SHAH ALAM - Tarikh sebenar Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang masih lagi menjadi tanda tanya akan menyebabkan negara mungkin berhadapan dengan masalah ekonomi.
Naib Pengerusi DAP Selangor, Charles Anthony Santiago
berkata, ini kerana, pelabur dikatakan runsing untuk membuat pelaburan
gara-gara khuatir jika kerajaan beralih kuasa.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai saranan
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya mengadakan pilihan
raya umum (PRU) pada tahun ini kerana ia merupakan masa paling sesuai.
Mengulas mengenai tarikh sesuai pilihan raya, Charles
Santiago yang juga Ahli Parlimen Klang mencadangkan ia dijalankan pada November
atau Disember tahun ini, iaitu selepas musim haji.
“Kita kena hormati umat Islam yang akan menyambut bulan
Ramadan, Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Haji, tetapi apa yang paling
penting ialah kebaikan kepada negara serta rakyat,” katanya.
Sementara itu, Ketua Penerangan PKR Selangor, Shuhaimi
Shafiei berkata, sama ada mengadakan pilihan raya tahun ini atau hadapan,
Pakatan Rakyat (PR) sudah bersedia untuk menghadapinya dan persediaan itu sudah
hampir di peringkat akhir.
Shuhaimi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sri Muda
turut mempersoalkan sebab tarikh PRU13 dilengah-lengahkan, seolah-olah
mempunyai agenda tertentu.
“Apakah daftar pemilih sudah dibersihkan? Apakah ia
dilengah-lengahkan disebabkan untuk memindahkan pemilih di kawasan sasaran yang
boleh dimenangi Barisan Nasional (BN). Kita akan gunakan Sistem Menang Pilihan Raya (Sismep) versi
3.0 untuk memeriksa jumlah pengundi hantu dan daftar pemilih yang dipindahkan
ke kawasan lain,” katanya.
Beliau mendakwa, kenyataan Muhyiddin itu disifatkan sebagai
retorik politik semata-mata dan jika pilihan raya diadakan dalam tempoh
terdekat ini, PKR telah meminta Kerajaan Negeri supaya membubarkan Dewan
Undangan Negeri (Dun) berasingan dengan Parlimen untuk memastikan kemenangan
berpihak kepada PR.
KD: Semacam pelik pula tajuk laporan Sinar Harian ini. Betul ke pelabur yang runsing? Jika dibaca secara keseluruhan kenyataan tersebut, ia seakan menampakkan kerisauan pihak pembangkang, bukannya pelabur. Jika dilteliti, pihak kerajaan lebih santai dalam isu berkaitan tarikh pilihan raya. Sebaliknya, pihak pembangkang dilihat lebih tergesa-gesa.