Showing posts with label Sarawak. Show all posts
Showing posts with label Sarawak. Show all posts

Tuesday, March 19, 2013

PENCEROBOHAN LAHAD DATU: MISUARI TUDUH MALAYSIA JAJAH SABAH, SARAWAK

MANILA - Ketua Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF), Nur Misuari menuduh Malaysia campur tangan dalam hal ehwal Islam Moro di selatan Filipina dan mendakwa Kuala Lumpur menjajah Sabah dan Sarawak.

Menurutnya, Malaysia menjadi penghalang kepada usaha menyatukan kumpulan Moro yang bertelagah menuntut kemerdekaan di selatan Filipina iaitu kumpulan MNLF dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) iaitu pihak yang terlibat dengan perjanjian damai yang diusahakan oleh Malaysia.

"MILF adalah alat penjajahan Malaysia dan diatur oleh negara itu. Kuala Lumpur ialah dalang di sebalik MILF.

"Maaf kerana terpaksa menyatakan kebenaran dalam masalah ini. Jika Malaysia tidak dibabitkan, saya fikir kami dengan segera dapat menyelesaikan masalah itu dengan kerajaan Filipina," katanya kepada Al Jazeera dalam satu temu bual eksklusif yang disiarkan di sini, semalam.

Misuari berkata, perjanjian damai antara MILF dan kerajaan Filipina yang dijangka dimuktamadkan pada bulan depan adalah helah Malaysia untuk memperkuatkan pengaruhnya di Sabah.

Ketua MNLF itu turut mencabar Malaysia untuk keluar dari Sabah dan membuktikan tuntutan wilayahnya menerusi proses undang-undang.

Misuari turut menegaskan tentangannya kepada rundingan damai MILF dan menyatakan MNLF telah pun menandatangani perjanjian dengan kerajaan Filipina di bawah pentadbiran berbeza di Manila pada 1976, 1987 dan 1996.

"Itu adalah perjanjian damai yang perlu dilaksana terlebih dahulu dan sesiapa yang datang dengan perjanjian baharu adalah perosak," ujarnya. - AGENSI /Utusan Online

Monday, September 10, 2012

LELAKI SABAH, SARAWAK DILARANG KERJA DI SINGAPURA?

JOHOR BAHRU: Rakyat Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas dibenarkan bekerja di Singapura kecuali bagi lelaki yang berasal dari Sabah dan Sarawak apabila had umur kelayakan sedia ada dinaikkan kepada 35 tahun.

Peraturan baru itu diperkenalkan sebagai 'hukuman pentadbiran' selepas beberapa siri jenayah dan pergaduhan yang melibatkan masyarakat dari Sabah dan Sarawak di republik itu.

Difahamkan beberapa pembunuhan berprofil tinggi yang melibatkan masyarakat Sabah dan Sarawak di Ang Mo Kio Avenue, Kallang dan juga di Geylang pada tahun-tahun kebelakangan ini menyumbang kepada perlaksanaan peraturan ketat itu.

Pekerja baru berumur bawah 35 tahun dihalang memasuki negara berkenaan manakala kumpulan pekerja dalam lingkungan umar tersebut berhadapan masalah tidak boleh memperbaharui permit kerja selepas tamat tempoh.

Presiden Gagasan Dayak Iban Bersatu Malaysia (GAIU), Sai Malaka berkata, walaupun peraturan itu tidak dibuat secara rasmi oleh Kementerian Tenaga Manusia (MOM) Singapura, semua permohonan permit kerja oleh lelaki yang berasal dari Sabah dan Sarawak di bawah umur 35 tahun telah ditolak secara automatik.

"Saya merasakan bahawa langkah ini adalah sangat melampau dan diskriminasi terhadap orang Sabah dan Sarawak," katanya.

Tambah Sai, masyarakat Sarawak dan Sabah merupakan pekerja mahir terutamanya dalam sektor minyak dan gas, fabrikasi dan penyelenggaraan kilang.

Katanya lagi sejak peraturan itu berkuatkuasa, ramai rakyat Sarawak dan Sabah yang tidak dibenarkan bekerja di Singapura memilih untuk bekerja di kilang-kilang di Johor, terutamanya di sekitar Pasir Gudang.

"Nasib baik kerajaan membangunkan hab minyak dan gas di Pengerang dekat sini. Projek itu kini menyediakan kerja yang amat diperlukan bagi pekerja-pekerja yang menganggur," katanya kepada The Star pada Ahad.

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia dan Teknologi Negeri, M.Asojan berkata beliau menyedari isu berkenaan yang menggesa agar rakyat Sabah dan Sarawak yang tidak dapat bekerja di Singapura agar mencari pekerjaan dalam pelbagai industri di Johor. -MStar

Thursday, September 6, 2012

PAS LANCAR '12 TAWARAN' UNTUK SARAWAK

MIRI: PAS melancarkan manifesto ‘12 Tawaran PAS Sarawak: Membangun Sarawak Yang Maju dan Berkebajikan’ untuk ‘menakluki’ Sarawak menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang ini.

‘12 Tawaran PAS Sarawak’ yang dilancarkan oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu, ialah menubuhkan Suruhanjaya Diraja Untuk Reformasi Tanah NCR Sarawak; Kemiskinan Sifar Tanpa Mengira Kaum.

PAS juga menawarkan Lebuh Raya Pan-Borneo Sebagai Lebuh Raya Terbaik; SCORE Sebagai Hab Tek-nologi Hijau Berinovatif; Sarawak Sebagai Agropolitan Pengeluar Makanan Utama Malaysia; Jalan Raya, Bekalan Elektrik dan Air Bersih Untuk Semua;

Dalam bidang pendidikan pula, Capaian Sistem Pendidikan Yang Berkualiti Untuk Semua; Meningkatkan Royalti Hasil Petroleum Sarawak Kepada 20 peratus; Tabung Warisan Petroleum Anak Sarawak; Tawaran Khas Untuk Golongan Wanita dan Tawaran Khas Untuk Golongan Muda.

Abdul Hadi menyifatkan dokumen ‘12 Tawaran PAS Sarawak: Membangun Sarawak Yang Maju dan Berkebajikan’ adalah terjemahan praktikal Agenda Negara Berkebajikan yang diutarakan oleh PAS dalam konteks negeri Sarawak yang dipinggirkan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) di peringkat persekutuan sejak sekian lama.

Katanya dokumen tersebut juga merupakan ‘blueprint’ politik PAS untuk negeri Sarawak dan akan menjadi asas perjuangan PAS di peringkat persekutuan dalam membela nasib rakyat Sarawak tanpa mengira kaum dan agama.

“Semoga dokumen ‘12 Tawaran PAS Sarawak’ ini akan memberi impak yang positif terhadap gerak kerja parti khususnya dalam memenangi hati rakyat Sarawak dalam Pilihan Raya Umum akan datang,” katanya.

Abdul Hadi dalam ucapannya pada majlis sempena Program Himpunan Hijau ke Putrajaya Peringkat Negeri Sarawak yang diadakan di sini, malam kelmarin mengajak seluruh jentera dan penyokong PAS serta parti-parti dalam Pakatan Rakyat (PR) untuk bekerjasama dan berkongsi ‘kekuatan’ menum-bangkang BN yang disifatkan beliau sebagai ‘gajah’ dan mereka umpama semut. -Harakahdaily