KERAJAAN ADA KUASA
TIDAK NAIKKAN TOL - PKR
SHAH ALAM – PKR mendakwa kerajaan mempunyai kuasa untuk
tidak menaikkan kadar tol ekoran sebahagian besar pemegang konsesi lebuh raya
utama negara ini dikuasai anak-anak syarikat milik kerajaan.
“Alasan yang diberikan oleh beliau itu dangkal terutamanya
apabila sebahagian besar daripada pemegang konsesi lebuh raya utama di negara
ini dikuasai oleh anak-anak syarikat milik kerajaan.
“Oleh kerana pemegang konsesi adalah anak-anak syarikat
milik kerajaan, Kerajaan Persekutuan mempunyai kuasa dan pengaruh untuk
merunding semula terma-terma perjanjian untuk tidak menaikkan tol,” katanya
dalam satu kenyataan.
Menurutnya, dua daripada tiga kumpulan terbesar pemegang
konsesi lebuh raya adalah dikuasai agensi kerajaan iaitu Projek Lebuh raya
Utara Selatan (Plus) dan Projek Lintasan Kota Holdings Sdn. Bhd. (Prolintas).
“Plus dikuasai sepenuhnya oleh agensi-agensi kerajaan iaitu
Khazanah dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Prolintas adalah anak
syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB) iaitu agensi amanah saham
milik kerajaan.
“Hanya Gamuda yang merupakan syarikat swasta tetapi
agensi-agensi kerajaan seperti KWSP, Tabung Haji, KWAP, unit-unit Amanah Saham
dan lain-lain mempunyai sekurang-kurangnya 22.59 peratus pegangan (berdasarkan
pemilikan saham akhir tahun 2010) di dalam Gamuda yang menjadikan Kerajaan
Persekutuan sebagai salah satu pemegang saham terbesar Gamuda melalui pelbagai
agensinya,” katanya.
Tambah Rafizi, Abdul Wahid memberi gambaran salah berhubung
kenaikan kadar tol tersebut.
“Sebahagian besar
konsesi tol di negara ini mendapat bantuan kewangan penuh kerajaan semasa
pembinaan. Kerajaan memberikan bantuan seperti subsidi kewangan untuk
pengambilan tanah, pembiayaan mudah melalui Bank Pembangunan atau pun geran
kewangan kepada pemegang-pemegang konsesi untuk membina lebuh raya.
“Contohnya, Lebuhraya Maju Expressway (MEX) dibina hampir
sepenuhnya menggunakan geran kewangan kerajaan berjumlah RM976.7 juta hingga
membolehkan pemegang konsesinya membuat pinjaman kecil sahaja untuk menyiapkan
lebuh raya tersebut.
“Sebab itu saya menyanggah kenyataan beliau yang memberi
gambaran salah bahawa kenaikan tol tidak dapat dielakkan kerana perjanjian
konsesi dimeterai dengan syarikat swasta,” katanya.
Tambahnya, “alasan bahawa kenaikan tol tidak dapat dielakkan
kerana perjanjian yang dimeterai dengan swasta tidak dapat diterima kerana
sebahagian besar konsesi tol dikuasai oleh kerajaan sama ada secara langsung
atau tidak langsung.”
Sumber: Sinar Harian
No comments:
Post a Comment