JEREBU KEMBALI MENYELUBUNGI MALAYSIA
Bermula minggu ini, Malaysia sekali lagi diselubungi jerebu yang dikatakan berpunca daripada
kebakaran hutan di Sumatera, Indonesia menyebabkan bacaan pencemaran udara yang
tidak sihat di beberapa lokasi di seluruh negara.
Menurut
laporan Jabatan Alam Sekitar (DOE), Indeks Pencemaran Udara (API) pada Ahad
lepas mencatat paras melebihi 100 di empat lokasi.
Melaka
mencatat bacaan API yang paling teruk pada tahap 161 diikuti Port Dickson di
Negeri Sembilan (120), Kemaman di Terengganu (108) dan Pelabuhan Klang di
Selangor (103).
Enam lagi
lokasi mencatat bacaan API bawah 100. Tempat-tempat ini ialah Putrajaya (94),
Kuala Lumpur (87), Petaling Jaya (86), Johor Baharu (80), Ipoh (72) dan George
Town (64).
Masalah tahunan
Menurut
pakar-pakar alam sekitar, jerebu adalah satu fenomena di mana debu, asap dan
partikel-partikel kering yang lain termasuk habuk berkumpul hingga menjadikan
langit mendung.
Jabatan
Kajicuaca turut menyatakan masalah jerebu di negara ini menjadi masalah tahunan
semasa musim monsun dari bulan Mei hingga September bila angin meniup asap dari
'tompok panas' di Sumatera menyeberangi Selat Melaka.
Menurut
laporan media, Ketua Pengarah DOE Halimah Hassan berkata jabatan itu mencatat
46 tompok panas di Sumatera melalui tinjauan satelit pada 16 Jun (Ahad) lepas.
Bacaan API
101-200 adalah dalam kategori tidak sihat manakala bacaan 51-100 adalah
sederhana. Bacaan bawah 50 menandakan udara yang sihat.
Perdana
Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak turut menasihati orang ramai agar
mengurangkan aktiviti luar rumah dan minum banyak air.
Dalam laman
Facebook beliau, Perdana Menteri menjelaskan bahawa kesihatan adalah keutamaan
untuk semua dan jerebu yang dilanda sekarang ini dijangka menjadi lebih teruk
dengan angin yang membawa asap dari tompok panas di Sumatera.
Pembakaran terbuka
Jerebu, yang
kebanyakannya dikesan berpunca daripada kebakaran hutan di Indonesia, meningkat
pada musim panas dan ini boleh membawa kesan negatif ke atas sektor pelancongan
dan kesihatan terutama yang berkaitan pernafasan.
Malaysia
menguatkuasa peraturan yang melarang aktiviti pembakaran terbuka dan tidak
terkecuali dalam hal ini, Indonesia 'mengharamkan' aktiviti itu.
Masalah jerebu
mencatat tahap paling tinggi pada tahun 1997-1998 menyebabkan rantau Asia
Tenggara mengalami kerugian AS$9.0 bilion (RM28.5 bilion) terhadap sektor
pelancongan dan perniagaan.
Pihak berkuasa
penjagaan kesihatan juga menasihati mereka yang berada dalam kelompok risiko
tinggi seperti warga emas, kanak-kanak dan yang menghadapi masalah pernafasan
seperti asma agar mengelakkan aktiviti luar rumah dan memakai penutup muka jika
perlu berada di luar.
Para doktor
juga menyarankan agar mereka yang mengalami masalah pernafasan, demam, rasa
hendak muntah, pening-pening, sakit mata dan batuk agar mengambil rawatan
perubatan.
Sementara itu,
sumber Polis Marin juga menasihati nelayan bot kecil agar tidak turun ke laut
kerana jarak penglihatan di Selat Melaka dilaporkan bertambah buruk.
"Semua
bot menangkap ikan dinasihati agar berjaga-jaga dan bot pukat tunda juga
dinasihati memasang lampu," menurut sumber itu lagi. – Sinar Harian