Showing posts with label masjid. Show all posts
Showing posts with label masjid. Show all posts

Thursday, April 18, 2013

ISU VIDEO: MUSTAFA ALI DIMINTA BERSUMPAH DI MASJID

KUALA LUMPUR - Keputusan Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali untuk tidak membuat laporan polis berkenaan isu penyebaran video seks yang mirip beliau boleh dilihat sebagai merosakkan kredibiliti perjuangan Islam Pas selama ini.

Menurut Presiden Pertubuhan Muafakat Sejahtera Malaysia (Muafakat), Ismail Mina Ahmad berkata, adalah lebih baik Mustafa mengangkat sumpah di mana-mana masjid dan menjadikan orang ramai sebagai saksi untuk memperbetulkan kembali fakta berkenaan isu itu jika beliau berada di pihak yang benar.

Tiada apa yang perlu ditakuti jika beliau tidak melakukan perkara tidak bermoral itu, jadikan kisah Saiyidina Uthman sebagai teladan. Bagaimana khalifah ketiga itu mengangkat sumpah di Masjid Nabawi untuk menafikan pelbagai tuduhan yang dilemparkan terhadapnya.

Jika di kalangan ahli parti melakukan perkara tidak bermoral seperti ini pun sudah dianggap bertentangan, ini kan pula perwakilan tertinggi parti yang melakukannya. Sudah semestinya dianggap perkara luar biasa," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas penafian Mustafa Ali berhubung dakwaan penyebaran video seks yang menyerupai dirinya di dalam laman sosial baru-baru ini.

Bagi Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Abdullah Zaik Abdul Rahman berkata, sebagai pemimpin tertinggi Pas, Mustafa perlu membersihkan imejnya dengan terlebih dahulu membuat laporan polis untuk membolehkan pihak terbabit melakukan penyiasatan terperinci bagi mendapatkan kesahihan adakah beliau (Mustafa) merupakan pelakon utama video itu ataupun tidak.

Sekarang ini, langkah terbaik, dia sendiri pergi buat laporan polis supaya perkara tersebut boleh disiasat dan dia boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap pesalah jika dia berada di tempat yang benar.

Sebagai sebuah parti yang berteraskan Islam masyarakat melihat Pas sebagai tidak konsisten dan goyah dalam memegang prinsip Islamnya, jangan lupa maruah dalam agama perlu dipertahankan bagi menutup keaiban diri sendiri," katanya di sini.

Jelas Abdullah, ekoran video seks ini, kredibiliti jawatankuasa tatatertib Pas sedikit terjejas sejak kebelakangan ini.

Soal perkaitan moral dan akhlak ahli parti pun tidak mampu diselesaikan ini telah menunjukkan jawatankuasa Pas lemah dalam mengambil tindakan disiplin," jelasnya lagi. -Utusan Online

Wednesday, April 10, 2013

'KENYATAAN NIK AZIZ PERLU DIKAJI'


KUALA LUMPUR - Majlis Fatwa Kebangsaan digesa supaya bermuzakarah dan mengkaji kenyataan kontroversi Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kebelakangan ini seperti mendakwa sembahyang orang UMNO tidak mendapat pahala dan pembinaan masjid oleh kerajaan hanyalah untuk tujuan mendapat kontrak.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, nasihat, kajian serta ketetapan majlis itu tentang kelantangan dan keceluparan Nik Abdul Aziz amat penting bagi mengelakkan umat Islam tempatan terus dikelirukan dan seterusnya terpesong akidah.

Katanya, beliau yakin jika Majlis Fatwa mengkaji perkara tersebut, kesemua kenyataan Nik Abdul Aziz yang disifatkan sesetengah pihak sebagai tokoh agama atau ulama itu akan ditolak sama sekali.

Baginya, kenyataan pemimpin tertinggi Pas itu hanyalah bersifat politik semata-mata tanpa bersandarkan kepada dalil-dalil dalam al-Quran.

"Ini satu masalah. Kalau bukan Islam yang kata begitu mungkin kita faham tapi ini ulama dan tokoh. Saya fikir sesuatu perkara yang dilakukannya lebih politik daripada agama dan sebab itu saya kata Pas itu parti ajaran sesat, ada kata parti ajaran songsang.

"Islam tidak patut dinodai hanya oleh kerana ada muslihat politik oleh sesiapa sekalipun. UMNO tidak pernah buat begitu, tidak pernah keluarkan fatwa," katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Anugerah Kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia 2012 di Gombak, dekat sini hari ini.

Baru-baru ini, Nik Abdul Aziz mengeluarkan 'fatwa' sembahyang orang UMNO tidak mendapat pahala dan usaha kerajaan membina masjid bukan sebahagian daripada ajaran Islam kerana hanya bertujuan mendapatkan kontrak.

Namun semalam, Nik Abdul Aziz, Pas dan pakatan pembangkang menerima tamparan hebat apabila deklarasi Persidangan Ulama Pondok, Sekolah Agama Rakyat dan Tahfiz memutuskan haram bagi umat Islam mengundi Pas serta Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada pilihan raya umum nanti.

Muhyiddin berkata, beliau percaya ketetapan tersebut dibuat setelah pihak Ulama Pondok menganalisis kepincangan dan penyalahgunaan agama oleh Pas seperti membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam.

"Mungkin itu asas-asas yang mereka gunakan sehingga mencapai ketetapan tersebut, saya bukan pakar, itu pandangan mereka," katanya.

Sementara itu, Muhyiddin berasa hairan dengan ketidaktentuan nasib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sama ada akan dicalonkan atau tidak pada pilihan raya umum kali ini.

Menurut beliau, percanggahan kenyataan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa Wan Azizah tidak akan dicalonkan sementara anaknya, iaitu Naib Presiden PKR, Nurul Izzah menyatakan sebaliknya telah menunjukkan mereka tidak selari dalam membuat keputusan. – Utusan Online

Monday, April 8, 2013

UMNO BINA MASJID BUKAN SEBAB ISLAM - NIK AZIZ

KOTA BHARU - Setelah menuduh solat orang UMNO tidak mendapat pahala, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mendakwa, UMNO membuat masjid bukan kerana Islam sebaliknya mahu menjadi kontraktor.

Malah, Menteri Besar Kelantan itu berkata, program-program berkaitan Islam yang dilakukan UMNO juga tidak mendapat pahala kerana parti tersebut menolak Islam.

"Di Kelantan ini banyak mana projek-projek Kerajaan Pusat buat, sepatah pun tidak memberitahu harga sebenar.

"Tentu ada benda yang tersembunyi, orang Melayu panggil 'sambil menyelam sambil minum air'. UMNO pula 'sambil menyelam sambil bekwoh (kenduri)'. Bukan setakat minum sahaja, makan besar," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas melancarkan Projek Pawah Rusa di Kompleks Perkhidmatan Veterinar, di sini hari ini.

Nik Abdul Aziz berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataannya dalam ceramah di Kampung Jambu dekat sini, 3 April lalu, yang mendakwa sembahyang orang UMNO tidak mendapat pahala kerana mendakwa parti itu menolak dasar Islam.

Mengenai dakwaannya itu, Nik Abdul Aziz dengan angkuh mempertahankannya dengan menegaskan, orang UMNO bermakna orang yang menolak Islam dan sembahyang mereka sememangnya tidak akan memperoleh sebarang ganjaran pahala.

Beliau berkata, orang Melayu sepatutnya menerima Islam dengan sepenuhnya dan menolak Islam bermakna mereka turut menolak Allah SWT.

Dakwaan Nik Abdul Aziz itu dibidas banyak pihak terutama golongan ulama seperti Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, Pengerusi Biro Agama Nadi Rakyat Malaysia, Rujhan Abd. Rahman dan Pengerusi Biro Bertindak Agama Minda Pondok, Mohd. Syamsul Mohd. Yusoff al-Hafiz.

Dalam pada itu, Nik Abdul Aziz menyifatkan manifesto yang diumumkan Barisan Nasional (BN) demi kesejahteraan rakyat malam tadi sebagai mengarut.  –Utusan Online

KD: Bagaimana pula dengan laporan ini?