Showing posts with label Jakim. Show all posts
Showing posts with label Jakim. Show all posts

Thursday, August 1, 2013

JAKIM KESAL PENERBITAN VIDEO HINA ISLAM

KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kesal dengan penerbitan video menghina Islam, yang sekali lagi menyentuh sensitiviti umat Islam pada Ramadan ini.
Video yang penuh dengan kontroversi

Ketua Pengarahnya Datuk Othman Mustapha berkata penerbitan video itu memang tidak dapat dimaafkan, yang difahamkan dirakam dan diterbitkan sejak 2010.

"Melalui dapatan kami, sememangnya mereka yang terlibat dalam pembikinan video berkenaan secara sengaja ingin mencetuskan kemarahan umat Islam dengan menyamakan umat Islam dengan anjing dalam suasana laungan takbir raya sebagai latar belakang video," katanya dalam kenyataan di sini, Rabu.

Video itu memaparkan seorang individu yang dikenali sebagai Chetz membawa tiga ekor anjingnya bersiar-siar dengan berlatarkan suara takbir raya.

Rakaman video yang berdurasi 1 minit 44 saat itu turut menunjukkan seorang individu memakai Baju Melayu hitam mengambil wuduk sebelum menyediakan kuih raya kepada anjingnya.

Video itu juga menyiarkan kata-kata "Raikanlah Aidilfitri bersama-sama, tanpa mengira spesis, warna, asal usul (dengan menunjukkan gambar tiga ekor anjing)".

Ia turut mengucapkan "Selamat Hari Raya Aidilfitri dari Chetz sekeluarga" dengan gambar individu dikenali Chetz itu duduk bersama dua anjingnya di atas sofa manakala seekor lagi anjingnya di atas lantai (bawah sofa) di dalam sebuah rumah.

Sehubungan itu, Othman berkata Jakim telah mengadakan perbincangan dengan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) hari ini berhubung perkara itu.

"Kami sedia membantu SKMM untuk mengambil tindakan yang sewajarnya kepada pihak yang berkaitan termasuk menghantar satu laporan khusus kepada pihak SKMM dalam masa terdekat," katanya.

Untuk tujuan itu Jakim juga telah membuat aduan kepada pihak polis dan pihak Jabatan Agama Islam Negeri bagi mendapatkan maklum balas berhubung tindakan undang-undang yang boleh diambil. BERNAMA/mStar

Tuesday, July 2, 2013

~

ISU PENGHARAMAN SISHA: PERAK, KELANTAN TUNGGU KAJIAN JAKIM

Sisha: Perak, Kelantan tunggu kajian Jakim

Menghisap sisha diharamkan Jawatankuasa Fatwa Perlis 
kerana dipercayai mendatangkan kemudaratan.
SUNGAI SIPUT - Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak dan Kelantan menunggu hasil kajian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) terlebih dahulu sebelum mengeluarkan fatwa berkenaan hukum menghisap sisha.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, buat masa ini pihaknya tidak dapat mengeluarkan fatwa berhubung isu berkenaan kerana perlu menunggu hasil perbincangan antara Jakim dengan Liga Arab.

“Di negara Arab pun ramai yang hisap sisha. Jadi, kita perlu menunggu kajian dari Jakim terlebih dahulu sebelum mengeluarkan sebarang fatwa.

“Bila sudah dapat laporan lengkap dari kajian tersebut, baru kita boleh cerita dengan lebih lanjut,” katanya selepas Majlis Perasmian Kompleks Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Siput, semalam.

Sementara itu Mufti Kelantan, Datuk Muhammad Shukri berkata, pihaknya hanya akan membuat keputusan selepas Muzakarah Fatwa Kebangsaan selewat-lewatnya hujung tahun ini.

Katanya, memandangkan ia isu nasional, keputusan perlu mendapat persetujuan secara menyeluruh melalui kajian dan mempunyai penjelasan yang tidak boleh dipertikaikan pihak lain.

Menurutnya, Majlis Fatwa Kelantan sudah membincangkan status sisha sejak tahun lalu dan akan dibincangkan sekali lagi tahun ini di mana pihaknya kini sedang memperhalusi alasan-alasan.

“Secara persendirian, kita sedang memperhalusi dalil-dalil mengharamkan sisha bukan hanya melihat pada aspek kesihatan, mudarat kepada tubuh badan, tetapi juga sejauh mana bahaya kepada masyaraka," katanya.

Menurutnya, Majlis Fatwa Kelantan juga  mendapatkan pandangan daripada tokoh agama dan ulama dari negara Arab terutamanya Mesir.

“Untuk buat keputusan tak mudah, tertunda sejak tahun lalu lagi.

"Saya jangka keputusan menyeluruh berkenaan sisha pasti akan dapat keputusan selewat-lewatnya hujung tahun ini," katanya.– Sinar Harian