PETALING JAYA: Idea politik berasaskan
kaum dengan menyatukan pemimpin daripada Umno, MCA dan MIC dilihat sebagai
usaha perdamaian selepas Malaysia menghadapi pilihan raya umum merupakan salah
satu usaha yang perlu diterokai oleh Barisan Nasional, kata Ahli Parlimen
Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Khairy, yang juga Ketua Pemuda Umno
berkata BN wajar menerokai semua kemungkinan termasuk mengabungkan pemimpin
di kalangan parti komponen bagi memastikan usaha perdamaian pasca PRU-13 lebih
relevan.
"Tidak ada satu idea yang tidak
baik pada ketika ini. Kita perlu analisis yang lebih komprehensif terhadap
keputusan pilihan raya. Selepas itu kita perlu mencari jalan terbaik untuk
pembaharuan dalam BN," katanya sambil menambah BN tidak akan dapat
melakukan perubahan pada kedudukan sedia ada.
"Kita tidak lagi dapat menarik
perhatian pengundi. Kita masih ketinggalan zaman dan kehilangan sentuhan namun
perubahan perlu dibuat bukan hanya luaran semata-mata. Dengan hanya menukar
nama BN tidak cukup. Rakyat mahukan perubahan secara menyeluruh," katanya
pada Isnin.
Dilaporkan Setiausaha Agung Umno, Datuk
Seri Tengku Adnan Tengku Mansor telah mencadangkan parti komponen BN bergabung
menjadi satu parti sebagai sebahagian daripada langkah penjenamaan semula parti
itu untuk kekal releval kepada semua rakyat Malaysia.
Ahli Parlimen Putrajaya itu berkata BN
sedang mengkaji semua cadangan sebagai langkah penjenamaan semula bagi
memastikan ia dapat membawa perubahan yang signifikan.
Bagaiamanapun ketika dihubungi, Tengku
Adnan enggan mengulas lanjut mengenai isu berkenaan.
Naib Presiden MCA, Datuk Donald Lim
Siang Chai berkata langkah penggabungan merupakan idea yang baik bagi
mengurangkan perbalahan dalaman dikalangan parti komponen dalam BN sekaligus
memastikan ia sebuah parti yang sesuai bagi sebuah negara majmuk yang terdiri
daripada pelbagai kaum seperti Malaysia.
Turut menyambut baik idea untuk
mengakhiri politik berasaskan kaum ialah, Setiausaha Agung MIC, Datuk
S.Murugesan dengan menyifatkan ia sebagai langkah yang positif kepada BN.
"Pembangkang sering menuduh kita
mempunyai hubungan yang dangkal dan ini akan menutup mulut mereka yang
menggelarkan kita parti yang rasis," katanya.
Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk
Saifuddin Abdullah turut bersetuju, beliau berkata langkah tersebut perlu
disertai dengan memberi keahlian terus dalam BN sementara parti komponen boleh
meneruskan dengan apa yang telah mereka rancangkan.
Beliau berkata secara rasionalnya itulah
yang dimahukan oleh ramai pihak terutamanya golongan pertengahan seperti
golongan remaja, pelajar serta golongan profesional yang berpendidikan, mereka
tidak suka politik berasaskan kaum. - mStar
No comments:
Post a Comment