LENGGONG – Sudah tiba masanya ‘Perak Man’ dikembalikan ke tempat asalnya setelah Lembah Lenggong kini tersenarai sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu (Unesco).
Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata,
rangka yang membuktikan penempatan manusia prasejarah sejak zaman paleolitik
itu kini dipamerkan di Muzium Negara Kuala Lumpur.
“Diharapkan Kerajaan dapat bawa balik rangka Perak Man ini ke
tempat asalnya supaya pelancong tempatan mahupun antarabangsa betul-betul
menumpukan di kawasan ini sekali gus memberi impak besar terhadap pelancongan
negara.
“Di sini (Muzium Arkeologi) hanya ada replika, tetapi di
Kuala Lumpur ada rangka Perak Man yang akhirnya pelancong hanya bertumpu di
kawasan itu sahaja,” katanya.
Menurutnya, batu meteor yang ditemui di Bukit Bunuh di sini
juga harus dikembalikan sekali gus menjadi daya penarik kepada pelancong untuk
berada di daerah itu.
“Universiti Sains Malaysia (USM) menyimpan batu berkenaan
untuk kajian mereka. Saya merasakan batubatu yang telah dikaji perlu diletakkan
kembali ke sini sebagai satu lagi tarikan baru di muzium ini.
“Kita juga ada rancangan untuk mewujudkan muzium batuan yang
mempamerkan pelbagai batuan yang bernilai tinggi yang ditemui di kawasan Bukit
Bunuh,” katanya.
Dengan pengiktirafan dari Unesco itu, Shamsul Anuar berkata,
kerajaan perlu beri tumpuan dengan menaik taraf daerah ini dan buat perancangan
rapi agar masyarakat setempat dapat manfaat daripadanya.
“Pelbagai kemudahan seperti pengangkutan, penginapan, makanan
dan sebagainya perlu diketengahkan bagi mempromosikan daerah ini yang terkenal
dengan kepelbagaian budaya serta produk makanan.
“Saya lihat perkara ini mesti beri keuntungan kepada
masyarakat setempat untuk tingkatkan pendapatan dan ekonomi negeri dan yakin
Lembah Lenggong akan menjadi terkenal,” katanya. - SinarHarian