ISU KENAIKAN TOL: TAK MACAM JAWAPAN
MENTERI, KATA PENGANALISIS
SHAH ALAM - Naif dan bukan bertaraf menteri. Demikian
pandangan Prof. Madya Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff terhadap kenyataan menteri
yang meminta pengguna lebuh raya menggunakan jalan biasa jika tidak mahu bayar
lebih untuk kadar tol.
Ujarnya, kenyataan tersebut tidak sepatutnya dikeluarkan
oleh seorang menteri kerana ianya seolah-olah merendahkan intelektual rakyat.
“…dan bagi saya kenyataan tersebut juga bukan bersifat
menteri, sepatutnya seorang menteri tersebut perlu berfikir secara rasional
ketika mengeluarkan sebarang kenyataan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian
Online, hari ini.
Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri
Abdul Wahid Omar berkata, kenaikan kadar tol yang diuar-uarkan bakal berlaku
tahun hadapan sebagai munasabah dan mereka yang tidak bersetuju boleh
menggunakan jalan biasa.
"Kami sediakan jalan alternatif kepada mereka sedia
bayar dengan kadar premium.
"Bagi mereka yang fikirkannya ia terlalu mahal, mereka
ada pilihan untuk tidak gunakan jalan tersebut," kata Abdul Wahid di
Putrajaya semalam.
Sementara itu ketika diminta mengulas mengenai kenaikan
kadar tol pula, Agus mencadangkan, kenaikan hanya pada kadar 10 sen sahaja.
“Kalau kerajaan terdesak untuk naikkan juga harga tol, bagi
saya kenaikan hanya pada harga 10 sen… ini bagi mengelak daripada rakyat terus
terkesan.
“…ini kerana rakyat sudah terkesan dengan pelbagai kenaikan
sebelum ini, oleh itu kasihanilah rakyat,” katanya.
Sebelum ini ada laporan menyebut kadar tol dijangka berlaku
antara 30 sen sehingga RM1, tetapi tidak menyatakan untuk jarak perjalanan
berapa jauh.
Difahamkan, terdapat 13 lebuh raya yang terlibat dalam
semakan semula kadar tol itu.