Showing posts with label kaum. Show all posts
Showing posts with label kaum. Show all posts

Monday, June 17, 2013

GENERASI MUDA MELAYU TIDAK TAHU SEJARAH KAUM SENDIRI

KUALA LUMPUR 16 Jun - Segelintir generasi muda termasuk penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) menerima secara bulat-bulat dakwaan kononnya negara ini bukan milik orang Melayu disebabkan mereka tidak mengetahui fakta mengenai sejarah kaum sendiri.

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, mereka terlupa hakikat Malaysia merupakan sebahagian wilayah yang suatu ketika dahulu dikenali sebagai Gugusan Kepulauan Melayu.

Menurut beliau, sebelum penjajahan kuasa-kuasa Barat, orang Melayu bebas bergerak di mana-mana sahaja dalam wilayah yang ditadbir kerajaan-kerajaan Melayu seperti di Melaka dan Majapahit.

Namun, tambahnya, apa yang menyedihkan terdapat pihak tertentu cuba menukar fakta itu dengan mendakwa orang Melayu adalah pendatang kerana Orang Asli merupakan penduduk asal negara ini.

"Malah, ada yang kata penduduk asal negara ini ialah kaum Cina. Yang sedihnya, ada orang Melayu bersetuju dengan dakwaan itu kerana mereka tidak tahu sejarah. Ini perkara yang perlu diperbetulkan," katanya sewaktu menjadi seorang daripada ahli panel dalam Forum Rakyat: Melayu Islam Bersatu? anjuran Sahabat Ulul Amri di sini malam tadi.

Musa turut menyelar pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menyebarkan dakyah liberalisme bagi menyeleweng pemikiran generasi muda tentang konsep kebebasan mutlak.

Beliau memberitahu, NGO terbabit perlu sedar konsep hak asasi manusia yang diamalkan di negara ini adalah tertakluk kepada batasan yang ditetapkan syariah.

"Bukan hak mutlak boleh tidur dengan isteri orang. Bukan hak mutlak boleh tidur lelaki dengan lelaki. Hak asasi Islam mesti mengikut batasan yang dibenarkan Allah SWT," katanya.

Sehubungan itu, tambah Musa, pihak berkuasa perlu bertindak tegas terhadap anasir-anasir yang menerapkan fahaman liberalisme kerana boleh menyebabkan orang Melayu dan Islam menjadi pendatang di negara sendiri sekiranya tidak ditangani.

Beliau juga meminta kerajaan memberi keutamaan terhadap usaha memerangi rasuah dalam kalangan ahli politik dan penjawat awam kerana gejala itu mengikis rasa hormat generasi muda Cina kepada orang Melayu.

"Generasi muda Cina membenci rasuah. Apabila orang Melayu menerima rasuah, mereka menganggap seperti menjual hak kepada orang lain dan akibatnya mereka tidak menghormati orang Melayu," katanya. – Utusan Online

Thursday, June 13, 2013

PASCA PRU13: TOLAK SERANGAN PERKAUMAN

SUBANG — Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishamuddin menolak serangan terhadap sesetengah kaum dan komuniti di negara ini selepas Pilihan Raya 2013 kerana ia jelasnya akan memberikan kesan buruk kepada negara.

“Saya harap itu hanya pendirian segelintir mereka yang tak bertanggungjawab,” katanya kepada pemberita ketika sidang media selepas lawatan ke Pangkalan Tentera Udara Subang di sini.

“Saya percaya orang yang matang tak ikut emosi ...  mereka tidak akan gadaikan masa depan kita dengan berpolitik, akhirnya itulah membezakan pemimpin sama ada pembangkang atau kerajaan yang boleh diharapkan,” kata Naib Presiden Umno itu lagi sambil mengambil contoh insiden rusuhan di Turki.

Selepas pilihan raya 5 Mei lalu, akhbar milik Umno, Utusan Malaysia secara terbuka menyerang komuniti Cina, dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak juga dilaporkan berkata keputusan pilihan raya berkenaan menggambarkan Tsunami Cina.

Pemimpin pembangkang bagaimanapun menegaskan ianya adalah Tsunami Rakyat dan bukan seperti yang dikatakan Najib.

Pilihan Raya 2013 menyaksikan Barisan Nasional (BN) memenangi 133 kerusi Parlimen manakala 89 kerusi menjadi milik pembangkang dari Pakatan Rakyat (PR).

Utusan Malaysia juga mengeluarkan laporan muka hadapan dengan tajuk “Apa lagi Cina mahu” yang menimbulkan kritikan daripada banyak pihak termasuk Ketua Pegawai Eksekutif (CEO ) AirAsia X Azran Osman mengkritik akhbar berkenaan secara terbuka di laman mikro Twitternya.

Azran dikritik bulan lalu selepas beliau melalui akaun twitternya, @azranosmanrani, mengatakan melihat serangan perkauman selepas pilihan raya.

Beliau turut dilaporkan menerima kritikan daripada Perkasa, kumpulan pendesak Melayu atas kenyataan kerasnya itu.

Selain Perkasa, Persatuan Veteran Penjawat Awam, Gerakan Reformis Malaysia dan Jaringan Melayu Malaysia juga antara kumpulan yang menyerang beliau termasuk menuntut permohonan maaf terhadap kenyataannya kepada Utusan.

Pemangku Presiden Perkasa Datuk Abdul Rahman Bakar turut menyokong akhbar berkenaan dan berkata Azran tidak akan berada di posisi sekarang tanpa “perjuangan Melayu yang dilakukan Utusan Malaysia.”

Kolumnis Utusan, Awang Selamat turut menggesa Utusan supaya tidak lagi enerima iklan daripada syarikat penerbangan terbabit sehingga permohonan maaf dikeluarkan. –The Malaysian Insider