KUALA
LUMPUR - Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR) esok akan dikawal dengan penuh kondusif
bagi memastikan keselamatan peserta, pihak media dan anggota keselamatan
terjamin.
Komander
Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), Datuk Abdul Hamid Mohd Ali berkata, antara
kelainan operasi polis kali ini adalah menyediakan pasukan marshal kepada media
bagi membolehkan mereka memberi liputan sebaik mungkin.
Menurutnya,
antara tugas marshal ini nanti adalah membantu pihak media mendapatkan gambar
terbaik, maklumat tepat di samping menjaga keselamatan petugas media sepanjang
tempoh perhimpunan.
"Kami
menyediakan 50 marshal kepada media dan setiap marshal akan membawa dan
membantu kira-kira 15 wakil media.
"Marshal
ini disediakan oleh polis kerana pengalaman pada Bersih 3.0 lalu menunjukkan
pihak media sering terperangkap jika berlaku perkara tidak diingini. Kita tidak
mahu perkara sama berulang," katanya pada sesi taklimat khas bersama media
di sini, semalam.
Abdul Hamid
turut mengulas mengenai kontroversi melibatkan pas khas yang dikeluarkan polis
untuk media yang membuat liputan esok.
Katanya,
tiada agenda tersembunyi di sebalik permohonan pas tersebut melainkan mahu
memastikan pihak media mendapat bantuan terbaik pada hari kejadian.
"Jika
tidak menggunakan pas tersebut pun tidak mengapa, pihak polis tidak akan
menghalang media dari membuat liputan kerana hak media dijamin dalam
undang-undang.
"Pas
khas ini dikeluarkan bagi memudahkan anggota mengenal pasti pihak media dan
peserta perhimpunan," katanya.
Himpunan
esok di Stadium Merdeka dijangka dihadiri oleh ribuan penyokong, dan menuntut
beberapa perkara kepada kerajaan.
Antara
perkara yang dituntut adalah sistem pilihan raya yang telus, royalti minyak
Kelantan dan membantah operasi kilang Lynas di Gebeng, Pahang.
Antara
pemimpin yang dijangka hadir pada perhimpunan ini adalah Mursyidul Am Pas,
Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat; Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Ketua
Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang. – Sinar Harian