UMNO,
BN PERLU YAKINKAN WARGA BANDAR – PM
KUALA LUMPUR: Umno dan Barisan Nasional
(BN) perlu mengkaji kaedah berkesan bagi membolehkan parti kembali diyakini
serta menjadi pilihan masyarakat bandar, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib
Tun Razak.
Beliau berkata, pemimpin dan anggota
parti perlu berkerja keras bagi menterjemahkan kekuatan sebagai satu-satunya
parti yang mampu membangunkan ekonomi negara dan juga parti yang suatu ketika
dahulu pernah berjuang memerdekakan negara.
Mengambil ikhtibar daripada mesej yang
disampaikan rakyat ketika Pilihan Raya Umum ke-13 lepas, Najib berkata bagi
memenangi kembali hati penduduk bandar, masalah utama yang menjadi kerisauan
mereka iaitu jenayah atau rasuah, lalu lintas dan harga rumah mampu milik perlu
terlebih dahulu ditangani.
"Selain proses dalaman memperbaiki
kelemahan parti dan bermuhasabah, kita juga perlu ada perasaaan rendah hati
demi rakyat dengan mengenal pasti masalah masyarakat bandar yang perlu
diperjuangkan sehingga memberi kepuasan kepada mereka," katanya.
Najib berkata demikian ketika berucap
pada majlis berbuka puasa bersama pemimpin Umno dan BN serta masyarakat Wilayah
Persekutuan di Masjid Muadz Al-Jabbar di sini.
Najib, yang juga Presiden Umno dan
Pengerusi BN, berkata kerajaan komited untuk memerangi jenayah dan rasuah bagi
memastikan rakyat bebas dari ancaman jenayah berat, ragut dan pecah rumah.
Beliau berkata kerajaan juga mahu
memastikan semua rakyat, sama ada berpendapatan rendah dan tinggi dapat
menggunakan kemudahan pengangkutan awam dengan selesa bagi mengurangkan masalah
kesesakan lalu lintas.
"Seperti bandar London dan New
York, yang mana semua rakyat berpendapatan tinggi, mereka juga gunakan
pengangkutan awam, kalau kita boleh sampai ke tahap itu kita boleh beri
kepuasan kepada rakyat," katanya.
Katanya kerajaan juga akan membina
85,000 unit rumah mampu milik dalam tempoh lima tahun akan datang di Wilayah
Persekutuan, dengan harga dalam lingkungan RM150,000 hingga RM300,000 bagi
memenuhi permintaan masyarakat bandar.
Dalam pada itu, Najib mengajak rakyat
bersyukur kerana dapat mengamalkan ibadah puasa dengan penuh ketenangan
berbanding negara-negara Islam lain yang sedang berada dalam kancah pergolakan
yang dahsyat. BERNAMA/mStar
No comments:
Post a Comment