KUALA
LUMPUR: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang lebih layak daripada Datuk
Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri jika pembangkang menang
Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
Bekas
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata ia berikutan Hadi tidak
pernah dikaitkan dengan sebarang kes pada masa lalu berbanding Anwar.
Jika mereka
(pakatan pembangkang) menang sudah tentu beliau (Hadi) boleh jadi Perdana
Menteri. Dia (Hadi) lebih layak daripada Anwar. Dia sepatutnya (menjadi Perdana
Menteri) jika mereka menang, katanya.
Ditanya
sama ada keputusan itu membolehkan PAS meraih lebih undi daripada masyarakat
Melayu, Dr Mahathir dengan nada berseloroh berkata, Karpal Singh juga layak...
jika beliau memakai turban (serban), beliau pun layak seperti Nik Aziz (Menteri
Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat), katanya.
Beliau
berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan ucaptama pada
Persidangan Antarabangsa Kanak-Kanak Yang Terjejas oleh Perang anjuran Yayasan
Jenayah Perang Kuala Lumpur (KLFCW) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di
sini, semalam.
Pada
Muktamar PAS ke-58 yang berakhir, Ahad lalu, wakil Dewan Ulama mencadangkan
Hadi dipilih menjadi Perdana Menteri jika pakatan pembangkang menang pada
PRU-13.
Dr Mahathir
turut diminta mengulas berhubung ungkapan parti syaitan yang dibangkitkan Hadi
tanpa menamakan mana-mana parti dalam ucapan dasarnya pada Muktamar PAS.
Mana dia
tahu (parti itu) bekerjasama dengan syaitan, mungkin mereka yang bekerjasama
dengan syaitan. Dia sendiri yang bekerjasama dengan syaitan, itu yang saya
tahu, katanya.
Dr Mahathir
berkata, ungkapan itu mungkin timbul berikutan kenyataannya sebelum itu yang
menyebut I prefer to work with the devil I know than the angel I dont know.
Ia adalah
pepatah Inggeris yang kurang difahami orang PAS yang bermaksud lebih baik kami
bekerjasama dengan orang yang kita kenal daripada orang yang tidak dikenali
walaupun mereka dikatakan baik.
Itu saja.
Ia bukan bermakna saya bekerjasama dengan devil (syaitan) atau mereka itu angel
(malaikat). Jauh sekali, itu dia tak faham, katanya. -BHarian