KUANTAN: Kerajaan sedia menimbangkan bantuan khas kepada
mereka yang ditimpa musibah banjir yang melanda beberapa negeri pantai timur
ketika ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
"Kita akan timbang apa yang patut selepas ini,"
katanya kepada pemberita selepas meninjau kawasan yang dilanda banjir di Pahang
Khamis.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada kerajaan
bersedia memberi bantuan khas kepada mangsa banjir sepertimana yang pernah
dilakukan sebelum ini.
Terdahulu perdana menteri menaiki helikopter meninjau
kawasan yang dilanda banjir di Pahang.
Beliau turut singgah di pusat pemindahan banjir di Sekolah
Menengah Sains Sultan Ahmad Shah Pekan, Sekolah Kebangsaan Sungai Miang, Pekan
dan Sekolah Kebangsaan Sungai Puteri di Rompin.
Ditanya tentang masalah bantuan yang dilaporkan lewat dan
tidak mencukupi di pusat-pusat pemindahan banjir, Najib berkata masalah
logistik melibatkan jalan utama terputus selain kawasan banjir yang luas,
merupakan penyebab utama masalah itu.
Bagaimanapun perdana menteri berkata, ketika ini semua
bentuk bantuan di pusat-pusat pemindahan terlibat berjalan dengan lancar.
"Dalam lawatan saya hari ini (di pusat pemindahan
terbabit), saya berpuas hati bahawa segala urusan membantu mangsa-mangsa banjir
itu berjalan dengan baik, dan mereka telah mendapat layanan yang boleh
dikatakan memuaskan daripada semua pihak termasuk daripada kerajan negeri,
pejabat daerah dan agensi kerajaan yang lain," kata Najib.
Mengulas tentang masalah jabatan kerajaan seperti Jabatan
Kebajikan Masyarakat yang tidak mempunyai stok bekalan makanan kerana terikat
dengan peraturan Jabatan Audit Negara, Najib berkata:
"Kita beri pengecualian (untuk tidak terikat dengan
peraturan itu) sebab emergency, dalam keadaan darurat, perlu membeli makanan
dengan segera," katanya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri
Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob semalam bahawa JKM dan jabatan kerajaan
berkaitan tidak mempunyai stok bekalan makanan dan perlu membeli makanan di
kedai terlebih dahulu untuk dihantar ke pusat pemindahan kerana terikat dengan
peraturan ketat Jabatan Audit Negara.
Perdana menteri berkata masalah penghantaran bantuan bekalan
makanan dan keperluan asas pada peringkat awal diakui menghadapi masalah
disebabkan perkara-perkara berkenaan.
"Pada peringkat awal agak ada sedikit masalah, (dan)
kekurangan, (tapi) hari ini sudah lebih selesa," katanya.
"(Sebelum ini) Sumber kita agak terbatas, masalah jalan
utama terputus, kita tak boleh guna kenderaan biasa, kenderaan tiga tan pun tak
lepas (ke pusat pemindahan), perlu kenderaan lebih besar, (ini) satu pengajaran
dari banjir, mesti ada kenderaan (yang) lebih besar (dalam operasi) menangani
banjir," kata Najib.
Ditanya berkenaan bandar Kuantan yang lumpuh dua hari lepas
berikutan sistem perparitan dan saliran yang dilihat tidak berkesan, perdana
menteri berkata hujan lebat luar biasa antara penyebab berlakunya banjir buruk
di bandar Kuantan.
"Sistem (perparitan dan saliran) berjalan, tapi belum
berjalan mengikut program, ditambah pula dengan hujan luar biasa, tiga hari
berturut-turut, volume air begitu besar," katanya.
Perdana menteri turut meminta orang ramai sentiasa dalam
keadaan berjaga-jaga berikutan pelbagai ramalan akan berlaku gelombang kedua
banjir selepas ini.
"Ikut panduan dan dengar isyarat dan panduan yang
diberikan Jawatankuasa Banjir Peringkat Negeri yang dipengerusikan menteri
besar, apa apa patuhi arahan (pihak berkuasa)," katanya. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment