SAMBUTAN AMBANG 2013: 'PERANG' BN DAN PAKATAN TARIK
PENGUNDI
SHAH ALAM -
Malam sambutan Tahun Baru 2013 yang dianjurkan oleh Pakatan Rakyat dan Barisan
Nasional di dua lokasi berasingan di negeri ini dilihat dari pelbagai sudut
pandang dan persepsi berbeza para pemerhati sementelah ini adalah tahun
penting, tahun 'ibu segala pilihan raya'.
Di
blog-blog misalnya beberapa gambar dipaparkan bagi menonjolkan program anjuran
siapa yang mendapat sambutan lebih baik dan paling penting program mana yang
memberi pengisian dan faedah lebih banyak kepada rakyat.
Mengambil
kira kedua-dua program ini diadakan di awal tahun bakal berlansgungnya Pilihan
Raya Umum ke-13 (PRU13), elemen politik pastinya tidak dapat dipisahkan
daripada aktiviti yang dianjurkan oleh kedua-dua parti politik ini.
Menurut
Koordinator BN negeri, Datuk Seri Ir. Mohd. Zin Mohamed, Karnival Sayangi
Selangor ini mencapai sasarannya untuk menarik masyarakat Malaysia terutama
sekali golongan muda mengisi masa cuti panjang sempena sambutan Tahun Baru 2013
dengan menjalankan aktiviti berfaedah di samping mampu merapatkan hubungan
kekeluargaan bersama Barisan Nasional.
"Pertamanya
dari segi pengisiannya. Perkara yang kita bangunkan melibatkan penyertaan
golongan muda seperti larian belia pagi itu, selepas itu, peluang pekerjaan,
hari keluarga, selain itu memudahkan menyelesaikan masalah saman, pendaftaran
diskaun untuk komuter, secara naturalnya pengisian kita ini memang untuk
memenuhi permintaan golongan muda.
"Jadi
mereka datang lah hendak rebut peluang," katanya ketika dihubungi Sinar
Harian Online.
Ditanya bagaimana
program berkenaan dapat menarik kelompok-kelompok tertentu dalam meraih
sokongan politik dan sambutannya, Zin berkata, penerimaan yang ditunjukkan
cukup baik dan ia suatu petanda positif.
"Kalau
orang datang hendak bergaul dengan kita, apa maknanya? Kalau orang menyampah
kita, orang datang tak? Sama ada mereka datang untuk sokong atau tidak tetapi
sekurang-kurangnya, mereka tidak menyampah dengan kita.
"Terpulang
kepada kita lah bagaimana kita hendak meyakinkan mereka tetapi saya rasa tentu
lah ada 'feel good factor', betul tak?" katanya.
Zin turut
membidas pihak yang membandingkan program anjuran Pakatan Rakyat dan Barisan
Nasional sambil berkata, "mana boleh hendak bandingkan penonton Ustaz
Azhar dan penonton kita?"
"Kalau
hendak katakan program kita tidak ada unsur kebajikan, kita adakan program
santai bersama keluarga, selepas itu beri peluang pekerjaan kepada belia,
bukankah itu satu kebajikan?" katanya.
Difahamkan
sekitar 100 badan bukan kerajaan (NGO) mengambil bahagian sebagai tanda
sokongan penganjuran Karnival Sayangi Selangor ini.
Sementara
itu, Pakatan Rakyat pula memilih mengadakan sambutan Tahun Baru 2013 di Dataran
Kemerdekaan Shah Alam yang dimeriahkan dengan kehadiran penceramah terkemuka,
Ustaz Azhar Idrus.
Majlis
turut menjemput beberapa orang selebiriti tempatan seperti Aziz M Osman, Diana
Amir, Abby Abadi, Kamal Adli dan Malek Noor berkongsi pengalaman penghijrahan
mereka.
Program ini
juga difahamkan menyasarkan golongan muda sebagai kumpulan sasaran mereka.
Difahamkan
kehadiran mencecah 120,000, manakala antara aktiviti yang diadakan ialah solat
Maghrib dan Isyak secara berjemaah diikuti ceramah keagamaan oleh tetamu
jemputan.
Menurut
Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Selangor, Dr
Halimah Ali, program Ambang 13 di bawah projek Generasi Idaman Selangor GemS
kelolaan Exco Pendidikan, berjaya menyelami jiwa dan kehendak golongan belia
masa kini menerusi program ilmu yang lebih berbentuk santai.
"Saya
selaku Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Selangor
khususnya Pengerusi Jawatankuasa Induk Menangani Gejala Sosial Negeri Selangor
kita harus berikan alternatif bagaimana menyambut ambang tahun baru ini dengan
pengisian yang positif, membina dan membangunkan remaja belia dan juga
menghindarkan mereka daripada gejala sosial.
"Pengisian
kita ini bukan saja sekadar hiburan, ada sedikit hiburan. Seperti Abby Abadi,
walaupun mereka ini selebriti dan artis, namun mereka boleh beri pengisian,
beri pendedahan pengalaman, ketelanjuran mereka, kesilapan mereka dahulu, ini
yang nak dikongsikan dengan remaja belia," ujar beliau.
Di samping
itu, karnival sepanjang hari itu turut digunakan untuk memperkenalkan skim-skim
di bawah kerajaan Selangor seperti ekspo pendidikan, program Merakyatkan
Ekonomi Selangor (MES), Hadiah Anak Masuk Universiti dan lain-lain termasuk
aktiviti konvoi untuk menarik minat kumpulan mat rempit.
Mengulas
mengenai kedua-dua program anjuran Pakatan Rakyat dan BN Selangor ini,
penganalisis politik , Dr. Mohd. Azizuddin Mohd. Sani berpendapat,
masing-masing tidak dapat lari daripada menggunakan sedikit masa yang tinggal
untuk menarik sokongan pengundi terutama pengundi muda yang bilangannya semakin
bertambah menerusi program yang dianjurkan.
"Macam
BN kita tahu, target mereka ialah orang muda terutama sekali pengundi baru
sekarang ini. Mereka merasakan pengundi muda ini mungkin akan lari kepada
Pakatan Rakyat.
"Pakatan
Rakyat pula merasakan, pengundi Cina India ini mereka boleh 'pegang' berbanding
pengundi Melayu yang nampak berpecah sekarang ini. Ada dan lebih banyak
sekarang ini yang menyokong BN berbanding Pakatan," katanya.
Oleh itu
menurut Azizuddin, Pakatan Rakyat menggunakan pendekatan keagamaan kerana
kumpulan sasar mereka di Selangor adalah golongan Melayu Islam.
"Jadi
mereka menggunakan pendekatan dakwah, islamiah untuk menarik sokongan
pengundi-pengundi Melayu untuk mengatakan 'Pakatan lebih bagus lah'. Buat
ceramah agama dan sebagainya. BN buat hiburan sahaja.
"Jadi
persepsi ini orang akan ingat dan dijadikan propaganda mereka untuk menarik
orang menyokong Pakatan nanti," ujarnya lagi.
Lantaran
itu katanya, jika ditanya strategi siapa lebih berkesan sempena sambutan Tahun
Baru yang dikhususkan pada malam 31 Disember, Pakatan Rakyat katanya berhak
mendapat pujian itu.
"Kalau
kita lihat siapa yang lebih berjaya (dari segi menyusun strategi), memang
Pakatan lah menang. Pendekatan yang lebih bersesuaian dan diterima sebab tumpu
kepada Melayu, jadi sasaran mereka tercapai lah," ujar beliau.
-Rencana
oleh: Salmiah Druhamad Drahsin, Sinar Harian
KD: Dunia politik, dunia penuh cabaran dan persaingan..