PEMIMPIN DAP ANGKUH
KUALA LUMPUR - Penyandang kerusi
Dewan Undangan Negeri (DUN) Teratai, Jenice Lee mendakwa sikap angkuh dan
amalan kronisme segelintir pemimpin tertinggi DAP menyebabkan beliau digugurkan
daripada menjadi calon Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
Menurutnya, sikap pilih bulu yang
diamalkan dalam parti oleh sesetengah pemimpin itu tidak selari dengan slogan
ketelusan yang sering dilaung-laungkan.
"Ada seorang pemimpin tertinggi
dalam DAP yang secara terbuka menyerang saya dengan pelbagai tohmahan tanpa
sebarang bukti kukuh, pemimpin lain dalam parti cuma mengikut kehendaknya yang
tidak mahu mencalonkan saya.
"Adakah ini adil? Adakah ini
dinamakan demokratik dan telus? Bagaimana seseorang itu boleh sesuka hati
memfitnah tanpa bukti dan semua pemimpin lain tanpa menyiasat terus bersetuju
dan menggantikan calon 'payung terjun' demi memastikan karier politik saya
hancur," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Selain Jenice, DAP menggugurkan
beberapa calon popular parti tersebut termasuk penyandang DUN Kota Alam Shah,
M. Manoharan; penyandang DUN Pandamaran, Ronnie Liu dan penyandang DUN
Damansara Utama, Dr. Cheah Wen Yin.
Yang turut digugurkan ialah
penyandang kerusi Parlimen Seremban, John Fernandez, penyandang kerusi DUN
Mengkibol, Ng Lam Hua dan calon DAP untuk kerusi Parlimen Kota Melaka, Sim Tong
Him.
Tambah Jenice, DAP tidak layak
mengkritik Pendaftar Pertubuhan (ROS) kononnya telah menjatuhkan hukuman tanpa
menyiasat dahulu berhubung isu pemilihan Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) parti
sedangkan dirinya yang telah difitnah sesuka hati tidak diambil tindakan.
"Bersih dan betulkan sistem
dalam parti sebelum menuduh orang lain tidak betul. Dalam kes saya, hukuman
dijatuhkan tanpa sebarang keadilan, namun tiada siapa kisah. Apabila ROS ambil
tindakan, mereka kata tak adil. Hipokrit!," tegasnya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan
tidak akan sesekali tunduk kepada desakan Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan
Pengerusi DAP, Karpal Singh supaya segera menarik diri daripada menjadi calon
Bebas menentang calon DAP.
"Mengapa saya harus tarik diri?
Penduduk Teratai memerlukan khidmat saya. Saya tidak akan sesekali mengkhianati
pengundi saya apatah lagi calon DAP adalah calon 'kegemaran' pemimpin tertentu
dan bukan pilihan rakyat," ujarnya.
Sementara itu, penyandang kerusi Kota
Alam Shah, Manoharan berpendapat, DAP berkemungkinan besar bertindak
menggugurkan beliau kerana lantang menyoal isu-isu berkaitan masyarakat India.
"Saya rasa itu mungkin antara
sebab saya digugurkan, namun saya tidak pasti kerana sehingga saat ini
panggilan telefon atau khidmat pesanan ringkas (SMS) tidak dilayan oleh
mana-mana pemimpin.
"Adalah tidak adil untuk
membiarkan kami tertanya-tanya mengapakah kami digugurkan oleh pimpinan atasan.
Ini juga antara punca ramai menjadi calon Bebas," katanya.
Penyandang kerusi Parlimen Seremban,
John Fernandez yang baru-baru ini membuat kejutan keluar parti dan bertanding
sebagai calon Bebas pula menganggap kepimpinan DAP ketika ini sudah hilang arah
tujuan.
"DAP sudah berubah, mungkin juga
kepimpinan ketika ini jauh terbabas dengan prinsip asal, laungan parti semua
kaum tidak benar sekali apatah lagi kaum India dipinggirkan," tegasnya. –UTUSAN ONLINE