SKMM
RUJUK JAKIM ISU VIDEO RAYA BERSAMA ANJING – SHABERY
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan
Multimedia Malaysia (SKMM) akan merujuk kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
(Jakim) sebelum membuat keputusan berhubung kes penyebaran video '1 Hari Di
Hari Raya' baru-baru ini yang dianggap menghina Islam.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk
Seri Shabery Cheek berkata, pandangan dan nasihat Jakim diperlukan bagi
memutuskan sama ada video itu mencemar kesucian agama Islam.
"Sekiranya Jakim mendapati video
itu menyentuh sensitiviti agama, maka SKMM akan buat keputusan supaya kes itu
diserahkan kepada peguam negara," katanya.
Polis semalam menahan Maznah Mohd Yusof,
38, selepas didakwa membuat video kontroversi menyambut Hari Raya bersama tiga
ekor anjing dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan.
Maznah dipercayai individu yang memuat
naik video itu tiga tahun lepas di YouTube.
Rakaman video selama 1 minit 44 saat
itu, memaparkan seorang individu membawa tiga ekor anjingnya bersiar-siar dekat
perkarangan masjid dengan menggunakan suara latar Takbir Raya.
Video itu turut menunjukkan individu itu
yang memakai Baju Melayu hitam membasuh kaki anjingnya, kemudian seolah
mengambil wuduk dengan membasuh kakinya pula dan mengelap anjingnya sebelum
menyediakan kuih raya untuk tiga ekor anjing itu.
Video itu juga menyiarkan kata-kata
"Raikanlah Aidilfitri bersama-sama, tanpa mengira spesies, warna dan
asal-usul (dengan menunjukkan gambar tiga anjing itu).
Maznah kini direman dua hari hingga esok
di Ibu Pejabat Polis Daerah Segamat, Johor setelah diambil keterangan di Bukit
Aman semalam.
Selain itu, Shabery berkata SKMM telah
pun merekod kenyataan Maznah dan siasatan masih dijalankan untuk mengetahui
niat sebenar individu itu membuat video berkenaan.
"Banyak pandangan berbeza yang kita
terima berhubung kes ini, jadi siasatan perlu dijalankan," katanya. -BERNAMA/mStar
No comments:
Post a Comment