SPPBS: GURU
TERTEKAN, SYUKUR JIKA DITAMBAHBAIK
SHAH ALAM – Usaha kerajaan untuk menambah baik Sistem
Pengurusan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (SPPBS) disambut baik para guru.
Capaian SPPBS akan ditangguhkan mulai 30 November hingga 31
Disember ini dan dibuka semula mulai 1 Januari hingga 31 Januari depan.
Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan menyebut bahawa
kementerian memandang berat isu capaian SPPBS oleh guru-guru ketika mengisi
prestasi pelajar bagi tahun ini.
Seorang guru dari Perak akui sistem SPPBS yang lembap
menyumbang kepada bebanan para guru setiap kali mengisi data pelajar.
“Kami memang berdepan macam-macam masalah. Lagi-lagi jika
pelajar ponteng sekolah sampai berbulan-bulan atau pelajar dari sekolah agama
yang bukan kerajaan kemudian mendaftar masuk ke sekolah kerajaan.
“Untuk cikgu yang pegang banyak kelas memang terbeban,”
katanya kepada Sinar Harian Online.
Menurutnya, masalah ‘server’ yang diperkatakan sejak
kebelakangan ini memang berlaku setiap kali
guru mahu memasukkan data pelajar.
"Masalah utama saya rasa ‘server’ sebab kita nak
bergerak dari satu petak ke petak lain untuk seorang pelajar pun akan sangkut.
Kadang-kadang apabila kita ‘log in’, ia akan ‘log out’ semula.
“Kalau masa tengah teruk, seorang pelajar pun kita tak mampu
nak masukkan datanya. Tengah-tengah kita isi markah pun, ia boleh ‘log out’
semula dan tak ‘save’ pun data yang kita isi dari awal.
“Sekarang ini saya nampak mereka fokus pada sistem yang
lembap. Mungkin mereka akan ‘upgrade server’ di sana, itu saya tak pasti. Yang
beban di sekolah ini mereka tak peduli,” katanya.
Beliau bagaimana pun tidak menolak bahawa perancangan sistem
itu memang bagus namun gagal dalam pelaksanaan.
“Cakap tentang perubahan, dah banyak kali mereka buat tapi
tak ada kesan yang besar sangat.
“Dalam kementerian ini, perancangannya bagus tapi pelaksanaan
di bawah yang bermasalah. Orang bawah tidak bersedia untuk melaksanakan arahan
orang atas,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi guru dari Johor Bahru mengakui
berdepan masalah sama ketika menggunakan sistem tersebut.
“Sistem sedia ada wajar dipertingkatkan lagi. Mungkin akhir
tahun ini guru-guru serentak mengisi penilaian, sistem semakin bermasalah.
“Apabila masukkan data pelajar, sampai dua, tiga pagi masih
‘loading’,” katanya.
Beliau mengharapkan penambahbaikan itu bakal menyelesaikan
masalah sedia ada.
“(Kementerian mahu memastikan sistem itu lebih efisien) itu
yang kita harapkan. Kalau boleh tak ada masalah.
“Sebab ia berpanjangan. Setiap bulan perlu masukkan data
pelajar, jadi, saya harap selepas ini ia lebih baik dan berkesan,” katanya.
Sumber: Sinar Harian