan di Kampung Tanduo, Lahad Datu.
3 Mac – Seorang lagi anggota polis
terkorban dalam serangan hendap sekumpulan lelaki bersenjata di Kampung Sri
Jaya, Siminul, Semporna, Sabah, menjadikan jumlah terkini anggota polis yang
terkorban dalam insiden tersebut ialah enam orang.
Stesen
radio Filipina pada Ahad melaporkan bahawa kumpulan penceroboh bersenjata di
Semporna telah menawan empat orang rakyat Malaysia. Ketua polis negara tidak
menafikan berkemungkinan lebih ramai kumpulan penceroboh bersenjata mendarat di
Sabah susulan pertempuran di antara pasukan keselamatan negara dan pengikut
Kesultanan Sulu. Walau bagaimanapun, beliau berkata pasukan keselamatan
sudahpun bertindak untuk mengawal keadaan di kawasan tersebut.
4 Mac – Terdapat laporan menyebut bahawa
salah seorang anggota polis dipenggal kepala semasa pertempuran dengan
penceroboh bersenjata di Kampung Sri Jaya Simunul, Semporna pada hari Sabtu.
Walau bagaimanapun pihak polis memaklumkan bahawa gambar lelaki dipenggal
kepala yang tersiar dalam laman web itu merupakan gambar lama yang dipercayai
berlaku di sebuah negara jiran beberapa tahun lalu.
Pihak PDRM
mengeluarkan kenyataan rasmi senarai anggota yang terkorban dalam pertempuran
di Kampung Sri Jaya Simunul, Semporna. Anggota yang dimaksudkan ialah; Supt
Ibrahim bin Lebar, L/Kpl Mohd Azrul bin Tukiran, ASP Micheal Padel, Sjn/D
Baharin bin Hamit, Sjn Abd Aziz bin
Sarikun dan Kpl/S Salam bin Togiran (Al-Fatihah dan takziah kepada keluarga
terlibat).
4 Mac – Puluhan kenderaan tentera
dilihat memasuki kawasan berhampiran Kampung Tanduo lewat petang ini. Kenderaan
tentera yang bertali arus itu, termasuk kereta perisai dan trak membawa anggota
tentera, dilihat memasuki kawasan jalan ladang kelapa sawit pada kira-kira jam
6.30 petang ini.
5 Mac – Pasukan keselamatan telah
melancarkan serangan ke atas penceroboh kumpulan bersenjata di Kampung Tanduo,
Lahad Datu pada jam 7 pagi ini. Laporan menyebut wartawan BERNAMA turut
mendengar beberapa siri letupan di sekitar Felda Sahabat 17, Kampung Tanduo,
Lahad Datu.
Sumber: SinarHarian/http://kulanzsalleh.com
No comments:
Post a Comment