KEKALKAN KUASA POLITIK MELAYU
KUALA
LUMPUR - Resolusi Wacana Post Mortem Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13): Bicara
Kepimpinan dan Survival Ummah akan diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk
Seri Najib Tun Razak esok untuk diambil tindakan bagi menjaga perpaduan dan hak
bangsa Melayu.
Presiden Persatuan Pemikir Profesional Melayu Malaysia, Prof. Datuk Dr. Kamaruddin Kachar berkata, resolusi itu juga menggesa kuasa politik bangsa Melayu dikekalkan menerusi kerjasama erat parti-parti politik Melayu di negara ini.
"Kita
tidak lagi mahu bangsa Melayu diperkotak-katikkan, bangsa Melayu mesti tegas,
mesti lebih pintar.
"Saya
menyeru kerajaan mendengar saranan daripada pertubuhan-pertubuhan bukan
kerajaan (NGO) Melayu terutamanya Majlis Perundingan Melayu (MPM) yang
merupakan gabungan 287 NGO Melayu dengan 3.2 juta keahlian.
"Harapan
kita kepada kerajaan adalah laksanakan amanah agar kesannya sampai ke akar
umbi, baik daripada segi kuota bumiputera, bantuan pelajaran dan juga biasiswa
kepada bumiputera," katanya kepada pemberita selepas program wacana itu di
sebuah hotel di Menara Mara di sini hari ini.
Penganjuran
wacana itu adalah inisiatif Gerakan Kesedaran oleh Persatuan Alumni Universiti
Teknologi Mara (UiTM) dan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) bagi
membincangkan hala tuju politik untuk kepentingan survival ummah di Malaysia.
Yang turut
hadir, Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang, Presiden Persatuan
Alumni UiTM Malaysia, Datuk Zaini Hassan dan Presiden GPMS, Jais Abdul Karim.
Ia dihadiri
lebih 1,000 peserta terdiri tokoh Melayu, pensyarah, pemimpin pertubuhan bukan
kerajaan (NGO), golongan profesional, korporat, ahli politik dan golongan muda.
Menurut
Kamaruddin, kerajaan perlu mentadbir negara mengikut semangat Perlembagaan
Persekutuan dan tidak melayan mana-mana tuntutan yang menidakkan hak
bumiputera.
"Kita
semua tahu DAP telah mengumpulkan sokongan majoriti kaum Cina, apa yang penting
adalah Pas dan UMNO mesti bergabung atau sekurang-kurangnya bekerjasama
termasuk dengan ahli politik Melayu Parti Keadilan Rakyat (PKR), NGO Melayu
akan cuba membantu usaha ini," katanya.
Sementara
itu, paling mencuri tumpuan dalam program wacana berkenaan adalah kemunculan
seorang tokoh Orang Asli, Datuk Dr. Hashim Muhammad yang menyeru Melayu
bersatu-padu.
"Aku
adalah orang Sakai suku Jakun yang pertama menjadi cikgu, aku masuk Maktab
Perguruan Sultan Idris, aku belajar apa yang aku tak tahu cakap, akhirnya atas
kuota Melayu aku dapat buat," katanya yang juga tokoh pendidikan.
Menurutnya,
Orang Asli menerima banyak nikmat hasil perjuangan orang Melayu memerdekakan
negara dan mereka perlu kekal bersatu bagi menjaga kepentingan hak bangsa serta
kemakmuran negara. – Utusan Online
No comments:
Post a Comment