KUALA LUMPUR - Sekiranya berlaku
ketiadaan wakil kaum Cina dalam Kabinet maka ia tidak akan menimbulkan masalah
besar kepada kerajaan atau masyarakat Cina, kata seorang ahli akademik hari
ini.
Dr Ser Wue Hiong, pensyarah kanan
Jabatan Pengajian Bahasa Asing di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), berkata
jika senario itu berlaku maka sebarang kebimbangan hanya untuk jangka masa
pendek dan boleh diatasi.
MCA dan Gerakan mengambil keputusan
tidak mahu menerima jawatan dalam Kabinet atas dasar 'menghormati keputusan
pengundi' selepas kedua-dua parti komponen Barisan Nasional (BN) itu mencapai
prestasi buruk pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), 5 Mei lepas.
Pendirian kedua-dua parti itu telah
menimbulkan persoalan daripada semua pihak.
Sebilangan pihak khuatir masyarakat itu
akan dipinggirkan sekiranya mereka tidak mempunyai suara dalam Kabinet manakala
ramai termasuk Ser mempunyai pandangan sebalik.
Ser memberitahu Bernama bahawa hakikat
pengundi Cina menolak calon MCA dan Gerakan membuktikan isu wakil Cina dalam
Kabinet juga tidak menjadi kebimbangan kepada mereka.
Beliau berkata politik dalam era baharu
ini perlu juga berpisah daripada tradisi dan lebih penting lagi, ahli politik
yang dipilih harus mewakili semua kaum dan bukan bangsa tertentu atau parti
politik.
Katanya ahli politik yang hanya
memperjuangkan untuk sesuatu kaum sahaja bukan sesuatu yang baik dalam
masyarakat berbilang kaum di negara ini.
"Saya fikir ini adalah realiti di
Malaysia hari ini. Kita perlu beralih daripada tradisi," katanya.
Ser, seorang pakar dalam pengajian kaum
Cina di Malaysia, berpendapat sektor yang mungkin mempunyai kesan ialah
pendidikan Cina tetapi masalah itu mungkin hanya sementara sahaja.
Beliau yakin Datuk Seri Najib Tun Razak
sebagai perdana menteri untuk semua dan dengan pendekatan 1Malaysia, beliau
tidak akan meminggirkan pembangunan masyarakat Cina termasuk pendidikan Cina
selepas PRU13.
"Saya percaya beliau akan melakukan
perubahan dan melihat pendekatan baharu bagi memenuhi keperluan dan kepentingan
pendidikan Cina.
"Salah satu cara yang boleh saya
lihat ialah beliau akan melantik seorang pendidik Cina untuk duduk dalam
kerajaan bagi menjaga pendidikan Cina," katanya.
Sebelum ini, seorang timbalan menteri
Cina memegang portfolio untuk menjaga pendidikan Cina. - Bernama/Sinar Harian
No comments:
Post a Comment