TOL: KONSESI LEBUH RAYA
PERLU AMBIL KIRA RESPONS RAKYAT
PUTRAJAYA - Syarikat konsesi lebuh raya perlu menjalankan
kajian daya maju dengan mengambil kira respons rakyat terhadap sebarang
cadangan menaikkan kadar tol, kata Menteri Di Pejabat Perdana Menteri Datuk
Seri Abdul Wahid Omar hari ini.
Beliau berkata, kerajaan akan menganalisis daya maju
cadangan itu termasuk mengkaji jumlah trafik dan daya maju komersial serta
kedudukan kewangan konsesi.
"Ini untuk memastikan kadar tol yang ditetapkan mampu
dibayar oleh pengguna lebuh raya," katanya kepada pemberita selepas
perbincangan panel bertajuk "ETP Tiga Tahun Selepas Dilaksanakan" di
sini hari ini.
Panel perbincangan termasuk Menteri di Jabatan Perdana
Menteri Datuk Seri Idris Jala, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri
Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam dan
Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.
Perbincangan mengenai cadangan menaikkan kadar tol tercetus
berikutan kenyataan Menteri Kerja Raya Datuk Fadillah Yusof bahawa kadar
berkenaan akan disemak semula tahun depan sejajar dengan perjanjian antara
kerajaan dan syarikat konsesi.
Sebuah akhbar melaporkan kadar tol bagi 13 lebuh raya
dijangkakan naik antara 30 sen dan RM1.
Abdul Wahid berkata, jalan raya bertol adalah efisien dan
cepat untuk pemandu yang bersedia membayar tol.
"Kepada mereka yang beranggapan kadar tol terlalu
tinggi pada masa depan, mereka mempunyai pilihan untuk tidak menggunakan laluan
bertol tetapi menggunakan jalan raya dibina oleh kerajaan," katanya.
Sementara itu, Abdul Wahid berkata pengendali lebuh raya
PLUS Expressways Bhd mungkin melanjutkan tempoh konsesinya memandangkan ia
mempunyai perjanjian dengan kerajaan untuk mengekalkan kadar tolnya sehingga
2015.
Pada Sabtu, Abdul Wahid berkata kadar tol sepatutnya sudah
disemak semula pada 2011 selaras dengan kandungan dalam perjanjian konsesi,
namun kadar itu dikekalkan, menyebabkan kerajaan terpaksa membayar RM400 juta
duit pembayar cukai sebagai pampasan. – Bernama
No comments:
Post a Comment