PETALING JAYA: Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua bakal berdepan dengan tindakan undang-undang sekiranya gagal menarik balik kenyataannya yang mengaitkan Umno dengan insiden pencerobohan di Sabah.
Setiausaha
Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, menerusi notis
tuntutan yang dihantar melalui Penasihat Undang-undang Umno, Hafarizam Wan
& Aisha Mubarak, Ahli Parlimen Batu itu turut diminta mengemukakan
permohonan maaf secara bertulis tanpa syarat.
"Segala
tuduhan yang dibuat adalah tidak berasas dan amat serius dengan niat jahat
untuk memburukkan dan merosakkan reputasi dan imej Umno.
"Ia
juga turut bertujuan untuk menjatuhkan dan merendahkan maruah dan kredibiliti
Umno yang menjadi tulang belakang kerajaan Barisan Nasional yang mentadbir
Malaysia dan mempunyai imej awam yang baik," katanya pada Isnin.
Tindakan
undang-undang itu dibuat terhadap Tian berikutan kenyataannya dalam
KeadilanDaily.com pada 1 Mac lalu yang bertajuk 'Insiden tembakan di Lahad Datu
konspirasi terancang Umno - Tian'.
"Notis
dihantar kepada Tian Chua dengan menuntut beliau dalam masa tujuh hari bermula
hari ini, 4 Mac untuk berhenti daripada membuat kenyataan lanjut berunsur
fitnah berkenaan isu ini atau sebarang kenyataan yang serupa terhadap Umno.
"UMNO
tidak memandang ringan terhadap perbuatan fitnah dan sekiranya sebarang maklum
balas tidak diterima berhubung tuntutan terbabit, maka bermakna Tian Chua tidak
menafikannya dan juga berniat untuk meneruskan penerbitan berunsur fitnah.
"Oleh
itu, Umno akan meneruskan prosiding mahkamah terhadap Tian Chua tanpa sebarang
rujukan kepada beliau termasuklah untuk memfailkan injuksi bagi menghalang
penerbitan lanjut berkaitan isu ini," katanya. -mStar
No comments:
Post a Comment