BAJET 2014 UNTUK GENERASI MUDA
Putrajaya:
Bajet 2014 yang akan dibentangkan di Parlimen pada 25 Oktober ini dijangka
memberi tumpuan kepada pelaburan pembangunan belia khususnya dalam bidang
pendidikan dan latihan kemahiran.
Perdana
Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, langkah itu perlu memandangkan generasi
muda memainkan peranan penting untuk membentuk masa depan negara.
Menurutnya,
golongan belia hari ini lebih berpendidikan, cekap dalam sistem teknologi
maklumat dan komunikasi (ICT) serta sentiasa berhubung dengan rangkaian media
sosial sama ada blog, Facebook (FB) dan Twitter.
“Mereka
mendapat maklumat lebih cepat tanpa mengira ia (maklumat) tepat atau tidak,
mereka juga menjangkakan lebih banyak peluang dari segi pendidikan tinggi,
pekerjaan, keusahawanan dan pemilikan rumah mampu milik.
“Pada masa
sama, golongan belia juga mahu suara mereka didengari, dan kerajaan prihatin
dengan trend baru ini.
Sehubungan itu, kerajaan sudah menubuhkan 1Malaysia For
Youth (1M4U) yang menyediakan platform memupuk kepimpinan dan kesukarelawanan
dalam pembangunan negara,” katanya ketika berucap pada Majlis Konsultasi Bajet
2014 di Kementerian Kewangan di sini, semalam.
Bertemakan
‘Mengotakan Janji, Merancakkan Transformasi’, Majlis Konsultansi Bajet 2014
menjadi platform interaksi tahunan antara sektor swasta dengan kerajaan bagi
mendapatkan maklum balas sebagai input penyediaan Bajet 2014.
Najib yang
juga Menteri Kewangan berkata, sebanyak 96 memorandum sudah dikemukakan kepada
Kementerian Kewangan untuk dipertimbangkan dalam Bajet 2014.
“Saya percaya
sebahagian daripada isi kandungan memorandum itu akan dipertimbangkan terutama
yang difikirkan sesuai dengan matlamat dan juga cadangan tertentu.
“Ia tertumpu
kepada dua elemen penting iaitu bagaimana mahu merancakkan lagi pertumbuhan
ekonomi negara dan menentukan kemakmuran serta kesejahteraan rakyat secara
inklusif,” katanya.
Menurutnya,
Bajet 2014 adalah amat penting kepada kerajaan yang diberi mandat baru untuk
memenuhi aspirasi rakyat. –Harian Metro
No comments:
Post a Comment