KUALA
LUMPUR— Badan Bukan Kerajaan (NGO) di negara ini mengesyorkan kerajaan
meningkatkan penguatkuasaan atau mewujudkan undang-undang khas bagi memastikan
individu atau NGO yang mensabotaj kerajaan dikenakan tindakan sewajarnya.
Mereka
berkata penguatkuasaan undang-undang secara tegas atau penggubalan
undang-undang khas perlu memandangkan senario kini menyaksikan banyak tindakan
mensabotaj kerajaan oleh pertubuhan politik atau NGO propembangkang yang
bermotifkan politik dan kepentingan sendiri.
Presiden
Kelab Wartawan Muda Malaysia (KWMM), Dzulkarnain Taib (gambar), berkata antara
tindakan mensabotaj kerajaan ialah mendedahkan dokumen sulit kerajaan dan
syarikat kerajaan sebelum ini seperti isu Syarikat Fidlot Kebangsaan (NFC),
projek LRT Ampang dan isu Lynas.
“Terbaru,
tindakan Pengerusi Himpunan Hijau Wong Tack mengancam membakar loji nadir bumi
Lynas Corp di Gebeng, Pahang, sekiranya Barisan Nasional (BN) tidak menutup
loji itu apabila terus berkuasa selepas pilihan raya umum akan datang merupakan
satu ugutan serius yang boleh mengancam keselamatan rakyat,” katanya dalam satu
kenyataan di sini hari ini.
“Kalau
dahulu Himpunan Hijau merupakan sebuah NGO yang asas kewujudannya hanya bermula
daripada aduan mengenai projek Lynas melalui laman web kini bertukar agresif
dengan menggertak dan mengancam negara.” Dzulkarnain berkata tindakan itu jelas
mensabotaj kerajaan, sektor kewangan dan ekonomi negara, justeru kerajaan perlu
mewujudkan undang-undang khas bagi menangani tindakan itu.
Setiausaha
Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Maa’mor Osman memberitahu
Bernama tindakan mensabotaj kerajaan telah mencemarkan imej serta maruah negara
dan langkah segera perlu dilaksana bagi menangani senario itu.
“Tindakan
kebanyakan individu, pemimpin politik atau pertubuhan NGO kini yang banyak cuba
mensabotaj kerajaan terutama dengan mendedahkan maklumat sulit sesuatu agensi
di bawah kerajaan dilihat tiada asasnya,” katanya.
“Jika ada
sebarang isu seharusnya disuarakan berasaskan akta sedia ada dan bukannya hanya
memikirkan kepentingan sendiri sehingga melanggar undang-undang dan memberi
ancaman kepada rakyat dan negara.”
Menurutnya
ugutan Wong Tack untuk membakar loji Lynas misalnya, merupakan satu perkara
yang bahaya kerana boleh membawa impak lebih buruk selain menimbulkan kegusaran
dan ketidakyakinan rakyat terhadap kerajaan sedia ada.
Presiden
Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman
berkata negara mempunyai undang-undang yang kukuh bagi menghalang penyebaran
maklumat tidak benar terutama berkaitan kerajaan, namun penguatkuasaan perlu
ditingkatkan.
“Undang-undang
sedia ada cukup,” katanya. “Soalnya sekarang tindakan tegas perlu diambil, tak
boleh dilengah-lengahkan, untuk mengawal lebih banyak maklumat sulit terutama
berkaitan kerajaan didedahkan pihak tidak bertanggungjawab.”
Abdul Aziz
berkata NGO atau mana-mana individu di negara ini juga perlu “belajar”
menyuarakan ketidakpuasan hati secara lebih “sihat” dan seimbang bukan dengan
cara negatif membocorkan maklumat sulit kerajaan yang nyata rahsia kepada umum.
— Bernama/Malaysian Insider
No comments:
Post a Comment