KERETA LEBIH
12 TAHUN TIDAK SELAMAT – MIROS
MELAKA - Kenderaan terutama yang berusia melebihi 12 tahun
tidak selamat berada di jalan raya kerana ia mengundang risiko kematian lebih
tinggi semasa kemalangan berbanding kereta baharu.
Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya
Malaysia (Miros), Prof Dr Wong Shaw Voon berkata, kenderaan berusia terdedah
dengan pelbagai kerosakan yang mungkin tidak disedari pemandu dan mengurangkan
daya serapan tenaga pelanggaran ketika berlaku kemalangan.
"Kebanyakan kereta direka bentuk untuk jangka hayat
antara lima hingga 12 tahun," katanya kepada pemberita selepas ujian
perlanggaran kenderaan di Makmal Perlanggaran Penilaian Kereta Baharu Asean
(Asean NCAP) di Tiang Dua di sini, hari ini.
Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya
(JKJR), Datuk Dr Tam Weng Wah menyaksikan ujian perlanggaran sebuah kereta
berusia 23 tahun pada kelajuan 64 kilometer per jam bagi melihat kesan momentum
perlanggaran terhadap pemandu dan kenderaan itu.
Bagaimanapun katanya jangka hayat kenderaan turut dipengaruhi
beberapa faktor seperti reka bentuk kereta, cara pemanduan dan penyelenggaraan
kenderaan.
Sebagai contoh, Dr Wong berkata, kenderaan seperti teksi
mempunyai jangka hayat selamat yang lebih pendek iaitu lima tahun disebabkan
penggunaannya melebihi 12 jam sehari berbanding kereta lain.
"Kereta lama mempunyai daya menyerap tenaga perlanggaran
lebih rendah berbanding kereta baharu dan daya tersebut kemudian dipindahkan
kepada penumpang sehingga menyebabkan kecederaan teruk yang boleh mengundang
risiko kematian," katanya.
Beliau berkata, kenderaan baharu dilengkapi teknologi terkini
melibatkan reka bentuk kereta terutama untuk menyerap tenaga perlanggaran bagi
mengurangkan risiko kematian akibat kemalangan.
Sehubungan itu, katanya orang ramai digesa memberi perhatian
terhadap jangka hayat kereta selain cara pemanduan serta penyelenggaraan yang
betul bagi mengurangkan risiko kematian akibat kemalangan.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata orang ramai boleh
mendapatkan maklumat berhubung ciri keselamatan kereta dan rating bintang bagi
model kenderaan yang diuji di bawah Asean NCAP dalam laman sesawang
www.aseancap.org bagi membantu mereka membeli kereta yang mempunyai ciri
keselamatan tinggi. – Bernama
Sumber: Sinar Harian
No comments:
Post a Comment