Lahad Datu: Selepas tiga minggu bertolak ansur dengan pengganas Sulu dari selatan Filipina, pasukan keselamatan semalam melancarkan serangan besar-besaran menerusi Ops Daulat terhadap mereka yang berkubu di Kampung Tanduo, di sini semalam.
Serangan
tiga peringkat bermula dengan pengeboman lokasi pengganas menggunakan tiga
pesawat pejuang F-18D Hornet dan lima Hawk Mk-208 Tentera Udara Diraja Malaysia
(TUDM) selama 10 minit bermula jam 7 pagi yang terbang dari pangkalan TUDM di
Labuan.
Ia diikuti
serangan menggunakan mortar 81mm sebelum menghantar anggota masuk untuk
mengesan pengganas.
Serangan
peringkat ketiga ialah operasi ‘menggeledah dan membersih’ yang disertai
kira-kira 1,000 pegawai dan anggota 21 Grup Gerak Khas, pasukan atur cepat 10
Briged Para serta Komando VAT69 dengan bantuan kereta perisai APC Condor.
Operasi
membabitkan zon penampan kawasan selamat seluas 10 kilometer (km) persegi dari
lokasi sasaran serta zon operasi pengeboman seluas empat kilometer persegi.
Bagaimanapun,
sehingga jam 9 malam tadi, pasukan keselamatan belum mengumumkan bilangan
pengganas yang terbunuh atau ditawan. Namun, menurut sumber 20 hingga 30 mayat
telah ditemui.
Sambil
menyifatkan Ops Daulat mencapai matlamat awal, Ketua Polis Negara, Tan Sri
Ismail Omar, mengesahkan tiada anggota pasukan keselamatan yang cedera atau
terkorban dalam serangan itu.
"Operasi
menggeledah dan memburu saki baki pengganas masih diteruskan. Saya yakin musuh
masih berada di kawasan sasaran kerana polis dan tentera mendapat tentangan
dalam bentuk tembakan yang dilepaskan kumpulan pengganas.
"Oleh
itu, pergerakan pasukan keselamatan agak perlahan ketika ini (petang) kerana
keutamaan adalah keselamatan anggota kita," katanya dalam sidang media
bersama Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Zulkifeli
Mohd Zin di sini, semalam.
Kira-kira
200 pengganas yang mendakwa Tentera Kesultanan Sulu mendarat di Kampung Tanduo
pada 12 Februari lalu dan dikepung pihak keselamatan negara.
Pelbagai
usaha kerajaan, termasuk berunding supaya mereka pulang secara sukarela menemui
jalan buntu. Malah, mereka bertindak ganas apabila membunuh dua anggota polis
di kampung itu, Jumaat lalu, diikuti serangan hendap terhadap pasukan risikan
polis di Kampung Simunul, Semporna, sehari kemudian dan membunuh enam lagi
anggota.
Mengulas
lanjut mengenai operasi itu, Ismail berkata, sejurus selepas serangan udara,
tentera dan polis melancarkan serangan mortar kira-kira 10 minit untuk
memudahkan pergerakan pasukan keselamatan memasuki zon operasi. -BHarian
No comments:
Post a Comment