Showing posts with label raya. Show all posts
Showing posts with label raya. Show all posts

Thursday, August 1, 2013

SKMM RUJUK JAKIM ISU VIDEO RAYA BERSAMA ANJING – SHABERY

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan merujuk kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sebelum membuat keputusan berhubung kes penyebaran video '1 Hari Di Hari Raya' baru-baru ini yang dianggap menghina Islam.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Shabery Cheek berkata, pandangan dan nasihat Jakim diperlukan bagi memutuskan sama ada video itu mencemar kesucian agama Islam.

"Sekiranya Jakim mendapati video itu menyentuh sensitiviti agama, maka SKMM akan buat keputusan supaya kes itu diserahkan kepada peguam negara," katanya.

Polis semalam menahan Maznah Mohd Yusof, 38, selepas didakwa membuat video kontroversi menyambut Hari Raya bersama tiga ekor anjing dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan.

Maznah dipercayai individu yang memuat naik video itu tiga tahun lepas di YouTube.

Rakaman video selama 1 minit 44 saat itu, memaparkan seorang individu membawa tiga ekor anjingnya bersiar-siar dekat perkarangan masjid dengan menggunakan suara latar Takbir Raya.

Video itu turut menunjukkan individu itu yang memakai Baju Melayu hitam membasuh kaki anjingnya, kemudian seolah mengambil wuduk dengan membasuh kakinya pula dan mengelap anjingnya sebelum menyediakan kuih raya untuk tiga ekor anjing itu.

Video itu juga menyiarkan kata-kata "Raikanlah Aidilfitri bersama-sama, tanpa mengira spesies, warna dan asal-usul (dengan menunjukkan gambar tiga anjing itu).

Maznah kini direman dua hari hingga esok di Ibu Pejabat Polis Daerah Segamat, Johor setelah diambil keterangan di Bukit Aman semalam.

Selain itu, Shabery berkata SKMM telah pun merekod kenyataan Maznah dan siasatan masih dijalankan untuk mengetahui niat sebenar individu itu membuat video berkenaan.

"Banyak pandangan berbeza yang kita terima berhubung kes ini, jadi siasatan perlu dijalankan," katanya. -BERNAMA/mStar

VIDEO RAYA: PELATIH ANJING DIBAWA KE SEGAMAT

PETALING JAYA: Maznah Mohd Yusof, wanita yang mencetuskan kontroversi menerusi video sambutan Aidilfitri bersama tiga anjing peliharaannya akan dibawa ke mahkamah Majistret di Segamat yang berkemungkinan bagi mendapatkan perintah lanjutan reman terhadapnya. 
Gambar fail menunjukkan Maznah sedang melatih anjing-anjing peliharaannya.
Peguamnya Latheefa Koya berkata, Maznah telah dibawa ke Segamat awal pagi Khamis iaitu tempat di mana laporan polis pertama dibuat ke atasnya.

"Ini sesuatu yang tidak masuk akal. Mereka sepatutnya boleh menjalankan siasatan di Kuala Lumpur atau Selangor," kata pada Khamis.

Menurut Latheefa beliau sempat menemui Maznah di Bukit Aman awal pagi ini.

Maznah yang juga dikenali sebagai Chetz ditahan pada Rabu.

Wanita itu mencetuskan kontroversi apabila video yang memaparkan aksinya tiga tahun lalu menyambut Aidilfitri bersama tiga anjingnya dimuat naik ke malam YouTube pada Isnin.

Video itu menunjukkan Chetz membawa tiga ekor anjingnya bersiar-siar dekat pekarangan masjid dengan suara latar takbir raya.

Rakaman berdurasi 1 minit 44 saat itu turut menunjukkan Chetz memakai baju Melayu hitam membasuh kaki anjingnya, kemudian seolah-olah mengambil wuduk dengan membasuh kakinya pula dan mengelap anjingnya sebelum menyediakan kuih raya untuk tiga ekor anjing itu.

Video itu juga menyiarkan kata-kata: "Raikanlah Aidilfitri bersama-sama, tanpa mengira spesies, warna dan asal-usul (dengan menunjukkan gambar tiga ekor anjing itu)."

Video itu turut memuatkan ucapan "Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin daripada Chetz sekeluarga" dengan gambar lelaki duduk bersama tiga ekor ekor anjing di atas sofa.. -BERNAMA/mStar