WANITA UMNO HARAP
PERUNTUKAN 30 PERATUS KERUSI PADA PRU-14
KUALA LUMPUR: Wanita Umno berharap pengiktirafannya sebagai
tulang belakang parti dapat disusuli dengan peruntukan 30 peratus kerusi
parlimen dan dewan undangan negeri (DUN) untuk ditandingi semasa pilihan raya
umum akan datang.
Ketua Penerangan Wanita Umno Datuk Rosni Zahari berkata ini
bagi membolehkan sayap dengan 1.3 juta anggota itu mempunyai lebih pengaruh
dalam politik tanah air.
Malaysia kata beliau antara negara Asean yang kaum wanitanya
paling kurang mempunyai kuasa politik berbanding di Thailand, Indonesia dan
Myanmar.
Cadangan 30 peratus itu membabitkan kira-kira 210 kerusi
parlimen dan DU Nuntuk Wanita Umno, katanya ketika ditemui Bernama semasa
beliau melawat Laman Media di Perhimpunan Agung Umno 2013, di sini hari ini.
Dalam pilihan raya umum lepas, Wanita Umno diperuntuk
bertanding di 10 daripada 222 kerusi parlimen atau 4.5 peratus. Daripada jumlah
itu mereka menang di lapan kerusi.
Untuk kerusi DUN pula, Wanita Umno diperuntuk bertanding di
32 kerusi dan mereka menang 25.
Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak mengisytiharkan
Wanita Umno secara rasmi sebagai tulang belakang parti semasa menyampaikan
ucapan dasar dalam perhimpunan agung tahunan parti hari ini.
Menyifatkan ia sebagai pengiktirafan paling bersejarah
selepas penubuhan pergerakan itu pada 1949, Rosni berkata Wanita perlu
meningkatkan peranan mereka di saf hadapan dalam membantu rakyat.
Selain peranan tersebut, Wanita Umno juga terkenal sebagai
pemain peranan utama semasa pilihan raya umum dan kecil.
Rosni juga berkata pengiktirafan itu akan membolehkan Wanita
Umno memohon peruntukan kewangan yang lebih daripada parti bagi memperhebat
gerak kerjanya.
"Kita mempunyai anggota yang komited, setia dan
sentiasa menyumbang kepada parti sehingga membolehkan Umno menang sekali lagi
dalam pilihan raya umum lepas," katanya.
Selain itu, beliau memberitahu semua perwakilan Wanita Umno
yang terbabit dengan bencana banjir telah pulang ke kawasan masing-masing sejak
semalam.
"Apabila diberitahu kawasan mereka terjejas kerana
banjir, semua telah pulang bagi membantu keluarga," katanya dan menambah
Wanita Umno akan menghantar Skuad Sayang bagi membantu mangsa banjir.
Banjir dilapor semakin buruk di Pahang dengan 29,270 mangsa
dipindahkan ke pusat pemindahan setakat ini, manakala Johor (2,027), Kelantan
(1,284), Terengganu (7,163) dan Melaka (25). - BERNAMA
Sumber: mStar Online
No comments:
Post a Comment