Namakanlah apa sahaja sama ada Kabinet
Transformasi atau sebarang nama lain, barisan jemaah menteri pasca PRU13
seharusnya adalah pasukan terbaik dan paling mantap untuk memperkasakan semula
BN menghadapi PRU14.
Ini kerana tanpa barisan terkuat, sukar
bagi kerajaan untuk menangkis serangan pembangkang yang turut membariskan
barisan bertenaga bagi mengasak BN yang sudah masuk penggal kedua bertahan
tanpa majoriti dua pertiga.
Di pihak rakyat pula, kita semua
tertunggu-tunggu, siapakah yang bakal mengisi barisan terkuat itu? Kalangan
pemerhati menjangka Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengumum senarai itu hari
ini atau selewat-lewatnya esok.
Meskipun menamakan anggota Kabinet
adalah prerogatif Perdana Menteri (untuk mendapat perkenan Yang di-Pertuan
Agong), namun sebagai pelanggan kepada kerajaan, kita juga mempunyai hak untuk
menyuarakan harapan malah menyediakan senarai bayangan siapa yang kita fikir
layak berada dalam senarai itu.
Pada masa yang sama, kita juga fahami
kriteria dan aspek yang perlu diberi pertimbangan Najib selaku ketua parti dan
juga ketua kerajaan yang memenangi pilihan raya bukan dengan majoriti yang
benar-benar kukuh.
Situasi ini memerlukan beliau
benar-benar teliti termasuk untuk mencegah api rasisme yang sudah mula
ditiupkan oleh pihak tertentu sehingga mencetuskan apa yang dipanggil tsunami
Cina pada pilihan raya lalu.
Sehubungan itu, Kabinet baru ini seharusnya
mampu untuk mengembalikan keyakinan rakyat dengan ciri-ciri keseimbangan yang
boleh diterima oleh semua pihak.
Di Jabatan Pengarang Sinar Harian petang
semalam, setelah jenuh berbincang dengan berbagai-bagai hujah untuk menyokong
pilihan masing-masing, kami ketengahkan senarai anggota Kabinet Transformasi
yang difikirkan layak.
Di Jabatan Perdana Menteri, barisan sedia
ada yang terdiri daripada Datuk Seri Mohd Nazri Aziz, Datuk Seri Jamil Khir
Baharom dan Datuk Seri Dr Maximus Ongkili masih boleh dikekalkan dengan
portfolio masing-masing.
Jamil Khir malah mempunyai kedudukan
yang lebih kukuh berbanding penggal lalu kerana beliau kini tidak lagi
bersandar pada kerusi Ahli Dewan Negara (Senator). Kejayaannya merampas kerusi
Parlimen Jerai dari tangan Pas harus diberi pengiktirafan.
Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad
Maslan pula sudah sampai masa untuk dinaikkan pangkat sebagai menteri penuh,
kekal di JPM. Walaupun MCA sebagaimana yang diumumkan oleh presidennya, Datuk
Seri Dr Chua Soi Lek sudah membuat ketetapan untuk menolak jawatan dalam
kerajaan, Sinar Harian berpendapat wakil parti itu yang menang tidak seharusnya
dipinggirkan.
Pemimpin seperti timbalan presidennya,
Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Ketua Pemuda, Datuk Dr Wee Ka Siong masih perlu
diberi tempat dalam kerajaan. Mereka juga dilihat barisan pelapis yang
berkeupayaan untuk menongkah tsunami Cina yang sedang melanda.
Tiong Lai harus diberi pertimbangan
untuk menduduki portfolio tradisi MCA sebagai Menteri Pengangkutan manakala Dr
Wee mengambil alih portfolionya sebagai Menteri Kesihatan.
Presiden MIC, Datuk Seri G Palanivel
yang baru menang kerusi Parlimen Cameron Highlands pula boleh mengambil semula
portfolio Kerjaraya yang sebelum ini cukup sinonim dengan Datuk Seri S Samy
Vellu. Pada penggal lalu, kementerian itu dipegang oleh Umno menerusi Datuk
Seri Shaziman Abu Mansor.
Datuk S Subramaniam yang mengekalkan
kerusi Parlimen Segamat, dikira paling sesuai untuk kekal juga sebagai Menteri
Sumber Manusia. Dari Sabah, Datuk Anifah Aman dianggap cukup berkeupayaan untuk
dikekalkan sebagai Menteri Luar.
Dari Sarawak pula selain mengekalkan
Datuk Seri Douglas Uggah Embas sebagai Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar,
Datuk Fadzillah Yusoff dikira layak untuk naik pangkat sebagai Menteri Sains,
Teknologi dan Inovasi. Sebelum ini, beliau timbalan menteri di kementerian
berkenaan.
Bagi memperkasakan lagi bidang pertanian
dan industri asas tani sekali gus mendekatkan lagi kerajaan dengan masyarakat
luar bandar yang setia menyokong ketika pengundi bandar mula beralih arah,
menteri yang diberi tanggung jawab itu juga seharusnya daripada kalangan
pemimpin kanan parti. Untuk itu, Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie
Afdal dikira sesuai.
Ketika Tan Sri Muhyiddin Yassin
menduduki kerusi yang sama dalam Umno, beliau juga pernah diberi portfolio ini
pada era kerajaan Pak Lah. Dua lagi Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad
Zahid Hamidi dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, dijangka akan dikekalkan
jawatan lalu.
Bekas Menteri Kerjaraya, Shaziman pula
mungkin akan mengambil alih teraju Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Ini kerana ketetapan MCA untuk menolak jawatan Kabinet dilihat paling banyak
boleh diisi wakil parti itu hanya dua kerusi menteri.
Datuk Noriah Kasnon yang berjaya
mengekalkan rekod cemerlang di kerusi Parlimen Sungai Besar, wajar diberi
pertimbangan untuk naik pangkat sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga
dan Masyarakat.
Dalam pada itu, muka baru yang dikira
tidak dapat tidak harus berada dalam Kabinet termasuk Ketua Pemuda Umno, Khairy
Jamaluddin dan bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh.
Meskipun kali pertama, Khairy harus
diberi pertimbangan untuk lantikan sebagai menteri penuh. Kementerian paling
sesuai dengannya jika bukan Belia dan Sukan ialah di Angkasapuri (Kementerian
Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan).
Idris pula sebagai Menteri Pelajaran.
Ini mengambil kira kesan besar yang ditinggalkannya di Terengganu menerusi
pelbagai program kecemerlangan seperti program Ulul Albab yang kemudian
diteruskan di MRSM sejak beliau memegang jawatan Pengerusi Mara. Juga kejayaannya
mengilhamkan Sekolah Imtiaz yang menggabungkan pendidikan Islam dan sains di
bawah Yayasan Terengganu (YT).
Dari Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid
dijangka paling sesuai untuk isi portfolio sebagai Menteri Kemajuan Luar Bandar
dan Wilayah. Ini sebagai hadiah kepada Umno Kedah yang berjaya ambil alih
pemerintahan negeri daripada PR dan sehubungan itu, usaha untuk menggiatkan
pembangunan kawasan luar bandar negeri itu harus diberi perhatian.
Dari Wilayah Persekutuan, Datuk Johari
Abdul Ghani dijangka akan mengisi slot sebagai Menteri Wilayah Persekutuan dan
Kesejahteraan Bandar. Ini menepati isu yang perlu diperjuangkannya sebagai Ahli
Parlimen Titiwangsa di mana isu Kampung Baru menjadi fokus sejak sekian lama.
Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dijangka
kekal dengan portfolionya. Mungkin kejutan, Datuk Saifuddin Abdullah yang tewas
pada pilihan raya lalu masih diperlukan. Malah beliau wajar dilantik Senator
dan Menteri Pengajian Tinggi memandangkan keupayaannya mendekati dan memahami
golongan pelajar universiti sebagai langkah mendekatkan mereka dengan kerajaan.
Menidakkan Saifuddin dengan fungsi itu
seolah-olah membiarkan jurang pelajar dan kerajaan semakin melebar. Datuk Seri
Noh Omar hampir pasti kekal dalam Kabinet dengan portfolio Kementerian Perdagangan
Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.
Datuk Seri Mustapa Mohamed mungkin
sebagai Menteri Kewangan manakala Datuk Seri Husni Hanadzlah ke MITI. Dalam
pada itu, pada barisan timbalan antara yang boleh diketengahkan termasuk Datuk
Irmohizam Ibrahim, juga Datuk Wan Khair-il Anuar Wan Ahmad.
Pengerusi Kelab Putera 1Malaysia, Datuk
Abdul Azeez Rahim dijangka mengisi salah satu kerusi timbalan menteri. Ya,
benar agak ramai muka lama masih berada dalam Kabinet ramalan Sinar Harian.
Inilah transformasi di mana peralihan
harus dibenarkan berlaku secara lancar dan teratur daripada yang lama kepada
yang baru. Dalam beberapa tahun, mungkin sesingkat dua tahun akan datang,
mungkin akan ada peralihan lagi.
-Muhamad
Mat Yakim, Sinar Harian
No comments:
Post a Comment