KOTA BHARU:
Malaysia perlu mematuhi undang-undang antarabangsa terutama Konvensyen Geneva
1949 berhubung insiden pencerobohan kumpulan bersenjata di Sabah, kata seorang
pegawai tinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada Isnin.
Asisten
Ketua Staf Perkhidmatan Anggota ATM, Mejar Jeneral Datuk Abdul Aziz Ibrahim
berkata Malaysia tidak boleh mencabuli undang-undang antarabangsa dengan
mengambil tindakan sewenang-wenangnya terhadap soal pencerobohan.
Beliau
berkata Malaysia tertakluk kepada perjanjian antarabangsa itu yang menetapkan
tindakan terhadap pencerobohan perlu mengikut undang-undang.
"Kita
tidak boleh terus bertindak tanpa mengetahui sebab sebenar kedatangan mereka
(kumpulan bersenjata) dan tindakan kita mesti mengikut protokal yang
ditetapkan," katanya kepada pemberita di sini.
Beliau
berkata demikian ketika mengulas dakwaan sesetengah pihak kononnya kerajaan
gagal menangani isu pencerobohan di Kampung Tanduo, Lahad Datu, lebih awal
sehingga menyebabkan pertumpahan berdarah.
Terdahulu,
beliau merasmikan program persijilan asas kejuruteraan penerbangan untuk lesen
DCAM Part-66, Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (DCAM), bagi anggota tentera
yang bakal bersara di sini.
Setakat
ini, lapan anggota pasukan keselamatan terbunuh dalam pertempuran dengan
kumpulan penceroboh bersenjata yang mendakwa tentera Kesultanan Sulu dari
Filipina, di Kampung Tanduo, Lahad Datu dan Semporna pada 1 dan 2 Mac.
Mengenai
gambar lelaki dipenggal kepala tersiar dalam laman web kononnya dalam
pertempuran antara pasukan keselamatan dan kumpulan bersenjata itu, Abdul Aziz
berkata ia merupakan gambar lama yang dipercayai berlaku di sebuah negara jiran
beberapa tahun lalu.
"Gambar
itu ditulis dengan perkataan 'Lahad Datu' di bawahnya untuk mengambarkan
peristiwa itu berlaku di Lahad Datu dan ini menampakkan niat jahat pihak
tertentu terhadap kerajaan," katanya.
Beliau
tidak menolak ia dilakukan untuk berseronok-seronok sahaja tetapi menegaskan
bahawa implikasinya amat besar kepada negara dan tidak sepatutnya dilakukan
oleh orang yang waras. -BERNAMA/mStar
No comments:
Post a Comment