KENAIKAN TOL
PELENGKAP PAKEJ PENDERAAN RAKYAT?
SEREMBAN - Kenaikan kadar tol dijangka tahun depan, dilihat
menjadi pelengkap pakej penderaan terhadap rakyat.
Naib Ketua AMK, Mohd Nazree Mohd Yunus berkata, pihaknya
membantah perkara itu dan menganggap ianya tidak masuk akal memandangkan rakyat
sudah cukup terbeban dengan beberapa kenaikan oleh kerajaan sebelum ini.
Menurut Mohd Nazree, sepatutnya kadar tol semakin rendah
dari tahun ke tahun kerana syarikat konsesi mendapat pulangan modal bagi
pembinaan lebuh raya, ditambah keuntungan berlipat ganda menerusi pertambahan
kenderaan menggunakannya.
“Secara tidak langsung, keadaan ini menggambarkan betapa
kerajaan pimpinan BN gagal mentadbir negara dengan baik berikutan banyak
kenaikan harga berlaku, sedangkan baru tujuh bulan PRU13 berlalu,” katanya.
Mohd Nazree berkata, selain membebankan dari segi kewangan,
kenaikan itu memberi impak negatif terhadap aspek sosial dan integriti.
“Tidak mustahil, anak-muda muda berada di perantauan selepas
ini jarang pulang ke kampung menemui ibu bapa mereka, gara-gara tidak mampu
menampung kos perjalanan semakin tinggi.
“Pada masa sama, kita juga khuatir gejala rasuah akan
semakin membarah dalam kalangan masyarakat kerana ramai terpaksa mencari duit
lebih untuk menjalani kehidupan seharian yang penuh tekanan,” katanya.
Pada Sabtu, Abdul Wahid berkata kadar tol sepatutnya sudah
disemak semula pada 2011 selaras dengan kandungan dalam perjanjian konsesi,
namun kadar itu dikekalkan, menyebabkan kerajaan terpaksa membayar RM400 juta
duit pembayar cukai sebagai pampasan. – Bernama
Sumber: Sinar Harian
No comments:
Post a Comment