JOHOR BAHRU: Rakyat Malaysia yang berumur 18 tahun
ke atas dibenarkan bekerja di Singapura kecuali bagi lelaki yang berasal dari
Sabah dan Sarawak apabila had umur kelayakan sedia ada dinaikkan kepada 35
tahun.
Peraturan baru itu diperkenalkan sebagai 'hukuman
pentadbiran' selepas beberapa siri jenayah dan pergaduhan yang melibatkan
masyarakat dari Sabah dan Sarawak di republik itu.
Difahamkan beberapa pembunuhan berprofil tinggi yang
melibatkan masyarakat Sabah dan Sarawak di Ang Mo Kio Avenue, Kallang dan juga
di Geylang pada tahun-tahun kebelakangan ini menyumbang kepada perlaksanaan
peraturan ketat itu.
Pekerja baru berumur bawah 35 tahun dihalang
memasuki negara berkenaan manakala kumpulan pekerja dalam lingkungan umar
tersebut berhadapan masalah tidak boleh memperbaharui permit kerja selepas
tamat tempoh.
Presiden Gagasan Dayak Iban Bersatu Malaysia (GAIU),
Sai Malaka berkata, walaupun peraturan itu tidak dibuat secara rasmi oleh
Kementerian Tenaga Manusia (MOM) Singapura, semua permohonan permit kerja oleh
lelaki yang berasal dari Sabah dan Sarawak di bawah umur 35 tahun telah ditolak
secara automatik.
"Saya merasakan bahawa langkah ini adalah
sangat melampau dan diskriminasi terhadap orang Sabah dan Sarawak,"
katanya.
Tambah Sai, masyarakat Sarawak dan Sabah merupakan
pekerja mahir terutamanya dalam sektor minyak dan gas, fabrikasi dan
penyelenggaraan kilang.
Katanya lagi sejak peraturan itu berkuatkuasa, ramai
rakyat Sarawak dan Sabah yang tidak dibenarkan bekerja di Singapura memilih
untuk bekerja di kilang-kilang di Johor, terutamanya di sekitar Pasir Gudang.
"Nasib baik kerajaan membangunkan hab minyak
dan gas di Pengerang dekat sini. Projek itu kini menyediakan kerja yang amat
diperlukan bagi pekerja-pekerja yang menganggur," katanya kepada The Star
pada Ahad.
Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia dan Teknologi
Negeri, M.Asojan berkata beliau menyedari isu berkenaan yang menggesa agar
rakyat Sabah dan Sarawak yang tidak dapat bekerja di Singapura agar mencari
pekerjaan dalam pelbagai industri di Johor. -MStar