TARIF ELEKTRIK NAIK:
FIKIR BEBAN RAKYAT MARHAEN
SHAH ALAM – Kenaikan 15 peratus tarif elektrik di
Semenanjung Malaysia dan 17 peratus di Sabah dan Labuan yang bakal berkuat
kuasa awal bulan depan tidak kena pada masa dan membebankan rakyat marhaen.
Exco Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, V
Ganabatirau berkata, pengumuman kerajaan Pusat ini tidak kena pada masanya dan dipercayai membebankan rakyat
ekoran kenaikan harga barang dan perkhidmatan kebelakangan ini.
“Peratus kenaikan yang bakal dilaksanakan agak tinggi,
sedangkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) memonopoli secara keseluruhan konsesi
penyaluran tenaga elektrik di negara ini dan ia syarikat yang menguntungkan.
“Umum maklum perbelanjaan mengurus sangat tinggi namun
kenaikan itu lebih kepada mengaut untung. Pada pendapat saya tidak kena masa,
rakyat marhaen dibebani kenaikan petrol RON95, gula dan bakal berdepan cukai
barangan dan perkhidmatan (GST),” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Beliau yang juga Adun Kota Alam Shah turut menggesa agar
perbelanjaan TNB diaudit semula kerana kenaikan tarif elektrik disifatkan
menggunakan cara yang salah.
“Bagaimanapun, kerajaan Selangor akan berusaha berasaskan
aspirasi golongan marhaen. Kerajaan negeri mampu mengawal dan mempertahankan
hak rakyat dengan keupayaan memberi 20 meter padu air percuma.
“TNB bukan syarikat swasta sebaliknya anak syarikat kerajaan
persekutuan (GLC). Oleh yang demikian, kenaikan ini wajar dikaji semula dengan
memikirkan bebanan rakyat,” katanya.
Senada dengan reaksi ini, Exco Belia dan Sukan,
Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, sewajarnya
kerajaan pusat mengkaji semula kenaikan tarif elektrik kerana ia merupakan
keperluan asas rakyat sama seperti air dan rumah.
“Kalau mahu naikkan juga biarlah berpatutan. Memandangkan
subsidi yang diberikan begitu besar sewajarnya rakyat mendapat imbuhan terbaik
namun sebaliknya pula yang berlaku.
“Kerajaan harus bela nasib rakyat bukan mengayakan syarikat
gergasi dan saya harap kenaikan ini difikir dan dikaji semula,” katanya.
Sumber: Sinar Harian
No comments:
Post a Comment