IMEJ PAS MAKIN ROSAK, ISU VIDEO SEKS TIADA TINDAKAN - HASAN BASRI
KUALA LUMPUR 21 April - Imej serta
kredibiliti Pas sebagai parti yang dikatakan memperjuangkan Islam semakin rosak
apabila isu video seks dikaitkan dengan Setiausaha Agungnya, Datuk Mustafa Ali
tiada tindakan.
Bekas Ketua Penerangan Pas Selangor,
Hasan Basri Mohamad berkata, sehingga kini Lajnah Tatatertib dan Majlis Syura
Ulama parti itu hanya mendiamkan diri seolah-olah tiada apa yang berlaku
sedangkan video tersebut telah tersebar khususnya di internet.
Beliau berkata, jika itu juga
pendirian yang diambil oleh Pas, tidak mustahil parti tersebut akan ditimpa
malapetaka kerana mempermainkan Islam.
''Antara tujuan Pas ditubuhkan
berdasarkan Perlembagaan parti itu adalah untuk menjaga kesucian Islam
berdasarkan al-Quran dan as-Sunah. Persoalannya mengapa kes ini tidak dirujuk
berdasarkan al-Quran dan as-Sunah.
''Apa yang al-Quran perintahkan?
Perintahnya ada dalam ayat 6 surah al-Hujurat iaitu jika datang satu berita
hendaklah disiasat kebenarannya. Masalahnya kes yang melibatkan Mustafa ini
langsung tidak disiasat,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Hasan Basri berkata, tuduhan yang
dilemparkan kepada Mustafa itu amat berat dan sekiranya kes tersebut gagal
ditangani kemungkinan juga Pas akan menerima hukuman daripada rakyat.
Dalam pada itu beliau mengimbau satu
sejarah dalam Pas iaitu pada sekitar 1970-an seorang Ahli Parlimen Pas dari
Perak, Hashim Gera telah menari dengan seorang wanita di lobi Parlimen.
''Jawatankuasa disiplin kemudian
mengambil keputusan memecatnya kerana perbuatannya itu dilihat memalukan Pas
dan tidak selari dengan kehendak Islam.
''Namun, dalam kes yang dikaitkan
dengan Mustafa ini lebih teruk daripada itu. Hashim Gera hanya sekadar menari
sahaja,'' katanya lagi.
Menjawab satu soalan, beliau berkata,
Lajnah Tatatertib serta Majlis Syura Ulama sepatutnya telah memulakan siasatan
tanpa perlu menantikan Mustafa membuat laporan polis.
''Mereka perlu lebih proaktif. Mereka
boleh memulakan siasatan untuk menentukan sama ada Mustafa terlibat atau tidak.
Ini soal maruah sebuah parti Islam.
''Jawatan Setiausaha Agung merupakan
satu jawatan yang amat penting dan jawatan ini juga melambangkan sesebuah
organisasi ,'' jelasnya.
Mustafa pula katanya, perlu membuat
laporan polis sekiranya benar telah difitnah atau membuat sumpah laknat bagi
membersihkan namanya. –UTUSAN ONLINE
No comments:
Post a Comment