KOTA BAHARU: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di
Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berharap kerajaan memberi bonus yang terbaik
kepada anggota perkhidmatan awam pada Bajet 2013 yang akan dibentangkan di
Parlimen 28 September ini.
Presiden Cuepacs Datuk Omar Osman berkata
sebelum ini Cuepacs memohon kerajaan memberi bonus dua bulan gaji kepada 1.4
juta penjawat awam dan pihaknya percaya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun
Razak mempertimbangkan perkara tersebut berdasarkan kemampuan kerajaan.
"Dalam sejarah, kita tidak pernah dapat
dua bulan bonus. Bonus terbaik yang pernah diberi kerajaan kepada anggota
perkhidmatan awam ialan bonus sebulan gaji iaitu pada zaman Tun Dr Mahathir
Mohamad menjadi Perdana Menteri," katanya kepada pemberita pada Majlis
Bersama Pembantu Pertanian Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) di sini
Ahad.
Omar berkata penjawat awam wajar memperoleh
bonus terbaik memandangkan transformasi yang dilakukan di jabatan dan agensi
kerajaan yang melonjakkan prestasi dan kecekapan mereka melaksanakan tanggungjawab.
Sementara itu, beliau berkata pihaknya akan
mencadangkan kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) supaya memberi nama
baru kepada jawatan yang berkaitan dengan pembantu seperti pembantu pertanian,
pembantu pegawai tadbir dan pembantu juruteknik.
"Pembantu tidak sesuai lagi kerana
jawatan itu melambangkan imej perkhidmatan awam, kita tidak mahu dengan
transformasi yang dilaksanakan, mereka ini hanya bertugas sebagai membantu
sahaja," katanya.
Beliau berkata pihaknya sudah mempunyai
beberapa nama baru bagi menggantikan jawatan pembantu tersebut, antaranya
pegawai teknologi tani bagi menggantikan pembantu pertanian.
Mengenai penjawat awam yang bermasalah
termasuk dari segi disiplin, yang dianggarkan sekitar 15,000 hingga 18,000
orang, Omar berkata mereka perlu diberi motivasi terlebih dahulu sebelum
tindakan lain dikenakan seperti tindakan tatatertib. - BERNAMA/MStar
No comments:
Post a Comment