Merujuk kepada laporan yang dikeluarkan agensi
penarafan kredit Standard & Poor’s (S&P) bertarikh 5 September terhadap
kedudukan penarafan kredit dan kewangan negara, Dewan Pemuda PAS Malaysia
(DPPM) menggesa pihak kerajaan Malaysia mengambil langkah segera untuk
memastikan khazanah wang rakyat diurus secara lebih berhemah, demi kelangsungan
daya saing dan daya tahan negara.
Kerisauan terhadap kadar defisit fiskal dan hutang
negara yang tinggi, hasil daripada perbelanjaan kerajaan yang tidak berhemah
menjadi alasan utama laporan tersebut yang memberikan amaran risiko penurunan
penarafan kredit dan kewangan Malaysia.
Laporan S&P ini dilihat senada dengan sebuah
laporan yang dikeluarkan oleh agensi penarafan kredit antarabangsa terkemuka
yang lain, antaranya agensi Fitch Ratings yang turut menzahirkan kebimbangan
yang sama terhadap kedudukan kewangan Malaysia dalam senario ekonomi global dan
serantau yang tidak menentu.
Pemuda PAS berpendapat, jika rakyat ditegur untuk
membuang tabiat gemar berhutang dan berbelanja melebihi pendapatan, seruan yang
sama adalah lebih wajib kepada pihak kerajaan supaya tabiat buruk ini
diberhentikan.
Tindakan berhutang untuk menampung perbelanjaan
kerajaan dilihat umpama tabiat yang sukar dihakis apabila Laporan Perbendahaan
Persekutuan mencatatkan hutang kerajaan persekutuan meningkat 70% dalam tempoh 5 tahun, daripada RM247 bilion
pada tahun 2007 kepada RM421 bilion pada tahun 2011, berbanding pendapatan
negara yang meningkat sebanyak 30% daripada RM140 bilion kepada RM183 bilion
bagi tahun yang sama.
Pemuda PAS mendesak kerajaan Malaysia memberikan
perhatian serius terhadap aspek perbelanjaan kerajaan dan beban defisit fiskal
selama 14 tahun berturut-turut ini, natijah daripada sikap kerajaan yang
berbelanja melebihi pendapatan sejak tahun 1998, malah rekod defisit yang sama
turut diunjurkan bagi tahun 2012 dan 2013.
Apa yang lebih membimbangkan, kadar hutang negara
yang kian meruncing di paras 52% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK)
pada akhir tahun 2011 diunjurkan terus meningkat ke paras kritikal 55% jika
tidak dibendung secara drastik dan holistik.
Pemuda PAS berpendapat, kerajaan perlu memberikan
perhatian terhadap aspek dayatahan ekonomi negara (economic resilience) secara
komprehensif, bukannya pemberian populis sementara (one-off contribution) yang
tidak mampu mengeluarkan rakyat daripada belenggu bebanan sara hidup yang kian
menghimpit.
Pemuda PAS menyarankan agar kerajaan Malaysia
meneroka sumber pendapatan yang baru agar tidak terus bergantung kepada hasil
petroleum, mengkaji mekanisma agihan subsidi dan bantuan kebajikan yang lebih
efektif, penyusunan semula agihan peruntukan kepada sektor produktif khususnya
pendidikan dan perubatan, serta pelaksanaan sistem tender yang telus untuk
menghentikan ketirisan wang rakyat.
Malah, Pemuda PAS sekali lagi mengulang saranan yang
sama agar jawatan Menteri Kewangan tidak lagi dipegang oleh Perdana Menteri
untuk mewujudkan fungsi ‘semak dan timbang’ (check and balance) kerana mengikut
rekod, Malaysia menanggung defisit fiskal yang berterusan sejak 1998 di bawah
pentadbiran Tun Dr Mahathir, diteruskan oleh Tun Abdullah dan dikekalkan oleh
Perdana Menteri sekarang.
Justeru, sebelum Bajet 2013 dibentangkan, Pemuda PAS
mengajak seluruh rakyat menilai kejayaan
Bajet 2012 dengan memberikan pertanyaan berikut, “Adakah peruntukan
Bajet 2012 ditepati? Adakah matlamat Bajet 2012 dicapai?” dan yang lebih
penting, “Adakah Bajet 2013 membawa masa depan yang sejahtera kepada anak cucu
kita?” Selamatkan Malaysia!
Penulis ialah Pengarah
Institut Polisi Studi Dewan Pemuda PAS Malaysia.
Sumber: Harakahdaily
No comments:
Post a Comment