HENTI BANTAH KEPUTUSAN PRU-13, ASAS PERDAMAIAN
NASIONAL - PM
KUALA LUMPUR -
Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan, penerimaan secara muktamad oleh
pembangkang terhadap keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) lalu bukan
sahaja menjadi asas tetapi merupakan asas utama dalam usaha mencapai matlamat
perdamaian nasional.
Perdana
Menteri berkata, jika pembangkang berterusan mengadakan perhimpunan jalanan
mempertikai keputusan pilihan raya di peringkat Pusat tetapi bersikap
dwistandard di negeri dimenangi mereka, matlamat perdamaian nasional tidak akan
berlaku.
Menurut
beliau, penerimaan pembangkang terhadap keputusan pilihan raya itu membolehkan
kerajaan menubuhkan Majlis Konsultasi Perpaduan Nasional (MKPN) yang akan
diwakili pemimpin politik Barisan Nasional (BN) serta pembangkang, tokoh-tokoh
akademik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan ramai lagi.
"Saya
suka menegaskan premis utama dan asas perdamaian nasional ialah keputusan
pilihan raya umum perlu kita terima sebagai keputusan yang muktamad. Kalau
berterusan berhimpun di jalanan, matlamat perdamaian nasional tidak akan
dicapai.
"Kalau
tidak berpuas hati ada saluran tertentu dan selanjutnya keputusan dibuat
melalui mahkamah. Kita kena terima kerana ini mengikut Perlembagaan
negara," katanya ketika menjawab soalan Lim Kit Siang (DAP-Gelang Patah)
di Dewan Rakyat hari ini.
Pada 6 Mei
lalu, Najib mengumumkan kerajaan akan melaksana usaha penyatuan nasional untuk
mengerat semula hubungan antara rakyat di negara ini yang berpecah sehingga
membentuk polarisasi kaum selepas pilihan raya umum lalu.
Mengulas
lanjut mengenai MKPN, Najib berkata, tiga agenda utama menjadi objektif
penubuhannya iaitu mencari jalan menangani masalah polarisasi kaum, memupuk
keharmonian antara agama serta membentuk dasar-dasar kerajaan supaya bersifat
inklusif sosial.
Tambahnya,
melalui penubuhan MKPN satu pelan pendamai semula akan dirangka bertujuan
merapat kembali hubungan antara pihak yang bertanding dalam pilihan raya umum
lalu supaya tumpuan utama iaitu membangunkan negara dapat diberi perhatian
sepenuhnya.
Sementara itu,
menjawab isu serupa yang dibangkitkan Azmin Ali (PKR-Gombak) dalam soalan
tambahan, Najib berkata, pembangkang hanya tahu membuat tuduhan melulu kononnya
berlaku penyelewengan semasa pilihan raya tanpa sebarang bukti.
"Kita ada
proses bagi membuat bantahan, jangan buat tuduhan melulu seperti dakwaan
sebanyak 40,000 warga Bangladesh menjadi pengundi kerana setakat ini belum ada
bukti yang dibawa untuk perhatian pihak berkenaan berhubung kecurangan seperti
yang didakwa.
"Kalau
tidak berpuas hati, kita perlu berpandukan kepada Perlembagaan negara dan
inilah yang akan dibawa dalam perdamaian nasional," katanya. – Utusan Online
KD: Apabila PRU-13 selesai, ia bermaksud rakyat telah
membuat pilihan kepimpinan yang sewajarnya menerajui negara. Jadi, pemimpin
janganlah bertelagah, sebaliknya perlu sama-sama berkhidmat dengan rakyat
memakmurkan serta memajukan negara.
No comments:
Post a Comment