PAS mendakwa pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM)bersikap
'double standard' terhadap menjaga keselamatan melibatkan pemimpin Pakatan
Rakyat (PR) berbanding pemimpin kerajaan.
Sambil melontarkan cadangan sinis, Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar
berkata jika polis tidak mahu mengawal keselamatan rakyat adalah lebih baik
mereka panggil pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk
mengawal keamanan negara.
"Kita lihat pihak polis seperti gagal menangani permasalahan ini.
Bukan setakat serang ceramah-ceramah PR, pihak yang tidak bertanggungjawab ini
turut menyerang pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR), membakar rumah pemimpin
PAS, hari ini sudah melarat kepada serangan ke atas masjid serta membaling
selipar ke dalam masjid.
"Tetapi seperti biasa, polis bagaikan tidak mahu bertindak apabila
kezaliman dan penganiyaan dilakukan ke atas rakyat yang berada dalam PR. Kalau
begitu, lebih baik panggil pasukan pengaman PBB untuk mengawal keamanan negara
ini dan menjaga keselamatan rakyat," katanya kepada pemberita pada sidang
media di ibu pejabat PAS pada Jumaat.
Menurut Mahfuz, sebahagian besar rakyat kini bukan sahaja takut kepada
penjenayah malah mereka juga semakin bimbang keselamatan mereka diancam oleh
keganasan pihak yang tidak bertanggungjawab
"Lebih buruk lagi, polis seolah-olah memberikan perlindungan kepada
'pengganas-pengganas' itu.
"Memberi perlindungan kepada 'pengganas-pengganas' itu bermakna
memberikan galakan kepada mereka untuk meningkatkan lagi keganasan
mereka," katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena mendakwa polis melindungi pihak
yang membuat kacau seperti Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) yang melakukan
serangan ke atas masjid di Kedah baru-baru ini.
"Kalau ada sedikit pun kesalahan dibuat oleh rakyat biasa ke atas
kerajaan begitu pantas polis bertindak memburu, menangkap dan menggari mereka
seperti penjenayah.
"Polis lebih sibuk memburu rakyat yang kerajaan ketika indeks
jenayah terus mengancam dan membimbangkan rakyat,” katanya.
Terbaru dua kejadian berasingan berlaku minggu lalu apabila ibu pejabat
PKR diserang oleh pihak tidak bertanggungjawab dan serangan Perkasa ke atas
masjid kerana mereka cuba menghalang Ketua Umum PR, Datuk Seri Anwar Ibrahim
menyampaikan tazkirah berunsur politik.
Mahfuz menyifatkan keengganan polis bertindak tegas terhadap
keganasan-keganasan itu meningkatkan lagi indeks jenayah di negara ini.
"Indeks jenayah yang menjadi-jadi dan menakutkan itu bukan dakwaan
kita tetapi dibangkitkan oleh bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan
sendiri baru-baru ini," kata beliau.
Sebelum ini, Musa dilaporkan berkata kadar jenayah di Malaysia
sememangnya telah meningkat dan meminta agar pihak berkuasa tidak menyorokkan
fakta sebenar kepada orang ramai.
Musa didakwa turut mengakui kadar jenayah di Malaysia pada hari ini
berada di tahap yang membimbangkan. -Harakahdaily