Showing posts with label Video. Show all posts
Showing posts with label Video. Show all posts

Thursday, August 1, 2013

SKMM RUJUK JAKIM ISU VIDEO RAYA BERSAMA ANJING – SHABERY

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan merujuk kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sebelum membuat keputusan berhubung kes penyebaran video '1 Hari Di Hari Raya' baru-baru ini yang dianggap menghina Islam.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Shabery Cheek berkata, pandangan dan nasihat Jakim diperlukan bagi memutuskan sama ada video itu mencemar kesucian agama Islam.

"Sekiranya Jakim mendapati video itu menyentuh sensitiviti agama, maka SKMM akan buat keputusan supaya kes itu diserahkan kepada peguam negara," katanya.

Polis semalam menahan Maznah Mohd Yusof, 38, selepas didakwa membuat video kontroversi menyambut Hari Raya bersama tiga ekor anjing dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan.

Maznah dipercayai individu yang memuat naik video itu tiga tahun lepas di YouTube.

Rakaman video selama 1 minit 44 saat itu, memaparkan seorang individu membawa tiga ekor anjingnya bersiar-siar dekat perkarangan masjid dengan menggunakan suara latar Takbir Raya.

Video itu turut menunjukkan individu itu yang memakai Baju Melayu hitam membasuh kaki anjingnya, kemudian seolah mengambil wuduk dengan membasuh kakinya pula dan mengelap anjingnya sebelum menyediakan kuih raya untuk tiga ekor anjing itu.

Video itu juga menyiarkan kata-kata "Raikanlah Aidilfitri bersama-sama, tanpa mengira spesies, warna dan asal-usul (dengan menunjukkan gambar tiga anjing itu).

Maznah kini direman dua hari hingga esok di Ibu Pejabat Polis Daerah Segamat, Johor setelah diambil keterangan di Bukit Aman semalam.

Selain itu, Shabery berkata SKMM telah pun merekod kenyataan Maznah dan siasatan masih dijalankan untuk mengetahui niat sebenar individu itu membuat video berkenaan.

"Banyak pandangan berbeza yang kita terima berhubung kes ini, jadi siasatan perlu dijalankan," katanya. -BERNAMA/mStar

JAKIM KESAL PENERBITAN VIDEO HINA ISLAM

KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kesal dengan penerbitan video menghina Islam, yang sekali lagi menyentuh sensitiviti umat Islam pada Ramadan ini.
Video yang penuh dengan kontroversi

Ketua Pengarahnya Datuk Othman Mustapha berkata penerbitan video itu memang tidak dapat dimaafkan, yang difahamkan dirakam dan diterbitkan sejak 2010.

"Melalui dapatan kami, sememangnya mereka yang terlibat dalam pembikinan video berkenaan secara sengaja ingin mencetuskan kemarahan umat Islam dengan menyamakan umat Islam dengan anjing dalam suasana laungan takbir raya sebagai latar belakang video," katanya dalam kenyataan di sini, Rabu.

Video itu memaparkan seorang individu yang dikenali sebagai Chetz membawa tiga ekor anjingnya bersiar-siar dengan berlatarkan suara takbir raya.

Rakaman video yang berdurasi 1 minit 44 saat itu turut menunjukkan seorang individu memakai Baju Melayu hitam mengambil wuduk sebelum menyediakan kuih raya kepada anjingnya.

Video itu juga menyiarkan kata-kata "Raikanlah Aidilfitri bersama-sama, tanpa mengira spesis, warna, asal usul (dengan menunjukkan gambar tiga ekor anjing)".

Ia turut mengucapkan "Selamat Hari Raya Aidilfitri dari Chetz sekeluarga" dengan gambar individu dikenali Chetz itu duduk bersama dua anjingnya di atas sofa manakala seekor lagi anjingnya di atas lantai (bawah sofa) di dalam sebuah rumah.

Sehubungan itu, Othman berkata Jakim telah mengadakan perbincangan dengan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) hari ini berhubung perkara itu.

"Kami sedia membantu SKMM untuk mengambil tindakan yang sewajarnya kepada pihak yang berkaitan termasuk menghantar satu laporan khusus kepada pihak SKMM dalam masa terdekat," katanya.

Untuk tujuan itu Jakim juga telah membuat aduan kepada pihak polis dan pihak Jabatan Agama Islam Negeri bagi mendapatkan maklum balas berhubung tindakan undang-undang yang boleh diambil. BERNAMA/mStar

VIDEO RAYA: PELATIH ANJING DIBAWA KE SEGAMAT

PETALING JAYA: Maznah Mohd Yusof, wanita yang mencetuskan kontroversi menerusi video sambutan Aidilfitri bersama tiga anjing peliharaannya akan dibawa ke mahkamah Majistret di Segamat yang berkemungkinan bagi mendapatkan perintah lanjutan reman terhadapnya. 
Gambar fail menunjukkan Maznah sedang melatih anjing-anjing peliharaannya.
Peguamnya Latheefa Koya berkata, Maznah telah dibawa ke Segamat awal pagi Khamis iaitu tempat di mana laporan polis pertama dibuat ke atasnya.

"Ini sesuatu yang tidak masuk akal. Mereka sepatutnya boleh menjalankan siasatan di Kuala Lumpur atau Selangor," kata pada Khamis.

Menurut Latheefa beliau sempat menemui Maznah di Bukit Aman awal pagi ini.

Maznah yang juga dikenali sebagai Chetz ditahan pada Rabu.

Wanita itu mencetuskan kontroversi apabila video yang memaparkan aksinya tiga tahun lalu menyambut Aidilfitri bersama tiga anjingnya dimuat naik ke malam YouTube pada Isnin.

Video itu menunjukkan Chetz membawa tiga ekor anjingnya bersiar-siar dekat pekarangan masjid dengan suara latar takbir raya.

Rakaman berdurasi 1 minit 44 saat itu turut menunjukkan Chetz memakai baju Melayu hitam membasuh kaki anjingnya, kemudian seolah-olah mengambil wuduk dengan membasuh kakinya pula dan mengelap anjingnya sebelum menyediakan kuih raya untuk tiga ekor anjing itu.

Video itu juga menyiarkan kata-kata: "Raikanlah Aidilfitri bersama-sama, tanpa mengira spesies, warna dan asal-usul (dengan menunjukkan gambar tiga ekor anjing itu)."

Video itu turut memuatkan ucapan "Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin daripada Chetz sekeluarga" dengan gambar lelaki duduk bersama tiga ekor ekor anjing di atas sofa.. -BERNAMA/mStar



Wednesday, April 24, 2013

ISU VIDEO: MUSTAFA ALI PERLU BUAT PENJELASAN

KUALA LUMPUR - Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali digesa menjelaskan sama ada dakwaan yang mengaitkan beliau dalam aksi video seks mempunyai kaitan dengan keputusan Majlis Syura Ulama yang menolak Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri.

Pengerusi Badan Bertindak Anti Penyelewengan Negeri Kedah, Khairul Anuar Ramli berkata, perkara itu perlu dijelaskan kerana timbul spekulasi dalam kalangan orang ramai yang menganggap Mustafa sebagai mangsa peras ugut puak Anwarinas sejak tahun lepas.

Berikut kenyataan penuh Khairul:

1 - Kita ingin meminta penjelasan Mustafa sama ada insiden klip video lucah baru-baru ini ada kena-mengena dengan insiden keputusan Majlis Syura Ulama Pas untuk menolak Anwar sebagai calon Perdana Menteri. Ini spekulasi orang ramai yang menganggap Mustafa sebagai mangsa peras ugut puak Anwarinas sejak tahun lepas.

2 - Betulkah jawatan Setiausaha Agung Pas bakal diambil alih oleh bekas Setiausaha Agung parti itu, Datuk Kamaruddin Jaafar selepas pilihan raya umum nanti? - Kamaruddin dikatakan rapat dengan puak Anwarinas di dalam Pas yang mahukan Anwar sebagai pemimpin mereka.

Kita harapkan maklum balas daripada Mustafa sebab perkara ini menjadi tanda tanya ramai pihak di dalam dan di luar Pas. –UTUSAN ONLINE

Monday, April 22, 2013


IMEJ PAS MAKIN ROSAK, ISU VIDEO SEKS TIADA TINDAKAN - HASAN BASRI

KUALA LUMPUR 21 April - Imej serta kredibiliti Pas sebagai parti yang dikatakan memperjuangkan Islam semakin rosak apabila isu video seks dikaitkan dengan Setiausaha Agungnya, Datuk Mustafa Ali tiada tindakan.
                                
Bekas Ketua Penerangan Pas Selangor, Hasan Basri Mohamad berkata, sehingga kini Lajnah Tatatertib dan Majlis Syura Ulama parti itu hanya mendiamkan diri seolah-olah tiada apa yang berlaku sedangkan video tersebut telah tersebar khususnya di internet.

Beliau berkata, jika itu juga pendirian yang diambil oleh Pas, tidak mustahil parti tersebut akan ditimpa malapetaka kerana mempermainkan Islam.

''Antara tujuan Pas ditubuhkan berdasarkan Perlembagaan parti itu adalah untuk menjaga kesucian Islam berdasarkan al-Quran dan as-Sunah. Persoalannya mengapa kes ini tidak dirujuk berdasarkan al-Quran dan as-Sunah.

''Apa yang al-Quran perintahkan? Perintahnya ada dalam ayat 6 surah al-Hujurat iaitu jika datang satu berita hendaklah disiasat kebenarannya. Masalahnya kes yang melibatkan Mustafa ini langsung tidak disiasat,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Hasan Basri berkata, tuduhan yang dilemparkan kepada Mustafa itu amat berat dan sekiranya kes tersebut gagal ditangani kemungkinan juga Pas akan menerima hukuman daripada rakyat.

Dalam pada itu beliau mengimbau satu sejarah dalam Pas iaitu pada sekitar 1970-an seorang Ahli Parlimen Pas dari Perak, Hashim Gera telah menari dengan seorang wanita di lobi Parlimen.

''Jawatankuasa disiplin kemudian mengambil keputusan memecatnya kerana perbuatannya itu dilihat memalukan Pas dan tidak selari dengan kehendak Islam.

''Namun, dalam kes yang dikaitkan dengan Mustafa ini lebih teruk daripada itu. Hashim Gera hanya sekadar menari sahaja,'' katanya lagi.

Menjawab satu soalan, beliau berkata, Lajnah Tatatertib serta Majlis Syura Ulama sepatutnya telah memulakan siasatan tanpa perlu menantikan Mustafa membuat laporan polis.

''Mereka perlu lebih proaktif. Mereka boleh memulakan siasatan untuk menentukan sama ada Mustafa terlibat atau tidak. Ini soal maruah sebuah parti Islam.

''Jawatan Setiausaha Agung merupakan satu jawatan yang amat penting dan jawatan ini juga melambangkan sesebuah organisasi ,'' jelasnya.

Mustafa pula katanya, perlu membuat laporan polis sekiranya benar telah difitnah atau membuat sumpah laknat bagi membersihkan namanya. –UTUSAN ONLINE

Thursday, April 18, 2013

ISU VIDEO: MUSTAFA ALI DIMINTA BERSUMPAH DI MASJID

KUALA LUMPUR - Keputusan Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali untuk tidak membuat laporan polis berkenaan isu penyebaran video seks yang mirip beliau boleh dilihat sebagai merosakkan kredibiliti perjuangan Islam Pas selama ini.

Menurut Presiden Pertubuhan Muafakat Sejahtera Malaysia (Muafakat), Ismail Mina Ahmad berkata, adalah lebih baik Mustafa mengangkat sumpah di mana-mana masjid dan menjadikan orang ramai sebagai saksi untuk memperbetulkan kembali fakta berkenaan isu itu jika beliau berada di pihak yang benar.

“Tiada apa yang perlu ditakuti jika beliau tidak melakukan perkara tidak bermoral itu, jadikan kisah Saiyidina Uthman sebagai teladan. Bagaimana khalifah ketiga itu mengangkat sumpah di Masjid Nabawi untuk menafikan pelbagai tuduhan yang dilemparkan terhadapnya.

“Jika di kalangan ahli parti melakukan perkara tidak bermoral seperti ini pun sudah dianggap bertentangan, ini kan pula perwakilan tertinggi parti yang melakukannya. Sudah semestinya dianggap perkara luar biasa," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas penafian Mustafa Ali berhubung dakwaan penyebaran video seks yang menyerupai dirinya di dalam laman sosial baru-baru ini.

Bagi Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Abdullah Zaik Abdul Rahman berkata, sebagai pemimpin tertinggi Pas, Mustafa perlu membersihkan imejnya dengan terlebih dahulu membuat laporan polis untuk membolehkan pihak terbabit melakukan penyiasatan terperinci bagi mendapatkan kesahihan adakah beliau (Mustafa) merupakan pelakon utama video itu ataupun tidak.

“Sekarang ini, langkah terbaik, dia sendiri pergi buat laporan polis supaya perkara tersebut boleh disiasat dan dia boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap pesalah jika dia berada di tempat yang benar.

“Sebagai sebuah parti yang berteraskan Islam masyarakat melihat Pas sebagai tidak konsisten dan goyah dalam memegang prinsip Islamnya, jangan lupa maruah dalam agama perlu dipertahankan bagi menutup keaiban diri sendiri," katanya di sini.

Jelas Abdullah, ekoran video seks ini, kredibiliti jawatankuasa tatatertib Pas sedikit terjejas sejak kebelakangan ini.

“Soal perkaitan moral dan akhlak ahli parti pun tidak mampu diselesaikan ini telah menunjukkan jawatankuasa Pas lemah dalam mengambil tindakan disiplin," jelasnya lagi. -Utusan Online