KUALA
LUMPUR — Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat)
mengkritik kenyataan dikeluarkan oleh Majlis Perundingan Agama Buddha,
Kristian, Hindu, Sikh dan Taoisme (MCCBCHST) yang cuba mempertahankan bukan
beragama Islam untuk menggunakan kalimah Allah untuk agama mereka.
Menurut
presidennya, Ismail Mina Ahmad, pada masa sama MCCBCHST juga cuba
mempertikaikan peranan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan pandangan bekas
Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheik Abdul Halim, yang konsisten tidak
membenarkan penggunaan perkataan Arab oleh
bukan beragama Islam berdasarkan peruntukan yang sedia ada.
Menurut
Ismail, kemarahan Umat Islam mungkin tidak dapat dibendung lagi melihatkan
kepada respon masyarakat Islam melalui laporan-laporan polis, ceramah-ceramah
umum, tunjuk perasaan dan majlis-majlis penerangan.
“Majlis
MCCBCHST patut memikirkan kesan yang mungkin timbul dari desakan mereka yang bertentangan dengan
Perlembagaan itu,” kata Ismail dalam satu kenyataan hari ini.
“Jika hal
yang tidak diingini berlaku, maka MCCBCHST harus dipersalahkan.
Ismail
berkata, belum pernah timbul sebarang desakan oleh mana-mana penganut agama
bukan Islam mahu menggunakan kalimah Allah dalam kitab-kitab dan ritual
keagamaan mereka, tetapi akhir-akhir ini isu kalimah Allah ditimbulkan secara terancang yang dilihat sebagai bermotifkan
politik murahan.
Ismail
meminta agar MCCBCHST mengelakkan diri dari pencaturan politik, dan sebagai
golongan beragama yang mahukan keamanan, mereka sepatutnya menasihatkan
pemimpin-pemimpin dan organisasi politik supaya berhenti dari bermain
api.
“Muafakat
meminta NGO-NGO Islam memikirkan semula keanggotaan mereka dalam Jawatan Kuasa
Mempromosi Keharmonian Di antara Agama
di bawah JPNIN kerana badan-badan bukan Islam itu ternyata tidak jujur dan tidak bersungguh-sungguh untuk
mewujudkan keharmonian kerana tidak menghormati asas dialog dan menggunakan
Jawatan Kuasa ini, sebagai jalan belakang menjalankan fungsi dan objektif IFC,
apabila mereka secara konsisten mempertikaikan kedudukan Agama Islam dan
kedudukan serta peraturan agama sedia ada,” kata Ismail.
Selasa
lalu, MCCBCHST semalam menegur MAIS dan bekas ketua hakim negara itu kerana
cuba mengawal hak beragama kaum minoriti di Malaysia dengan melarang penggunaan
perkataan “Allah”, yang menurut mereka sebagai tidak mengikut perlembagaan.
Sementara
itu, pemimpin Jalur Tiga (JATI), Datuk Hasan Ali, memberi amaran bahawa
MCCBCHST akan menyebabkan api kemarahan merebak, selepas kumpulan tersebut
menuduh majlis agama negeri itu cuba menghalang kebebasan beragama.
Isu kalimah
“Allah” yang dibangkitkan selepas pilihan raya umum 2008 kekal menjadi topik
panas yang diperkatakan menjelang pilihan raya tahun ini.
Pertikaian
isu ini timbul semula Disember lalu apabila Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng
yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang dalam amanat sambutan Krismasnya menggesa
Putrajaya menarik larangan kitab berbahasa Melayu di Sabah dan Sarawak.— Malaysian
Insider