Showing posts with label cina. Show all posts
Showing posts with label cina. Show all posts

Saturday, November 16, 2013

PERSATUAN PERANAKAN CINA KELANTAN BANTAH HUDUD

KOTA BHARU - Penasihat Persatuan Peranakan Cina Kelantan, Law Awang mendakwa masih ramai dalam kalangan bukan Islam tidak bersetuju pelaksanaan hukum hudud jika ia melibatkan lain-lain kaum.

Katanya, Kelantan mempunyai masyarakat majmuk dan hudud tidak sepatutnya dilaksanakan kepada kaum bukan Islam.

“Sekarang kalau mahu melaksanakan hukum hudud, ia melibatkan agama lain. Kita tidak setuju tetapi jika dilakukan untuk agama Islam sahaja, kita tidak membantah.

“Dalam masyarakat majmuk, kita tidak boleh buat begitu (hudud) kerana apabila ia lulus, ia boleh melibatkan orang lain termasuk bukan Islam secara automatiknya kerana kita berada di Kelantan,” katanya ketika diminta mengulas mengenai pelaksanaan
hudud di Kelantan.

Dengan mengambil beberapa contoh syarat yang dikenakan di negeri ini termasuk pembinaan rumah kedai yang diwajibkan berbumbung bentuk kubah masjid, Law Awang berkata, kebiasaannya semua syarat yang diluluskan wajib dipatuhi semua kaum di negeri ini.

“Kita perlu timbang masyarakat majmuk di Malaysia. Beberapa perkara tidak boleh diimplementasikan di negara ini,” katanya.


Sumber: Sinar Harian

Monday, July 15, 2013

PEMIMPIN CINA KUTUK, SIFATKAN ALVIN, VIVIAN PASANGAN BIADAB

KUALA LUMPUR 14 Julai - Tindakan pasangan kontroversi, Tan Jye Yee dan Vivian Lee mempersenda agama Islam dan bulan Ramadan dalam Facebook baru-baru ini tidak boleh diterima dan mendapat tentangan daripada masyarakat Cina negara ini.

Beberapa pemimpin kaum Tionghua turut menyelar tindakan biadab pasangan digelar Alvin dan Vivian itu serta mahu tindakan tegas diambil ke atas mereka demi menjaga keharmonian kaum.

Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Seri Michael Chong menganggap perbuatan pasangan itu kurang ajar dan mereka wajar ditangkap serta dikenakan tindakan undang-undang.

"Saya ada berbincang dengan 10 rakan Cina tentang perkara ini, kesemua mereka amat marah dan menyifatkan perbuatan itu tidak sepatutnya terjadi. Saya yakin kaum Cina lain juga marah dan menganggap perkara itu cukup kurang ajar.

"Dua orang ini perlu 'diajar'. Dahulu mereka memalukan kaum Cina, tetapi sekarang melakukan publisiti murahan dengan menghina masyarakat Islam pula," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Pasangan yang sebelum ini merakam adegan seks, baru-baru ini telah memuat naik gambar mereka menikmati hidangan dengan kapsyen 'Selamat Berbuka Puasa dengan bak kut teh (sup tulang babi)... wangi, enak dan menyelerakan' di laman Facebook mereka.

Mengulas lanjut, Michael bersetuju jika pasangan itu ditangkap dan dikenakan tindakan undang-undang yang sewajarnya.

"Apa cara sekali pun, mereka berdua ini perlu diajar dan dihukum.

"Dahulu mereka pernah memalukan kaum Cina dengan melakukan perbuatan terkutuk, sekarang mereka cuba menggugat keharmonian kaum pula," katanya.

Seorang lagi pemimpin kaum Cina iaitu Pengerusi Pertubuhan Social Care, Tan Sri Robert Phang berkata, perbuatan Alvin dan Vivian itu sangat melampau dan tidak boleh diterima sama sekali.

"Perbuatan menunjukkan makanan 'non halal' sebegitu dengan kapsyen 'Selamat Berpuasa' sangat melampau. Perkara itu tidak boleh dibenarkan kerana kaum Cina di negara ini harus menghormati ibadat orang Islam yang sedang berpuasa.

"Saya harap kaum Cina menjaga sensitiviti rakyat dengan tidak melakukan perbuatan menjejaskan keharmonian kaum," katanya ketika ditemui selepas membuat satu laporan polis di Balai Polis Tun Razak hari ini.

Selain beliau, Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, pasangan itu boleh disiasat mengikut undang-undang berikutan laporan polis yang dibuat banyak pihak.

"Mereka tidak sensitif dengan perkara yang begitu penting kepada orang Islam dan saya sebagai pemegang amanah Yayasan 1Malaysia amat kesal apabila perkara ini terjadi.

"Saya juga anggap perbuatan mereka itu tidak boleh diterima ramai dan wajar dikecam pelbagai pihak," katanya.–Utusan Online

Thursday, May 16, 2013

DAP BUKAN PARTI CINA?

SHAH ALAM – Kejayaan DAP dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) dikaitkan dengan pendekatan ‘centrist’ yang mula diamalkan parti itu sejak tahun 2006.

Penolong Setiausaha Publisiti DAP, Zairil Khir Johari memberitahu hadirin pada wacana siri ke-20 anjuran Sinar Harian yang mengupas topik Pasca PRU13 : Ke Mana Haluan Politik Melayu, semalam.

Menurut Zairil, kira-kira lima dekad lalu, DAP hanyalah sebuah parti pinggiran yang turut tidak mendapat sokongan kaum Cina.

“Ya, memang kebanyakan ahli DAP dari masyarakat Cina. Itu memang tidak dinafikan. Cuma, kita kena faham. Dalam tahun 60-an, 70-an, 80-an, akses kepada media memang kosong. Melainkan apabila melaungkan atau mengambil isu-isu yang sangat 'sensational'.

“Kerana itu, ia menampakkan DAP hanya parti pinggiran. Sama juga seperti PAS yang terpaksa menjadi parti pinggiran kerana tidak mendapat ruang dalam media massa. Kami tak berpeluang akses kepada media. Kami hanya kendalikan isu pinggiran,” katanya.

Malah menurutnya, sebelum tahun 2008 sekalipun, DAP tidak menjadi pilihan kaum Cina sendiri.

“Sebelum 2008, untuk masyarakat Cina kelas pertengahan, bagimereka pun, DAP bukan pilihan. Tahun 2003, 2005... masuk DAP? Undi DAP pun tidak mungkin. Itu yang DAP tak pernah menang kerusi sebanyak yang ada sekarang,” katanya.

Zairil yang juga ahli Parlimen Bukit Bendera menjadi panelis pada wacana anjuran Sinar Harian bersama Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Saifuddin Abdullah dan Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Raja Datuk Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad.

Program kali ini dikendalikan oleh pensyarah Fakulti Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara, Profesor Madya Dr Shaharuddin Badaruddin.

Beliau juga menyentuh soal perubahan yang dilakukan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng pada tahun 2006.

“Apa yang berlaku adalah pada tahun 2006, Lim Guan Eng ketika menjadi Setiausaha Agung, beliau telah menukar haluan DAP daripada sebuah parti pinggiran, kepada parti pertengahan, sederhana.

“Konsep middle Malaysia telah diperkenalkan pada tahun 2006. Sejak itu, DAP ambil pendekatan ‘centrist’. Dengan pendekatan inilah, baru kita dapat menarik orang India, orang Cina, orang Melayu daripada golongan menengah,” katanya.

Tambahnya, “jadi, saya rasa politik masa depan Malaysia adalah politik yang ‘centrist’, rasional dan berteraskan idea. Bukan politik perkauman.”

Sementara itu, beliau juga menekankan bahawa DAP bukan parti Cina ekoran memiliki ramai ahli parlimen dari kaum India.

“Saya juga nak menekankan selalu dikatakan DAP ini parti Cina. Tapi hakikatnya, DAP mempunyai wakil rakyat India yang paling ramai di Malaysia. Lebih daripada MIC sendiri selama dua penggal parlimen berturut-turut.

“Bagi penggal ini, kami mempunyai wakil dari kaum Kadazan, India, Cina, Melayu. Semua ada. Ini akan jadi masa depan dan hala tuju DAP dalam masa akan datang,” katanya. -Sinar Harian

PASCA PRU13: SEBILANGAN BESAR CINA MASIH SOKONG BN - GERAKAN

KUALA LUMPUR - Masih ada sebilangan besar rakyat Malaysia keturunan Cina menyokong kerajaan Barisan Nasional (BN), kata Ketua Pemuda Gerakan Kedah Tan Keng Liang.

Oleh itu, ia adalah terlalu mengelirukan untuk mewujudkan persepsi yang salah bahawa semua rakyat Malaysia keturunan Cina mengkhianati masyarakat Melayu memandangkan terdapat juga di kalangan orang Melayu yang menyokong pembangkang, katanya dalam satu kenyataan.

Tan berkata demikian bagi merujuk kenyataan bekas Hakim Mahkamah Rayuan Mohd Noor Abdullah semalam yang memberi amaran kepada masyarakat Cina supaya bersedia menghadapi tindak balas daripada orang Melayu atas 'pengkhianatan' mereka pada Pilihan Raya Umum ke-13 baru-baru ini.

"Sebagai anggota jawatankuasa aduan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada masa ini, Mohd Noor perlu menahan diri daripada mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menimbulkan keresahan di kalangan rakyat Malaysia selepas pilihan raya," katanya.

Beliau berkata pilihan raya adalah satu proses demokrasi dengan mana-mana rakyat Malaysia boleh memilih mana-mana parti untuk diundi dan pilihan itu bukan satu tindakan khianat ke atas mana-nmana parti politik atau masyarakat.- Bernama/Sinar Harian

Tuesday, May 14, 2013

NAJIB MAHU WAKIL CINA DALAM KABINET
PETALING JAYA: Wakil Cina dalam Kabinet yang dijangka akan diumumkan esok, masih menjadi keutamaan bagi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam memilih pasukan pentadbirannya.

Difahamkan Najib telah mengadakan beberapa siri mesyuarat bersama dengan pemimpin parti komponen BN termasuk wakil pemimpin senior Umno berhubung dilema yang dihadapi selepas MCA enggan menerima sebarang jawatan dalam kerajaan selepas keputusan yang kurang memberansangkan dicatatkan dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

MCA hanya memenangi tujuh daripada 37 kerusi Parlimen yang ditandinginya dan dalam mesyuarat agung luar biasa parti itu tahun lalu memutuskan resolusi bahawa sekiranya mereka tidak dapat mencipta keputusan yang lebih baik daripada pilihan raya umum 2008 mereka tidak akan menerika sebarang jawatan dalam jabatan kerajaan.

Bagaiamanapun, difahamkan Najib masih mahu mengekalkan konsep kepelbagaian kaum dalam BN yang memerlukan wakil Cina dalam Kabinet.
Barisan Kabinet yang baru dijangka akan mengangkat sumpah di Istana Negara pada Khamis.

Gerakan merupakan sebuah parti pelbagai kaum namun didominasi oleh kaum Cina, kini hanya mempunyai seorang wakil di Dewan Rakyat bagi kerusi Parlimen Simpang Renggam di Johor.


Turut kedengaran spekulasi mengatakan Najib masih mengosongkan beberapa jawatan Kabinet untuk dipegang oleh MCA apabila mereka telah bersedia untuk memegang jawatan berkenaan.

Sementara itu, Najib, boleh menjadi penjaga kepada dua jawatan menteri di kementerian berkenaan.

Satu lagi cadangan ialah Najib melantik tokoh akademik Cina terkenal atau tokoh perniagaan sebagai menteri.

Selain itu, Najib dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka mengekalkan tiga-tiga Naib Presiden Umno dalam Kabinet yang terdiri daripada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Shafie Apdal dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Ada juga cakap-cakap yang mengatakan Presiden MIC, Datuk Seri G. Palanivel dan timbalannya, Datuk Seri Dr S. Subramaniam akan dilantik menyertai Kabinet selepas mereka masing-masing memenangi kerusi Parlimen Cameron Highlands dan Segamat.

Najib juga mempunyai pilihan untuk melantik semula Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala kerana tempoh pelantikannya sebagai senator hanya akan tamat pada 2015.

Sebelum pilihan raya umum, terdapat 10 senator yang memegang jawatan serta portfolio sebagai menteri dan timbalan menteri

Mencari calon wanita dalam Kabinet juga tidak menjadi satu masalah.

Antara pelopor yang dijangka akan dilantik sebagai menteri ialah bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Noriah Kasnon, Datuk Halimah Sadique yang memenangi kerusi Parlimen Tenggara serta bekas Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

Najib juga dijangkan mempertimbangkan penyertaan muka-muka baru dalam Kabinet termasuk mereka yang mengetuai syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta tokoh korporat ternama yang dapat memperbaiki pengurusan ekonomi negara.

Antara nama yang menjadi sebutan ialah Pengarah Urusan Khazanah Nasional Tan Sri Azman Mokhtar.

Bagi mencari wakil generasi muda Malaysia dalam Kabinet, Perdana Menteri boleh membuat pilihan termasuk memilih Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Dahlan.

Timbalan Pengerusi Majlis Profesor Negara, Prof Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin berkata, Khairy dan Abdul Rahman merupakan calon sesuai yang dapat menarik minat pengundi muda.

"Untuk mendapat sokongan orang muda, anda perlu menteri yang bersikap vokal dan tidak takut untuk berterus-terang, kerana pada mas kini tidak ramai pemimpin seperti mereka dalam barisan Ahli Parlimen sedia ada. Ini akan menimbulkan masalah," katanya.

Pengerusi Pusat Kajian Dasar Awam (CPPS) Tan Sri Ramon Navaratnam berkata ramai pihak berharap barisan Kabinet yang baru akan terdiri daripada pemimpin yang bijak, layak, muda serta jujur yang berfikir serta meletakkan kepentingan rakyat Malaysia di hadapan.- mStar
TIADA MASALAH JIKA TIDAK ADA SUARA CINA DALAM KERAJAAN - AHLI AKADEMIK
KUALA LUMPUR - Sekiranya berlaku ketiadaan wakil kaum Cina dalam Kabinet maka ia tidak akan menimbulkan masalah besar kepada kerajaan atau masyarakat Cina, kata seorang ahli akademik hari ini.

Dr Ser Wue Hiong, pensyarah kanan Jabatan Pengajian Bahasa Asing di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), berkata jika senario itu berlaku maka sebarang kebimbangan hanya untuk jangka masa pendek dan boleh diatasi.

MCA dan Gerakan mengambil keputusan tidak mahu menerima jawatan dalam Kabinet atas dasar 'menghormati keputusan pengundi' selepas kedua-dua parti komponen Barisan Nasional (BN) itu mencapai prestasi buruk pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), 5 Mei lepas.

Pendirian kedua-dua parti itu telah menimbulkan persoalan daripada semua pihak.

Sebilangan pihak khuatir masyarakat itu akan dipinggirkan sekiranya mereka tidak mempunyai suara dalam Kabinet manakala ramai termasuk Ser mempunyai pandangan sebalik.

Ser memberitahu Bernama bahawa hakikat pengundi Cina menolak calon MCA dan Gerakan membuktikan isu wakil Cina dalam Kabinet juga tidak menjadi kebimbangan kepada mereka.

Beliau berkata politik dalam era baharu ini perlu juga berpisah daripada tradisi dan lebih penting lagi, ahli politik yang dipilih harus mewakili semua kaum dan bukan bangsa tertentu atau parti politik.

Katanya ahli politik yang hanya memperjuangkan untuk sesuatu kaum sahaja bukan sesuatu yang baik dalam masyarakat berbilang kaum di negara ini.

"Saya fikir ini adalah realiti di Malaysia hari ini. Kita perlu beralih daripada tradisi," katanya.

Ser, seorang pakar dalam pengajian kaum Cina di Malaysia, berpendapat sektor yang mungkin mempunyai kesan ialah pendidikan Cina tetapi masalah itu mungkin hanya sementara sahaja.

Beliau yakin Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai perdana menteri untuk semua dan dengan pendekatan 1Malaysia, beliau tidak akan meminggirkan pembangunan masyarakat Cina termasuk pendidikan Cina selepas PRU13.

"Saya percaya beliau akan melakukan perubahan dan melihat pendekatan baharu bagi memenuhi keperluan dan kepentingan pendidikan Cina.

"Salah satu cara yang boleh saya lihat ialah beliau akan melantik seorang pendidik Cina untuk duduk dalam kerajaan bagi menjaga pendidikan Cina," katanya.

Sebelum ini, seorang timbalan menteri Cina memegang portfolio untuk menjaga pendidikan Cina. - Bernama/Sinar Harian

Wednesday, May 8, 2013

PRU13 BUKTI 'TSUNAMI CINA, MELAYU TAMAK – TUN M

Tun Dr Mahathir Mohamad.PUTRAJAYA -  Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, keputusan pilihan raya umum ke-13 (PRU13) sememangnya menampakkan berlaku 'tsunami kaum Cina' selain wujud masyarakat Melayu yang tamak.

Dr Mahathir berkata, beliau pernah menyentuh perkara itu dalam beberapa kempen pilihan raya sebelum ini, misalnya di Johor, apabila menyatakan negeri itu menyaksikan pelaksanaan konsep perkongsian kuasa yang baik bagi kaum Melayu, Cina dan India.

"... tetapi datang Kit Siang (penasihat DAP Lim Kit Siang), dia membawa konsep Malaysian Malaysia yang bertujuan menimbulkan kebencian orang Cina terhadap kaum Melayu, kononnya dikatakan (Melayu) memiliki segalanya setelah merdeka," katanya kepada pemberita pada satu sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana semalam.

Beliau berkata, situasi itu dilihat berkembang di seluruh negara sehingga menyebabkan kaum Cina menolak persahabatan masyarakat Melayu sekali gus tercetus 'tsunami kaum Cina'.

Dr Mahathir berkata demikian ketika menjawab soalan pemberita berhubung kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang merujuk kekalahan Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman di kerusi Parlimen Gelang Patah lebih kepada faktor 'tsunami kaum Cina', dan menyaksikan mereka lebih cenderung menyokong pembangkang.

Sejurus pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung kemenangan Barisan Nasional (BN), Najib berkata, beliau sama sekali tidak menduga keputusan PRU13 akan berlandaskan sikap perkauman, jauh sekali mencapai peringkat seburuk itu.

Dr Mahathir turut berpendapat kaum Melayu kini semakin lemah dan berpecah-belah kerana sikap tamak mengejar kuasa serta jawatan sehingga mengabaikan perjuangan Melayu itu sendiri, iaitu berkhidmat untuk bangsa, agama dan negara.

"Pada masa sama, tidak boleh kecualikan orang Melayu yang jadi tamak, masing-masing hendak kuasa, tidak kira cara mana. Kalau perlu jual bangsapun, akan mereka jual bagi mendapat apa yang mereka hendak," katanya.

Beliau berkata, masyarakat Melayu dilihat tidak memahami konsep sebenar pilihan raya yang diadakan bagi tujuan membentuk sebuah kerajaan, apabila kebanyakan mereka menganggap ia hanya sebagai sebagai platform untuk kepentingan diri semata-mata sehingga berlaku perpecahan.

"Orang Melayu ini tidak faham. Mereka ingat dalam pilihan raya ini untuk mendapat tempat, gaji, peluang dapat kerja, kalau menang jadi Yang Berhormat (YB) yang dapat elaun dan kemudahan, bukan untuk berkhidmat perjuangkan bangsa, agama dan tanah air, mereka lupa sama sekali.

"Mereka tidak nampak pilihan raya sebagai satu cara membentuk kerajaan, tetapi berebut hendak tempat bagi diri sendiri sehinggakan fikir kalau menang akan dapat tempat, keuntungan yang banyak dan dapat projek," katanya. – Bernama/Sinar Harian