KUALA LUMPUR - Pengundi muda banyak
mempengaruhi keputusan pilihan raya umum ke-13 (PRU13) yang dimenangi Barisan
Nasional (BN) minggu lepas dan senario ini seharusnya diterjemahkan kepada
penyertaan lebih ramai pemimpin muda dalam Kabinet baharu kerajaan.
Bagi penganalisis, langkah mengiktiraf
pemimpin muda sebagai pentadbir negeri seperti Datuk Mukhriz Tun Mahathir di
Kedah, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di Johor dan Datuk Idris Haron di
Melaka, mencerminkan kerajaan pimpinan
BN bergerak seiring dengan perubahan landskap politik negara.
Penganalisis politik turut berhujah
tentang perlunya pemimpin muda itu memiliki kriteria seperti proaktif, kreatif
dan konstruktif jika dipilih menerajui sesebuah kementerian.
Pengarah Pusat Dasar Teknologi dan
Kajian Antarabangsa, Universiti Teknologi Malaysia, Prof Dr Azmi Hassan berkata
pemimpin muda yang diangkat sebagai menteri perlu mampu berkomunikasi secara
berkesan terutama menerusi alam siber.
"Selain itu, kementerian melibatkan
orang muda seperti Kementerian Belia dan Sukan memerlukan menteri yang bijak
memenuhi kehendak dan kecenderungan generasi muda," katanya.
Azmi berkata kerajaan juga perlu
mempertimbang meletakkan menteri muda di kementerian melibatkan komunikasi yang
menjadi tunjang penyaluran maklumat sahih selain menangkis maklumat berbentuk
penipuan dan tohmahan terutama di Internet.
"Masalah sekarang ialah golongan
muda lebih mempercayai maklumat tidak sahih yang tersebar dalam Internet
berbanding apa yang disalurkan media arus perdana," katanya sambil
menekankan, perkara ini perlu diberi perhatian serius.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Sains
Politik, Universiti Sains Malaysia, Dr Sivamurugam Pandian mencadangkan
kerajaan mewujudkan Kementerian Perpaduan dan Kewarganegaraan yang diterajui
pemimpin muda ke arah memastikan keamanan dan semangat muafakat masyarakat
pelbagai bangsa di negara ini terus terpelihara.
"Apabila meletakkan orang muda,
kita akan dapat lihat hasil berbeza yang selari dengan cara pemikiran generasi
masa kini kerana mereka (pemimpin muda) lebih memahami cara serta kehendak
orang orang muda sekarang," jelasnya.
– Bernama/Sinar Harian
No comments:
Post a Comment