Showing posts with label kerajaan. Show all posts
Showing posts with label kerajaan. Show all posts

Friday, January 3, 2014

TUN M GEMBIRA DENGAN 11 LANGKAH PENJIMATAN PERBELANJAAN KERAJAAN
KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad gembira dengan 11 langkah penjimatan perbelanjaan kerajaan yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak Isnin lalu.
Bekas Perdana Menteri berkata, ia adalah komitmen tinggi kerajaan untuk mengurangkan bebanan rakyat berikutan kesan kenaikan kos sara hidup sekarang.
Mengenai perhimpunan haram pihak yang mengganggu sambutan ambang tahun baharu di Dataran Merdeka malam tadi, Dr Mahathir berkata kumpulan minoriti rakyat melanggar hak majoriti rakyat yang ingin menyambut tahun baru dengan aman.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Sambutan Tahun Baharu 2014 anjuran Parti Progresif Penduduk (PPP) yang turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, sebentar tadi.
Sumber: Berita Harian

Monday, December 30, 2013

KOS SARA HIDUP MENINGKAT, KERAJAAN KOMITED BANTU RAKYAT

KUALA LUMPUR: Yayasan 1Malaysia yakin kerajaan berusaha mengurangkan bebanan rakyat berpendapatan rendah dan sederhana berikutan peningkatan kos sara hidup.

Pemegang Amanahnya, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata kerajaan melaksanakan pelbagai pendekatan bijak mengurangkan bebanan rakyat kesan kenaikan tarif elektrik, cukai pintu serta harga barang dan perkhidmatan.

Pada masa sama katanya, perlu banyak usaha dilaksanakan bagi mengukuhkan ekonomi negara dalam semua sektor yang secara langsung meningkatkan pendapatan golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Rapat jurang pendapatan

Beliau berkata, usaha perlu terarah kepada merapatkan jurang pendapatan yang terlalu besar dalam kelompok berpendapatan tinggi dan rendah agar kenaikan kos hidup tidak dirasai semua lapisan masyarakat.

“Kita yakin usaha kerajaan memastikan syarikat konsesi lebuh raya tidak akan mendapat keuntungan besar atau kurang munasabah menerusi peningkatan kadar tol dapat mengurangkan tanggungan golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

“Kami yakin kerajaan tidak akan sewenang-wenangnya membiarkan rakyat dibebani masalah kewangan kesan peningkatan kos hidup,” katanya di sini, semalam.

Lam Thye berkata, dalam usaha mengurangkan bebanan rakyat, kerajaan perlu meneruskan agenda memperkukuh ekonomi negara, sekali gus menyediakan lebih banyak peluang untuk meningkatkan mutu hidup rakyat.

Katanya, usaha itu sejajar komitmen kerajaan menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Dalam pada itu, Lam Thye yang juga Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) berkata, polis perlu melipatgandakan usaha mengurangkan lagi kes jenayah bagi membolehkan kawasan awam dan kediaman lebih selamat untuk semua.

“Keselamatan dan ketenteraman awam adalah isu kritikal di negara ini,” katanya yang menggesa kerajaan menumpukan isu pemuliharaan dan perlindungan alam sekitar.

Sumber: Bernama/mStar

Thursday, December 26, 2013

HIMPUNAN TURUN: DATARAN MERDEKA BUKAN TEMPAT ‘GULING KERAJAAN’

SHAH ALAM - Susulan dakwaan yang mengatakan satu himpunan menggulingkan kerajaan akan diadakan ibu kota pada hujung bulan ini, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib menegaskan, Dataran Merdeka bukan tempat untuk mengadakan himpunan tersebut.

Memetik laporan, The Malaysia Insider, Ahmad Phesal berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) belum menerima sebarang permohonan daripada mana-mana pihak untuk berhimpun di Dataran Merdeka.

"Dataran Merdeka hanya digunakan untuk acaran sambutan tahun baru dan beberapa program hiburan yang kita sudah aturkan.

“Ini bermakna dari segi penggunaan, seperti apa yang saya katakan, hanya untuk sambutan tahun baru dan tiada acara lain seperti didakwa,” katanya.

Sebelum ini, sekumpulan mahasiswa di bawah Gerakan Turun Kos Sara Hidup (Turun) telah mengumumkan perhimpunan pada malam ambang tahun baru di Dataran Merdeka untuk membantah siri kenaikan harga barang dan perkhidmatan yang disebarkan melalui media sosial.

Sumber: Sinar Harian

Thursday, December 12, 2013

PROTON PERDANA BERWAJAH BAHARU SEBAGAI KENDERAAN RASMI KERAJAAN

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Rabu melancarkan Proton Perdana berwajah baharu sebagai kenderaan rasmi kerajaan.
 
Proton Perdana berwajah baharu itu menampilkan dua varian iaitu Perdana 2.0 L dan 2.4 L dengan mempertingkatkan ciri-ciri keselamatan dan keselesaan.

Dua unit edisi khas Proton Perdana berwajah baharu turut dikeluarkan untuk Najib dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pada majlis itu, Najib juga menerima kenderaan rasmi beliau dengan plat nombor W11N.

Turut hadir Pengerusi Eksekutif Proton Tan Sri Mohd Khamil Jamil dan menteri-menteri kabinet.

Sebanyak 200 unit pertama Proton Perdana baharu akan diserahkan kepada kerajaan setiap bulan. – BERNAMA

Sumber: mStar Online

Friday, December 6, 2013

KERAJAAN SEDIA TIMBANG BANTUAN KHAS KEPADA MANGSA BANJIR - NAJIB
KUANTAN: Kerajaan sedia menimbangkan bantuan khas kepada mereka yang ditimpa musibah banjir yang melanda beberapa negeri pantai timur ketika ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Kita akan timbang apa yang patut selepas ini," katanya kepada pemberita selepas meninjau kawasan yang dilanda banjir di Pahang Khamis.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada kerajaan bersedia memberi bantuan khas kepada mangsa banjir sepertimana yang pernah dilakukan sebelum ini.

Terdahulu perdana menteri menaiki helikopter meninjau kawasan yang dilanda banjir di Pahang.

Beliau turut singgah di pusat pemindahan banjir di Sekolah Menengah Sains Sultan Ahmad Shah Pekan, Sekolah Kebangsaan Sungai Miang, Pekan dan Sekolah Kebangsaan Sungai Puteri di Rompin.

Ditanya tentang masalah bantuan yang dilaporkan lewat dan tidak mencukupi di pusat-pusat pemindahan banjir, Najib berkata masalah logistik melibatkan jalan utama terputus selain kawasan banjir yang luas, merupakan penyebab utama masalah itu.

Bagaimanapun perdana menteri berkata, ketika ini semua bentuk bantuan di pusat-pusat pemindahan terlibat berjalan dengan lancar.

"Dalam lawatan saya hari ini (di pusat pemindahan terbabit), saya berpuas hati bahawa segala urusan membantu mangsa-mangsa banjir itu berjalan dengan baik, dan mereka telah mendapat layanan yang boleh dikatakan memuaskan daripada semua pihak termasuk daripada kerajan negeri, pejabat daerah dan agensi kerajaan yang lain," kata Najib.

Mengulas tentang masalah jabatan kerajaan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat yang tidak mempunyai stok bekalan makanan kerana terikat dengan peraturan Jabatan Audit Negara, Najib berkata:

"Kita beri pengecualian (untuk tidak terikat dengan peraturan itu) sebab emergency, dalam keadaan darurat, perlu membeli makanan dengan segera," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob semalam bahawa JKM dan jabatan kerajaan berkaitan tidak mempunyai stok bekalan makanan dan perlu membeli makanan di kedai terlebih dahulu untuk dihantar ke pusat pemindahan kerana terikat dengan peraturan ketat Jabatan Audit Negara.

Perdana menteri berkata masalah penghantaran bantuan bekalan makanan dan keperluan asas pada peringkat awal diakui menghadapi masalah disebabkan perkara-perkara berkenaan.

"Pada peringkat awal agak ada sedikit masalah, (dan) kekurangan, (tapi) hari ini sudah lebih selesa," katanya.

"(Sebelum ini) Sumber kita agak terbatas, masalah jalan utama terputus, kita tak boleh guna kenderaan biasa, kenderaan tiga tan pun tak lepas (ke pusat pemindahan), perlu kenderaan lebih besar, (ini) satu pengajaran dari banjir, mesti ada kenderaan (yang) lebih besar (dalam operasi) menangani banjir," kata Najib.

Ditanya berkenaan bandar Kuantan yang lumpuh dua hari lepas berikutan sistem perparitan dan saliran yang dilihat tidak berkesan, perdana menteri berkata hujan lebat luar biasa antara penyebab berlakunya banjir buruk di bandar Kuantan.

"Sistem (perparitan dan saliran) berjalan, tapi belum berjalan mengikut program, ditambah pula dengan hujan luar biasa, tiga hari berturut-turut, volume air begitu besar," katanya.

Perdana menteri turut meminta orang ramai sentiasa dalam keadaan berjaga-jaga berikutan pelbagai ramalan akan berlaku gelombang kedua banjir selepas ini.

"Ikut panduan dan dengar isyarat dan panduan yang diberikan Jawatankuasa Banjir Peringkat Negeri yang dipengerusikan menteri besar, apa apa patuhi arahan (pihak berkuasa)," katanya. - BERNAMA

Sumber: mStar Online

Tuesday, November 19, 2013

KERAJAAN PERLU PEJUANG HUDUD SEPERTI KALIMAH ALLAH

SHAH ALAM - Kerajaan perlu memperjuangkan pelaksanaan hukum hudud sama seperti isu kalimah ALLAH yang mencerminkan pegagangan akidah umat Islam.
 
Pengarah Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (Juham), Ahmad Zamri As'ad Khuzaim berkata, dalam pelaksanaan hukum hudud, sepatutnya ia disokong dan tidak wajar dihalang sama sekali.

Beliau juga berkata, semua pihak perlu yakin, optimis dan bekerja secara professional di dalam penguatkuasaan perlaksanaan undang-undang hudud khususnya di negeri Kelantan.

"Sewajarnya, tiada dolak dalih lagi perlu diberikan oleh ahli-ahli Parlimen Islam di dalam hal ini.

“Sokongan terhadap perlaksanaan undang-undang ini adalah cerminan pegangan akidah Islamiah yang sering dilaung-laungkan oleh majoriti ahli Parlimen di pihak kerajaan, sepertimana di dalam isu kalimah ALLAH.

"Juham menggesa supaya perkara ini dapat dibentangkan segera di Parlimen serta mendapat sokongan ahli Parlimen yang majoritinya beragama Islam agar undang-undang ini dapat dipinda bagi membolehkan negeri Kelantan melaksanakan hudud," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan, Kerajaan Kelantan akan memperuntukan RM 1 juta untuk melaksanakan hukum tersebut.

Susulan itu, ahli  Majlis Tertinggi Umno yang juga Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa turut menyambut baik perkara tersebut dan menegaskan parti bukan Islam lain tidak perlu masuk campur dalam perkara tersebut.

Terbaru, Pas juga menyatakan akan membahaskan usul hukum hudud pada Muktamar Pas yang akan berlangsung pada 22 hingga 24 November ini.

Dalam pada itu, Ahmad Zamri menambah, Juham akan sedia mengembeling usaha dan kepakaran guaman untuk merelisasikan pelaksanaan undang-undang Islam itu di Kelantan.

"Juham telah memperhalusi perkara ini dari sudut undang-undang sedia ada dan melihat halangan ke arah perlaksanaan undang-undang hudud ini dapat di atasi dengan penuh berhemah dan profesional.

"Atas rasa tanggungjawab dan penuh iltizam, Juham bersedia memberikan bantuan khidmat guaman kepada Kerajaan Kelantan bagi membantu penguatkuasaan perlaksanaan undang-undang tersebut di  Kelantan," ujarnya lagi.

Sumber: Sinar Harian

Thursday, October 3, 2013

PR TAWAR KERJASAMA BENTUK MAJLIS SELESAI KETIRISAN JABATAN KERAJAAN

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, PR menawarkan kerjasama dengan kerajaan untuk membentuk sebuah majlis bagi membantu menyelesaikan masalah ketirisan dalam jabatan kerajaan yang didakwa berlaku sejak sekian lama.

Lim berkata, majlis itu akan diketuai Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama  Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim dan Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang.

Menurutnya, penubuhan majlis itu bertujuan supaya tindakan dapat diambil terhadap pegawai yang menyeleweng. Ia juga dapat pastikan reformasi  lebih sistematik dalam jabatan kerajaan.

Sumber: Makkal Osai

KD: Semacam tak kena apabila pembangkang menawarkan sesuatu yang 'bukan kepakarannya'.

Tuesday, October 1, 2013

KERAJAAN PERLU SEDIA PELAN BANTU GOLONGAN PERTENGAHAN 

Kuala Lumpur: Kerajaan perlu menyediakan pelan membantu golongan pertengahan berpendapatan antara RM2,500 hingga RM5,000 sebulan, yang kini dihimpit bebanan kos sara hidup ekoran kenaikan harga barang.

Pelan itu perlu merangkumi pelbagai inisiatif kerajaan, termasuk skim perumahan bagi mengatasi masalah pemilikan rumah yang dihadapi golongan terbabit.

Cadangan itu disuarakan Datuk Ahmad Hamzah (BN-Jasin) ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan 2013 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat, semalam.

Sumber: Berita Harian

KD: Golongan pertengahan = golongan miskin bandar..

Tuesday, May 21, 2013

PKR TIDAK SETUJU GUNA JALAN RAYA UNTUK GULING KERAJAAN

PETALING JAYA - Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli menyatakan pandangannya yang tidak bersetuju dengan hasrat pihak tertentu mahu menggunakan jalan raya untuk menggulingkan kerajaan.
 
Bagaimanapun katanya, bagi mengelakkan perkara itu berlaku, kerajaan tidak boleh menggunakan kekerasan sebaliknya perlu menyelesaikan perkara tersebut dengan mengembalikan kepercayaan kepada rakyat.

“PR tidak terlibat (dengan cara ini), tapi secara peribadi saya kurang setuju untuk gulingkan kerajaan menggunakan jalan raya.

“Tapi kita faham, sebab apa ada rakyat yang berkeras mahu guna jalan raya kerana mereka tidak percaya dengan pilihan raya di negara kita,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Katanya, sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, disarankan tidak menggunakan tindak balas kekerasan kerana ia hanya akan menambahkan kemelut yang melanda rakyat.

“Orang muda yang tidak percaya dengan pilihan raya akan percaya dengan jalan raya, mereka lakukan kerana tidak percaya dengan SPR. Mereka meletakkan sepenuhnya kepercayaan kepada SPR, tapi apabila dilihat SPR tidak mampu memberikan kerjasama untuk siasat secara bersih, mereka terpaksa memilih untuk ke jalan raya.

“Ini masanya kerajaan jalankan siasatan bersih untuk kembalikan kepercayaan rakyat. Rakyat bukan berminat untuk guna kekerasan, tapi sudah hilang keyakinan,” katanya yang juga Ahli Parlimen Pandan.

Beliau berkata demikian mengulas tindakan kumpulan aktivis termasuk mahasiswa yang dilaporkan menggesa orang ramai turun ke jalan raya bagi membantah penipuan yang didakwa berlaku dalam pilihan raya 5 Mei lalu.

Aktivis mahasiswa, Adam Adli Abdul Halim yang dilaporkan mengeluarkan kenyataan itu kini ditahan reman dan disiasat mengikut Seksyen 124(b) Kanun Keseksaan dan juga Seksyen 4 Akta Hasutan.

Menurut peguam mewakilinya, Eric Paulsen memberitahu bahawa Adam disiasat kerana terlibat dalam perbuatan menjejaskan Demokrasi Berparlimen yang merupakan satu jenayah mengikut pindaan Kanun Keseksaan yang dikuatkuasa akhir tahun lalu.. –Sinar Harian